19 Ogos 2011

IPO Gas Malaysia yang bakal ke Papan Utama Bursa Malaysia

Gas Malaysia ke Papan Utama
Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my
2011/05/16


IBU pejabat Gas Malaysia berpangkalan di Shah Alam, Selangor.
Syarikat dapat ‘lampu hijau’ SC buat tawaran awam permulaan

GAS Malaysia Sdn Bhd, syarikat yang dikuasai 41.8 peratus sahamnya oleh MMC Corporation Bhd, dijangkakan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia tahun ini bagi mengumpul dana untuk mengembangkan perniagaannya secara lebih agresif.
Sumber industri berkata, pengedar dan peruncit gas asli itu sudah menerima ‘lampu hijau’ daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi membuat tawaran awam permulaan (IPO) bagi penyenaraian itu.
“Gas Malaysia kini sedang berunding dengan bank pelaburan bagi urusan taja jamin saham IPO dan penyenaraian. Ia mungkin disenaraikan menjelang suku keempat tahun ini,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sumber berkata, menerusi IPO itu, MMC Corp yang menjadi pemegang saham utamanya akan mengurangkan pegangan ekuitinya dalam syarikat itu kepada sekitar 20 peratus.

Gas Malaysia yang berpangkalan di Shah Alam, Selangor terbabit dalam pembekalan gas asli dan gas petroleum cecair kepada pelanggan kediaman, perniagaan komersial dan industri.

Ia membekalkan gas kepada kira-kira 31,000 pelanggan kediaman dan komersial serta lebih 600 pelanggan industri.
Syarikat itu meraih pendapatan RM1.81 bilion pada tahun kewangan 2010, meningkat tiga peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pendapatan lebih tinggi itu diraih daripada peningkatan jumlah jualan susulan pertambahan permintaan dan peruntukan gas oleh kerajaan.

Keuntungan sebelum cukainya dalam tahun kewangan itu meningkat 19 peratus kepada RM388 juta daripada RM326 juta pada 2009, manakala keuntungan bersihnya naik 23 peratus kepada RM298 juta daripada RM243 juta pada 2009.

Setakat akhir tahun lalu, Gas Malaysia memiliki saluran paip gas sepanjang 1,727 kilometer dan merancang mengembangkannya bagi memberi perkhidmatan kepada lebih ramai pengguna.

Ia juga sudah memeterai perjanjian tambahan dengan Petronas yang berkuatkuasa hingga hujung tahun ini untuk membekal tambahan 82 juta kaki padu sehari (mmscfd) gas yang diperuntukkan kerajaan kepada sektor industri.

Gas tambahan itu dibekalkan kepada lebih 143 pelanggan industri, justeru melonjakkan jualannya dari jumlah bagi tahun lalu sebanyak 10 peratus kepada 117.8 juta unit thermal British (mmBtu) berbanding 107.5 juta mmBtu pada 2009.

Pesaingnya utamanya adalah Hess Oil & Gas Sdn Bhd, UMW Oil & Gas Bhd, Petronas Dagangan Bhd, Shell Malaysia Ltd dan IEV Energy Sdn Bhd.

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.