11 April 2010

Iktibar dari Parut



Kebanyakan kita kita dilahirkan sempurna tanpa kesan parut dan luka. Namun demikian dalam menjalani kehidupan kita yang mencalar balarkan diri samaada dengan sengaja mahupun tidak. Cuba lihat parut dan kesan luka yang ada pada badan anda. Bukankah setiap satu mempunyai ceritanya sendiri.

Biar saya cerita sedikit perihal parut-parut yang ada di tubuh saya ini.

Dahulu saya seorang Mat Motor zaman sekarang dipanggil Mat Rempit. Jadi saya ada parut di lutut kanan, jatuh kerana ada pasir bertaburan di jalanraya menyebabkan saya hilang kawalan motor. Semenjak itu saya berhati-hati dan memperlahankan motosikal bila ternampak pasir di jalanraya tetapi saya jatuh jugak dan luka di siku disebabkan ada minyak hitam pula di jalanraya. Manalah nak nampak minyak hitam atas jalanraya yang hitam di malam yang gelap gelita. Jadi selepas itu saya lebih berhati-hati bila menunggang di waktu malam.

Kemudian banyaklah parut-parut lain yang ada di tubuh badan saya ini dek kerana sejarah menunggang motorsikal ini. Walaupun demikian saya tak pernah ambil peduli tetap meneruskan kerjaya sebagai penunggang motor yang nekad tak takut mati. Mencilok dan mencelah dan berlumba dimana sahaja pantang dicabar.

Jadi bagaimanakah saya boleh berhenti menjadi mat rempit ini walaupun telah mengalami kemalangan dan diberi peringatan berkali-kali sekalipun masih tak mematahkan semangat saya untuk terus menjadi raja di jalanraya?

Mungkin mat rempit lain berhenti kerana dia dah berkahwin, sudah berumur atau kemalangan yang menyebabkan mereka tak dapat lagi menunggang motorsikal  mahupun mereka telah mati. Apapun cerita saya begini.

Pada satu hari di lampu isyarat, empat biji motor termasuk motor saya sedang cabar mencabar dengan menekan throttle motosikal masing-masing bagi tujuan bersedia untuk berlumba. Bila lampu bertukar hijau maka masing-masing pun menekan minyak. Pada masa itu saya berada di depan mereka yang lain mengikut. Tiba-tiba di satu simpang ada seorang apek yang menunggang motor dengan perlahan di tengah jalan, saya sempat mengelak tetapi mat rempit di belakang saya terlewat mengelak hingga menyebabkan dia terbabas, dia terjatuh dari motornya tetapi motornya terus meluncur laju lantas melanggar seorang gadis yang menunggu bas. Motor itu melanggarnya hingga dia jatuh dan dan kepalanya terhempas ke atas kaki lima. ( Sepertimana yang diceritakan oleh mat rempit yang ketinggalan di belakang )

Gadis yang tak bersalah itu koma selama 3 hari sebelum dia meninggal dunia. Saya ada ke hospital di unit rawatan rapi (ICU) melihatkan keadaannya yang begitu menyedihkan. Saya hanya dapat meminta maaf kepada keluarganya kerana saya secara tak langsung juga terlibat dalam hal ini. Sedikit kesilapan percaturan membawa padah yang sangat besar pada orang lain.

Itulah penamat kisah mat rempit saya. Kepada keluarga gadis itu, sekali lagi maafkanlah saya dari hujung rambut ke hujung kaki kalau anda dijodohkan dengan artikel ini.

Pause... Berhenti seketika... tarik nafas...

Selain itu, kaki saya pernah dijahit 10 jahitan kerana terkena cangkul semasa zaman kanak-kanak. Iktibarnya jangan benarkan kanak-kanak bermain dengan benda tajam.

