22 Jun 2010

Iktibar Dari Berjalan

 
Kenapa bila kita berjalan memandang ke depan sesekali ke kiri dan kanan dan jarang-jarang kita memandang ke belakang? Dalam hal ini kereta dicipta dengan berdasarkan konsep yang sama. Ia punya cermin untuk memandang keliling, ia punya cermin di kiri kanan dan ia punya cermin pandang belakang. Apa iktibarnya?

Bila kita berjalan kita akan memandang ke depan ini kerana mata letaknya di depan. Ini bermakna kita hendaklah selalu menjalani kehidupan dengan memandang ke hadapan. Hari ini lebih baik dari semalam dan besok lebik baik dari hari ini sepertimana saranan Rasullullah SAW. Orang yang mengatakan hari ini lebih teruk dari semalam dan besok akan lebih buruk dari hari ini adalah orang yang pastinya akan menemui kegagalan. Orang yang berfikiran negatif dan tidak meletakkan harapan dalam kehidupan.

Memandang ke hadapan ini penting kerana kita perlu tengok mana arah tuju kita samaada ada halangan atau rintangan dalam kehidupan. Dalam hal ini kalau kita nampak lubang, bonggol, paku dan sebagainya maka kita pastinya akan cuba mengelaknya. Begitulah juga dengan kehidupan. Banyak kali dalam kehidupan kita akan bertemu rintangan dan dugaan dalam apa juga yang kita lakukan baik dalam pembelajaran, pekerjaan dan perniagaan. Dalam hal ini kita tak boleh mengalah tetapi mencari jalan mengatasinya. Mereka yang mengalah pastinya akan menjadi orang yang gagal dan terhenti usahanya disebabkan rintangan yang mendatang itu.

Dalam pada itu adakalanya kita hendak ke satu tempat tetapi dilencongkan ke tempat yang lain. Ini juga merupakan satu rintangan dalam menuju ke destinasi. Dalam hal ini kita hendaklah selalu fokus pada matlamat yang hendak di capai dan pastikan kita dapat mengawal keadaan walaupun kita dalam keadaan yang melencong itu. Analoginya kita hendak ke KLCC dari Petaling Jaya, sebenarnya ada banyak lencongan yang boleh terjadi tetapi kita kena pastikan yang kita sentiasa fokus untuk ke KLCC. Kita betulkan kembali kompas dan GPS agar kita tak terus tersesat dan langsung tak sampai ke KLCC.

Kita yang nak menuju ke akhirat tapi terbelenggu dengan perihal dunia hingga kita menuju ke arah kesesatan maka ini pasti merugikan. Sebenarnya ada banyak lencongan maksiat dalam kehidupan ini. Kita kena berhati-hati dan mengelakkannya selagi daya dan kalau kita tergelincir maka hendaklah kita cepat-cepat insaf dan kembali ke jalan yang benar.

Dalam kehidupan juga janganlah kita selalu memandang ke belakang. Sesekali bila berjalan kita memandang ke tepi, kiri dan kanan  dan sesekali ke belakang. Ini adalah sebagai iktibar dan motivasi memandang orang yang memotong dan menjadikan kejayaan mereka sebagai garis panduan, memandang mereka yang dipotong sebagai iktibar. Kerana yang pastinya dalam kehidupan ada orang lain yang lebih susah dari diri kita sendiri.

Janganlah pula asyik memandang ke belakang mengenangkan kisah yang telah lalu, mengenangkan orang yang tersayang yang telah pergi, mengenangkan kegemilangan masa lalu yang telah lama meninggalkan kita mahupun menangisi masa lalu. Sesekali memandang ke belakang maknanya sesekali kita perlu mengambil iktibar dari sejarah agar kita tidak melakukan perkara yang serupa di masa yang akan datang.

Pun begitu dalam kita yang sentiasa memandang ke hadapan dalam kehidupan kita tetap akan mengalami kemalangan dan dugaan. Dalam kereta kita punya tali pinggang keledar keselamatan, kita punya beg udara yang mungkin boleh menyelamatkan kita dari bencana namun dalam kehidupan seharian kita tak punya semua itu. Pada saya talipinggang keselamatan dan beg udara itu ialah persediaan diri kita sendiri baik dari segi, rohani, jasmani, emosi, ilmu pengetahuan, kewangan dan sebagainya bagi menghadapi semua ini. Persediaan yang baik adalah umpama kusyen yang menampan bila kita terjatuh dan diduga.

Oleh itu dalam kehidupan pandanglah ke hadapan dan lakukanlah persediaan serta lakukanlah yang terbaik.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Jadilah follower, komenlah mana yang patut dan tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Komen

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.