19 Ogos 2011

Berita Penyenaraian Gas Malaysia di Berita Harian

Gas Malaysia tawar IPO 333.84 juta 
Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2011/08/17

PROSPEK pertumbuhan perniagaan Gas Malaysia yang cerah akan menarik minat pelabur melanggan saham. - Gambar hiasan
Penyenaraian sebahagian rancangan jangka panjang MMC

MMC Corp Bhd, syarikat yang dikuasai usahawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, mengumumkan penyenaraian anak syarikatnya, Gas Malaysia Sdn Bhd bakal membabitkan tawaran permulaan awam (IPO) berjumlah 333.84 juta saham.
IPO yang akan dilancarkan sebelum akhir tahun ini itu mewakili 26 peratus daripada modal saham berbayar dan terbitan Gas Malaysia.
Berikutan Gas Malaysia tidak akan menerbitkan saham baru bagi IPO itu, MMC dan rakan kongsinya dalam syarikat itu akan menawarkan saham dalam beberapa bahagian bersandarkan kepada jumlah kepentingan masing-masing.

Ketika ini, MMC menguasai 41.8 peratus kepentingan dalam Gas Malaysia dengan bakinya dipegang Petronas Gas Bhd (20 peratus), Tokyo Gas-Mitsui & Co (25 peratus) dan selebihnya oleh Shapadu Holdings.

MMC dalam kenyataannya semalam berkata, daripada 333.84 juta saham itu, 303.498 juta akan diperuntukkan untuk langganan pelabur institusi, yang mana 147.678 juta untuk institusi terpilih Bumiputera dan pelabur terpilih yang diluluskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti); dan 155.820 juta untuk pelabur institusi terpilih tempatan.

Sebanyak 30.342 juta saham pula akan ditawarkan kepada pelabur runcit, dengan 12.84 juta adalah untuk langganan awam Bumiputera, manakala 12.84 juta lagi untuk bukan Bumiputera.
Baki 4.662 juta lagi dikhususkan untuk langganan kakitangan dan pengarah syarikat itu yang layak.

MMC dalam kenyataan itu bagaimanapun tidak mendedahkan harga bagi IPO itu atau jumlah dana yang bakal diraihnya.

Namun, sumber industri memberitahu Berita Harian bahawa syarikat itu mampu menjana antara RM800 juta hingga RM900 juta bersandarkan kepada harga tawaran antara RM2 hingga RM3 sesaham.

MMC melantik Maybank Investment Bank (Maybank-IB) sebagai penasihat melaksanakan IPO.

Cadangan penyenaraian Gas Malaysia di Pasaran Utama Bursa Malaysia itu adalah sebahagian rancangan jangka panjang MMC mengembangkan perniagaan anak syarikat terpilihnya secara lebih agresif dan tersusun.

Selain Gas Malaysia, MMC turut merancang menyenaraikan semula dua anak syarikatnya, iaitu Malakoff Bhd dan Johor Port Bhd, sebelum 2013.

Gas Malaysia adalah pengedar dan peruncit gas asli terbesar di Malaysia. Malakoff pula adalah pengeluar tenaga bebas terbesar negara, sementara Johor Port pengendali pelabuhan minyak sawit terbesar dunia.

Berdasarkan anggaran awal penganalisis, nilai modal pasaran semasa Gas Malaysia ialah RM5 bilion, Malakoff (RM7 bilion), Johor Port (RM1.5 bilion).

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.