Pada tahun 2008 saya mula menulis novel saya yang pertama bertajuk Konflik Cinta. Ia merupakan satu perjalanan yang panjang. Menyiapkannya seakan mengejar bulan. Ini kerana saya bukanlah seorang yang rajin membaca novel, saya juga adalah seorang yang menulis dari hati. Apapun pada tahun 2009 ia berjaya disiapkan. Ia mengambil masa lebih dari setahun untuk menyiapkannya. Oleh kerana saya tahu saya adalah seorang yang baru belajar menulis genre ini jadi saya menghantarnya kepada penerbit kenalan saya untuk diterbitkan dan InsyaAllah ia akan terbit tak lama lagi kalau tiada aral melintang. Ia telahpun berada dalam pruf akhir proses penerbitan.
Dalam tahun-tahun kebelakangan ini sejak sedar akan kebolehan dan bakat menulis ini saya lebih cenderung menghabiskan masa menulis, menulis apa sahaja yang terlintas di hati. Motivasi, koleksi puisi, cerpen, lawak jenaka, novel atau apa sahaja.
Kemudian sesuatu terjadi. Pada umur 40 tahun seorang kawan menyarankan saya menulis buku novel remaja kerana ia merupakan genre yang laris di pasaran. Keduanya anak-anak saya juga suka membaca novel-novel demikian. Buku-buku motivasi yang saya tulis terlalu berat buat mereka memandangkan anak saya ketika itu berumur 13 dan 11 tahun.
Jadi saya mula menulisnya. Saya mendapat inspirasi untuk menulis novel kisah Man Rempit. Yang peliknya ia berjalan dengan begitu lancar. Saya menyiapkannya dalam masa sebulan, kemudian saya sambung yang pula dengan Man Rempit yang kedua. Ia hanya mengambil masa 12 hari dan seterusnya novel Man Rempit ketiga dan terakhir yang mengambil masa hanya 9 hari. Satu rekod bagi diri saya. 3 buah buku novel remaja yang siap dalam masa 50 hari.
Apa motivasinya? Ini semua disebabkan oleh anak-anak saya. Bila mereka membaca novel yang pertama itu mereka mengatakan ia merupakan novel yang paling hebat pernah mereka baca. Ini kerana mereka telah membaca banyak buku novel remaja dan penghargaan dari mereka ini amat bererti. Mulai saat itu juga mereka begitu menghormati saya sebagai seorang penulis kerana mereka tak sangka yang saya berkebolehan menulis ke tahap itu.
Terus terang saya sendiri tak menyangka mereka menghargainya begitu sekali kerana selama ini saya sangkakan mereka yang menulis novel remaja itu bagus-bagus ceritanya. Tapi mereka pula berpendapat tulisan saya jauh lebih baik hinggakan mereka tak mahu lagi membeli novel yang lain tetapi menunggu saya menyiapkan novel yang seterusnya. Hari-hari anak-anak saya itu menyuruh saya menyiapkan novel yeng seterusnya kerana tak sabar ingin tahu kisah yang seterusnya.
Dengan alasan inilah saya terus menulis dan menulis menyiapkan karya satu demi satu. Berbeza keadaannya dahulu yang mana ia mengambil masa yang lama dan seakan tak dapat cari jalan untuk menyiapkannya namun kali ini saya dapat rasakan yang Allah Taala telah berikan saya ilmu menulis ini ke tahap yang baik dan ia seakan satu kesedaran yang sama seperti kisah saya melukis potret dahulu. Sekarang saya boleh menulis dengan baik dan cantik dalam masa yang singkat tanpa masalah.
Mungkin anda akan berkata karya yang ditulis dalam jangkamasa yang singkat itu tiada kualitinya tetapi saya sarankan anda membaca karya itu dahulu sebeum membuat penilaian mengenainya. Buat siasatan dan kaji selidik sebelum menjatuhkan hukum. Pada saya itu lebih baik dan adil.
Bagi merangkan perihal ini saya mengambil memasak makanan sebagai analogi. Mereka yang pakar memasak akan tahu apa yang harus dilakukan pada sesuatu masakan untuk menjadikannya sedap. Mereka akan tahu rencah ratus yang hendak dimasukkan dan banyak mana yang diperlukan. Mereka juga boleh memasak untuk mereka yang ramai tanpa perubahan pada rasa masakannya. Bila masakan itu telah siap mereka tak akan berhenti dan tak akan menambah apa-apa lagi kerana ia boleh menjejaskan rasa masakan mereka itu.
Begitulah kisahnya seorang penulis. Kita akan tahu apakah rencah yang ingin dimasukkan ke dalam karya yang kita tulis itu. Lawaknya, cintanya, dramanya, emosinya dan sebagainya dan kalau ia berlebihan maka ia akan hilang kesedapan ceritanya. Bila kita telah siap dan menoktahkannya maka tiada apa lagi yang dapat kita tambah di dalamnya kerana kita tahu penambahan akan menjejaskan karya tersebut.
Baik melukis, memasak, menulis, membuat filem dan sebarang hasil seni yang lain begitulah keadaannya. Mereka yang faham akan dapat menyampaikan dengan baik dan berkesan dan karya itu akan dihargai peminatnya walau apa juga cabang seninya. Sesuatu karya yang baik itu juga akan punya rohnya yang tersendiri yang mana ia akan bercakap bagi pihak dirinya sendiri. Ia akan dihargai dan diangkat oleh peminatnya tanpa perlu promosi besar-besaran mengenainya. Ia umpama semut yang merayap. Lama kelamaan pasti ia akan kelihatan, diketahui dan dikenali.
Semoga topik ini membawa manfaat kepada sesiapa sahaja yang berkarya di luar sana.
Fikir-fikirkanlah..
Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.
Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.
Ikhlas dari,
Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial
Email : greng70@yahoo.com
Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!
PS - Anda suka blog ini? Jadilah follower, komenlah mana yang patut dan tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.
Terima kasih…
' style='padding: 0; border: none;'/>
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.