Dahulu saya begitu suka melihat orang melukis potret di awal kehidupan di zaman remaja mungkin disebabkan saya bersekolah di Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur di Jalan Cheras dan berulang alik ke Kampung Kerinchi maka boleh dikatakan setiap hari saya akan melepak di Central Market. Di sini ramai pelukis-pelukis pelbagai genre yang melukis secara live dan mungkin inilah permulaan terbitnya minat untuk saya melukis.
Sejak dari itu saya mula melukis dan melukis. Saya melukis pelbagai benda dan pada masa itu saya lebih cenderung melukis gambar superhero komik marvel seperti Spiderman, Fantastic Four, Superman, Batman, X Men dan sebagainya. Ini kerana setiap kali saya melukis potrait seringkali saya gagal berbuat demikian. Untuk melukis potrait dan “menghidupkan” gambar potrait itu bukanlah sesuatu yang mudah. Setiap kalisan, garisan, tona warna, nisbah dan sebagainya mesti dilakukan dengan teliti bagi mendapatkan gambar yang baik dan menjadi.
Namun demikian saya tak pernah mengalah dan terus-terusan melukis. Setiap kali bertemu peluang melihat pelukis potrait mahupun karikatur saya akan berhenti dan memerhatikan mereka. Kemudian saya dapati mereka menggunakan pensel yang berlainan selain dari pensel 2B. Mereka juga ada pensel 3B, 4B hingga ke 8B bagi mendapatkan tona warna yang diinginkan.
Lantas saya pun membeli dan mencubanya. Namun hasilnya masih sama pun demikian tona warnanya lebih menarik dan terbit dari lukisan yang dilukis itu.
Kemudian saya membeli satu buku lukisan, dan disini saya mendapati bahagian mata adalah bahagian yang paling dititikberatkan kerana kita akan mengenali seseorang itu bermula pada matanya. Kalau matanya dapat diserlahkan maka kemungkinan besar orang itu akan dapat dikenali. Jadi saya berlatih melukis mata ini berkali-kali dan benar mata yang cantik dan terserlah akan membuatkan lukisan itu nampak menarik tak kiralah lukisan itu kartun, karikatur mahupun potrait.
Setelah melakukannya secara berulang-ulang secara berterusan pada umur saya 37 tahun dengan keizinan Allah Taala saya berjaya melukis potrait saya yang pertama. Gambar isteri saya. Kemudian seya melukis gambar saya sendiri, gambar Pak Lah, Mawi, Ronaldo dan sebagainya tanpa masalah. Saya bersukur kerana akhirnya citia-cita untuk melukis gambar potrait ini tercapai. Apapun semuanya ini dari Allah mungkin atas usaha saya selama ini. Ilmu melukis potret ini juga hakmilik Allah. Apapun saya bersyukur kerana Dia mengurniakannya pada saya setelah sekian lama mencuba dan mencuba.
Analogi melukis ini samalah keadaanya dengan menulis. Dalam hal menulis ini ia agak berbeza kerana saya tak didedahkan oleh sesiapa. Setahu saya semenjak zaman remaja saya memang suka meluahkan rasa bercerita pada diari saya saban hari. Saya bercerita tentang pelbagai perkara tiba–tiba pada tahun 2001 bapa saya meninggal dunia, jadi entah kenapa terbit satu kesedaran untuk saya menulis.
Dalam fikiran saya daripada saya menulis meluah rasa baik saya gunakan masa itu untuk menulis sesuatu yang berfaedah dan manalah tahu ia akan dapat dibukukan. Maka kesedaran inilah yang menyebabkan saya mula menulis sebuah buku. Genrenya motivasi. Mungkin kerana saya sering menjadi tempat ramai kawan-kawan meluah rasa dan masalah jadi saya telahpun membentuk pengisian yang banyak di dalam diri mengenai topik ini.
Dari sinilah terhasilnya buku berjudul Keluar Dari Tempurung. Ke Arah Kecemerlangan. Kemudian saya menghantarnya kepada penerbit Utusan Malaysia tanpa meletakkan harapan yang tinggi kerana saya bukanlah seorang penulis, saya hanya menulis sebagai hobi, suka-suka dan kalau karya saya itu dibuang dalam tong sampah sekalipun saya tak kesah sebenarnya.
Namun sesuatu yang tak dijangkakan terjadi. Ia diterima dan diterbitkan setahun kemudian!
Rupa-rupanya saya memang ada bakat yang terpendam sebagai seorang penulis. Apapun pada masa itu saya masih tak menyedarinya. Saya hanya mahu menerbitkan karya yang saya tulis itu. Itu sahaja impian saya pada masa itu. Pada mulanya saya menyangkakan yang bila otak dan akal fikiran ini telah diperah maka tak ada lagi idea untuk buku yang seterusnya tapi saya silap kerana entah kenapa saya masih mendapat ilham-ilham untuk terus menulis.
Ketika itu saya masih lagi menulis secara suka-suka. Menulis bila ada rasa hendak menulis dan karya itu hanya siap pada tahun 2004 dan diterbitkan pada 2005. Buku itu ialah buku Keluar Dari Tempurung 2, Pendekatan Praktikal Menangani Masalah.
Oleh kerana matlamat awal pada masa itu hanya untuk menerbitannya telah berjaya maka saya membuat satu matlamat baru. Iaitu untuk menjadi penulis kepada syarikat penerbitan yang tersohor syarikat Alaf 21 milik Karangkraf. Sayapun menulis buku Keluar Dari Tempurung 3, perihal penerapan nilai diri.
Dan setelah beberapa bulan menunggu, setelah 5 editor menilainya akhirnya ia juga diterima untuk diterbitkan. Alhamdullillah dan kesimpulannya saya sedar yang saya memang dikurniakan bakat dalam bidang penulisan ini. Selepas empat tahun di tahun 2009 barulah buku itu diterbitkan atas nama Anda Yang Baru.
Setelah menyedari bakat yang ada ini barulah saya mula menulis secara serius dan seterusnya saya mencuba genre novel pula. Kisah bagaimana ia bercambah dari penulisan genre motivasi kepada genre novel akan saya huraikan dalam bab yang akan datang ini.
Kesimpulan dari kisah ini ialah, janganlah jadi seperti saya yang mengambil masa yang begitu lama untuk menyedari bakat yang ada ini. Kalau anda menulis, diterima karya dan diterbitkan maka sedarilah anda memang punya bakat menulis jadi berusahalah untuk memperkembangkan bakat kurniaan Tuhan itu. Tulislah dan terus menulis kerana lama kelamaan tulisan anda akan menjadi lebih cantik dan dihargai ramai. Ia sama seperti melukis!
Fikir-fikirkanlah..
Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.
Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.
Ikhlas dari,
Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial
Email : greng70@yahoo.com
Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!
PS - Anda suka blog ini? Jadilah follower, komenlah mana yang patut dan tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.
Terima kasih…
' style='padding: 0; border: none;'/>
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.