08 Januari 2011

Masa, Pengisian Masa, Matlamat Masa


Pasaran saham di Bursa Malaysia berada di tahap yang tertingginya menyebabkan saya terlalu sibuk dan agak kekurangan tenaga untuk menulis blog malah untuk menulis manuskrip buku yang baru. Mungkin Allah Taala memberikan saya masa berehat seketika dua dari dunia penulisan bagi saya menumpukan perhatian kepada kerjaya saya sebagai seorang remisier di Kenanga Investment Bank. Faham-faham ajalah bilamana pasaran saham naik barulah remisier seperti saya ini dicari.

Apapun walaupun saya mempunyai kelayakan dalam bidang saham ini tapi entah kenapa sehingga kini saya lebih cenderung menulis mengenai motivasi dan kaunseling kerana pada saya itu lebih baik.

Topik kali ini sekali lagi berkenaan dengan matlamat pengisian masa.

Tatkala negara maju begitu mementingkan modal insan, hingga meningkatkan KPI dalam organisasi mahupun secara individu namun demikian kebanyakan orang kita masih dibuai mimpi indah, masih mabuk, masih berkhayal dan membuang masa dengan sia-sia. Menurut kajian kita menggunakan 80 % untuk perkara yang tak bernilai, sia-sia atau yang tak mendatangkan hasil. Maknanya kita hanya menggunakan 20% dari masa seharian kita untuk sesuatu yang bernilai.

Kalau kita berniaga dan punya pelanggan dan kalau kita perhatikan hanya 20% pelanggan yang memberikan pulangan 80% kepada syarikat kita. Dalam hal ini bukankah lebih baik kita fokuskan masa yang 80% itu untuk pelanggan yang 20% itu? Selebihnya tak perlu kita beri tumpuan.

Masalahnya orang kita lebih suka menghabiskan masa fokus kepada 80% yang tidak bernilai, malah ada yang lebih teruk dari itu. Saya pernah bertemu dengan orang yang masuk pejabat dan membuang masa di meja komputer bermain game, melayari internet dan menonton video. Tahun demi tahun berlalu begitu sahaja dan kita menjadi tua tanpa menyedari kemana masa yang telah kita taburkan itu.

Pada saya hanya mereka yang SEDAR akan kurniaan masa ini yang tak akan membuang masa. Mereka sentiasa mencari jalan untuk mengisinya dengan perbuatan dan tindakan yang terbakk dan bernilai. Dalam hal ini ;
  • Bukankah pengisian Ibadah lebih baik dari pengisian Maksiat?
  • Bukankah pengisian Wajib dan Sunat jauh lebih baik dari pengisian makruh dan Haram?
  • Bukankah pengisian yang membawa hasil baik di dunia mahupun di akhirat lebih baik dari pengisian yang sia-sia?
  • Bukankah pengisian yang bermatlamat lebih baik dari yang tiada matlamat yang tentu.
  • Bukankah pengisian mengikut akal lebih baik dari pengisian mengikut nafsu.
Dalam hal ni kalau tiada kerja yang hendak dilakukan sebaiknya kita berfikir dan kalau kita tak ada apa untuk difikirkan bukankah lebih baik kita berzikir?

Masalahnya seharian manusia lebih suka mengejar matlamat mencapai cita-cita nafsunya, seharian memberi makanan kepada nafsunya dengan mencari hiburan, gelak tawa, mencari bahan lucah, zina, judi atau dalam ertikata lain melakukan maksiat.

Makanan nafsu yang hakikatnya menggelapkan hati.

Fikir-fikirkanlah. 

Oleh itu tingkatkanlah KPI diri dengan melakukan sesuatu itu tanpa bertangguh, melakukan sesuatu pekerjaan itu dengan niat kerana Allah dengan pantas dan tangkas tanpa kesilapan yang akan merugikan masa.

Tak kiralah samaada kita hidup sekejap atau lama di dunia ini apa yang penting ialah pengisiannya.

Allah suka kepada orang panjang umurnya dengan banyak melakukan ibadah dan Allah benci kepada orang yang panjang umurnya tetapi tetap melakukan maksiat walhal dia diberi masa untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Hargailah nikmat MASA kurniaan Allah Taala ini kerana sekejap lagi ia mungkin tiada lagi.

Sekian dahulu.

Faizal Yusup mengundur diri.

Ikhlas,

FY Al Haj
0166667430

Sekiranya anda mendapat manfaat membaca artikel ini FY harap anda dapat like dan share post ini dengan harapan ia juga membawa manfaat kepada orang yang dijodohkan dengannya.
 


' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.