Tengkuk saya pernah digigit monyet yang dibela atuk saya semasa di johor dahulu hingga meninggalkan parut yang jelas kelihatan kalau saya berambut pendek. Iktibarnya berjati-hatilah dengan monyet dan jangan sangka monyet tak mengigit. (Jangan gelak! Hawhawhaw)

Gigi depan saya patah, hidung saya retak dan menerima 11 jahitan di dalam mulut semasa jatuh mengikuti air terjun setinggi dua tingkat bangunan di Templers Park. Pengajarannya janganlah berjalan di atas batu yang berlumut.

Dahi saya pernah menerima 13 jahitan, pergelangan tangan kanan patah dan bersimen selama sebulan setengah kerana jatuh dari atas siling rumah pada waktu marghrib. Iktibarnya ikutlah pesan orang tua, janganlah buat kerja masa marghrib. Solatlah dulu.


Dan pelbagai kisah lagi.

Apapun kalau difikirkan mana-mana satu dari pengalaman yang saya ceritakan itu boleh meragut nyawa saya jadi tak dapatlah anda membaca cerita perihal parut ni tak? Namun demikian atas sebab-sebab yang tertentu saya masih dikurniakan nyawa untuk menyambung kehidupan ini mungkin ada yang perlu saya lakukan iaitu untuk menyampaikan semua ilmu pengetahuan yang telah dipelajari sepanjang kehidupan ini sebagai iktibar dan mengajak sesiapa sahaja yang dijodohkan dengan saya untuk kembali ke jalan Allah Taala.

Keduanya agaknya kenapa saya bercerita tentang parut ini? Saya cuma nak beritahu mereka yang di luar sana saya hanyalah manusia biasa. Saya juga terluka dan dilukai. Ini kerana saya pernah mendengar ada mereka yang mengatakan saya hanya pandai bercakap. Saya tak pernah lalu apa yang telah atau sedang mereka lalui. Saya rasa tak perlulah saya ceritakan mengenai pengalaman dan dugaan yang saya lalui di sepanjang kehidupan ini.  Cukuplah bercerita tentang parut ini maka anda akan tahu yang saya melalui pelbagai luka dan kecederaan ada yang ringan dan ada yang teruk hingga dimasukkan ke hospital. Namun demikian semua itu bukan menjadikan saya seorang yang mengalah tetapi menjadikan saya seorang yang lebih kuat, lebih berpengalaman dan akan terus berjuang hinggalah akhir nanti.

Lagipun saya bukan menulis untuk meminta simpati dan saya sendiri tak ada apa yang hendak dibuktikan. Apa yang saya tahu ialah untuk menyampaikan. Jadi itulah yang akan saya lakukan selagi ada hayat. InsyaAllah.

Pengajaran dari semua ini ialah ;

Ambillah iktibar dari setiap parut yang kita dapat itu. Tak kiralah parut itu kelihatan di luar badan kita mahupun ia tidak kelihatan dan tersorok dalam hati kita. Sesungguhnya setiap apa yang berlaku dalam kehidupan ini ada hikmah dan pelajaran yang kita perlu ambil darinya. Bukalah mata hati, perhatikan setiap apa yang berlaku, buat penelitian, buat kajian, buat analisa, fikirkan sebab musababnya saya cukup yakin pasti ada iktibar untuk kita di dalamnya.

Seperkara lagi kita bernasib baik kerana Allah menciptakan hemoglobin bagi tujuan menghentikan pendarahan dan kemudiannya menggantikan dengan kulit yang baru. Ada parut yang meninggalkan tanda namun ada juga yang hilang tanpa kesan. Tanpa hemoglobin ini darah akan terus-terusan mengalir dan pastinya keadaan ini akan membawa maut. Maknanya di sini kalau anda dilukai oleh sikap orang lain, redhalah dan maafkanlah sahaja. Parutnya akan tetap ada tetapi kalau anda tidak memaafkan maka ia seakan anda membiarkan darah itu terus mengalir dalam diri yang mana lambat laun akan membawa kepada tekanan yang berterusan sepanjang kehidupan. Janganlah begitu.


Apapun fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.