01 Januari 2011

Salam Tahun Baru 2011...


Salam Tahun Baru 2011!

Bersyukur kita ke hadrat Allah kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita sampai ke saat ini. Dapat nikmat nyawa, nikmat kehidupan dan pelbagai nikmat lagi yang tak terhitung dari Allah Taala.

Dalam hal menyambut tahun baru ini kesedaran masyarakat Melayu Malaysia telah banyak berubah. Kalau dahulu begitu ramai yang menyambut tahun baru Masehi ini namun demkian sekarang ia telah terbahagi kepada dua. Pengisian, input, pengetahuan dan maklumat yang diperolehi dalam aspek keislaman telah menyebabkan ramai yang tidak menyambut Tahun Baru ini kerana mereka menyambut Maal Hijrah iaitu awal Muharam bulan pertama dalam kalendar Islam. Dari pemerhatian saya semakin lama semakin ramai yang umat Islam di negara ini yang menyedari akan hakikat ini dan ini adalah satu perkembangan yang sihat.

SMS yang saya terima menjelang Awal Muharram juga adalah jauh lebih banyak dari menjelang Sambutan Tahun Baru. Begitupun ada golongan kedua yang begitu ghairah menyambut Tahun Baru Masehi ini. Tahun Baru dari kalendar Gregorian yang mengikut sistem kiraan Bumi mengorbit Matahari yang dipelopori Barat. Apapun Islam punya Kalendarnya sendiri, kalendar yang bermula pada pada saat Rasullullah SAW berhijrah dari Makkah ke Madinah, kalendar yang mengikut putaran Bulan atau Lunar.

Seterusnya dalam hal ini, dalam diri kita sebagai seorang Melayu Islam terdapat dua kalendar. Satu Kalendar Islam dan satu lagi Kalendar Gregorian ini. Mereka yang kuat kalendar Islam dalam dirinya maka akan mengikuti sunnah-sunnah yang ada di dalamnya. Contohnya mereka akan tahu mengenai bulan Islam, puasa Ramadhan dan puasa-puasa Sunat pada hari yang digalakkan, perihal Haji, perihal Korban, perihal gerhana, Israk dan Mikraj, solat-solat sunat pada hari dan masa-masa yang tertentu dan sebagainya. Mereka ini tahu berapa haribulan dalam bulan Islam bila-bila sahaja masanya mereka ditanya.

Namun demikian, dalam kehidupan kita di negara ini kita telah lama tertakluk kepada sistem sekular mengikut Kalendar Gregorian dalam semua aspek baik dalam hal persekolahan hinggalah ke zaman kita bekerja dan berniaga.

Apapun ia bukanlah satu kesalahan untuk mengikuti mana-mana kalendar ini, yang menjadi kesalahan ialah kita melakukan sambutan yang penuh dengan maksiat, pembaziran dan sebagainya yang tidak dianjurkan Islam begitu juga dengan menyambut hari-hari perayaan yang berkaitan dengan ugama lain, ini kerana ugama Islam adalah lebih superior, ugama yang dirahmati Allah Taala. Ugama besar yang memayungi ugama-ugama kecil yang lainnya.

Masa adalah masa, ia merupakan salah satu kurniaan Allah yang amat berharga, tak kiralah anda mengikut kalendar Islam mahupun masehi, apa yang penting ialah kita menghargai masa dan mengisinya dengan tindakan / perbuatan yang paling baik dan bernilai yang boleh membawa kebaikan kepada diri dan juga kepada Ummah. Sesungguhnya orang yang paling baik ialah orang yang membawa manfaat kepada yang ramai.

Sekian dulu buat kali ini.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,
                    
Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Jadilah follower, komenlah mana yang patut dan tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda, sharekan atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.