Analisis Kes
Dua bulan lepas, saya seringkali merasa tidak tenang. Perasaan saya asyik gusar, tidak keruan, bingung, keliru. Semacam ada yang hilang.
Ketika itu saya baru dua bulan bekerja di Mahkamah Syariah Kota Kinabalu. Selama saya berada di sini, saya merasakan satu kelainan. Sebab saya dikelilingi oleh suasana keislaman.
Kat sini ada ramai ustaz, ustazah, ramai yang alim-alim. Saya berpeluang berkenalan dengan beberapa orang Hakim Syarie. Mujurlah dapat kenal dengan diorang.
Dapat saya mengemukakan persoalan tak terjawab mengenai banyak hukum agama.
Pada seorang Hakim yang saya anggap kawan, saya luahkan padanya yang jiwa saya ni bergelora. Entah kenapa.
Entah sebab apa.
Bukan sebab ketiadaan kekasih yang dicinta, bukan sebab tekanan perasaan dek bebanan kerja.
Semacam ada yang ‘missing’. Saya merasa tidak tenang. Seperti yang saya katakan tadi, macam ada yang ‘hilang’ dari hati saya.
Lalu kawan saya tu menyarankan saya agar dekat dengan Al-Quran. Setelah membaca buku Quranic Law Of Attraction, saya meyakini yang diri saya sudah terlalu jauh dari Al-Quran.
Saya jadi tidak tenang sebab jiwa saya tak diterangi oleh sinar enerji Al-Quran. Jujur saya mengakui beberapa tahun lepas saya jauh dari Al-Quran. Beberapa surah-surah yang saya hafal sejak zaman sekolah menengah agama mulai hilang dari ingatan kerana jarang diamalkan.
Beberapa tahun lalu saya bukanlah seorang lelaki yang konsisten menjaga sembahyangnya. Mujurlah di sini saya bertemu dengan cahaya darinya, Allah Yang Maha Esa. Alhamdulillah.
Saya dapat merubah diri. Dulu selalu bangun lambat.
Sekarang dah boleh menjaga sembahyang Subuh dengan bangun setengah jam sebelum masuk waktu Subuh. Perubahan itu sudah semakin konsisten sekarang ini.
Thank You Allah. DIA memberi saya kekuatan.
Saya ‘terpengaruh’ dengan kealiman beberapa orang kawan di sini. Saya syukur sangat-sangat sebab apa yang saya nampak mereka buat, saya jadi terikut-ikut. Saya lihat mereka amat rajin bersembahyang, hatta sembahyang-sembahyang sunat sekalipun.
Bila saya tanya apa yang mendorong diorang jadi rajin bersembahyang camtu, kata mereka konsisten bersembahyang adalah cara untuk mereka mengucapkan rasa bersyukur kerana dikurniakan kerjaya, gaji, keluarga bahagia dan duit yang tak pernah putus-putus alirannya.
Wow..hebat sungguh jawapan yang saya dengar dari mereka. Air muka yang tenang membuatkan saya ingin menjadi seperti mereka.
Dekat dengan mereka membuat saya mendapat suntikan semangat. Mulai dari saat itu saya tekad untuk menjadi seorang lelaki yang konsisten menjaga sembahyang.
Bapa saya seorang ustaz, seorang imam juga seorang jurunikah bertauliah. Dia masih lagi bertugas di SK Tanjung Kapor, Semporna. Sejak tahun 1998, saya dan bapa agak renggang sebab kami jarang bersama-sama.
Oleh kerana saya selalu berjauhan dengan bapa saya agak terpengaruh dengan budaya sekular kawan-kawan saya di sini lagipun saya banyak berkawan dengan kawan-kawan beragama Kristian. Sembahyang Subuh, Zohor dan sembahyang-sembahyang lain sudah jadi macam biskut Chipsmore – sekejap ada sekejap tak ada.
Sebabnya, saya tak seronok bersembahyang. Tak ada feel. Saya jarang bergaul dengan orang bersembahyang.
Saya amat berterima kasih pada mak saya kerana mendesak saya menerima kerja yang sekarang ini walaupun saya yakin saya boleh mencari rezeki dengan berniaga maklumat melalui internet. Mulanya saya kurang selesa emak mendesak saya.
Rupa-rupanya, inilah hikmah di sebalik desakan mak saya yang menyakitkan jiwa. Saya bertemu dengan sinaran cahaya.
Dulu, pada saya, apa sangatlah yang ada pada jawatan Pembantu Syariah sebab kelayakannya menggunakan SPM saja. Saya kurang minat. Tapi semua ini saya lakukan kerana mahu menggembirakan mak saya lalu membuat dia bangga.
Setelah dua bulan saya di Mahkamah Syariah ni, seorang Hakim Syarie memanggil saya dan berkongsi ilmunya dengan saya. Kekaguman saya pada Hakim seorang ni amat tinggi.
Mukanya bersih, putih, bercahaya dan bibirnya selalu merah basah-basah. Tanda dia selalu berzikir. Ada satu kata-katanya yang betul-betul menyentuh hati saya.
Katanya, jika saya mencari hikmah di sebalik tugas-tugas sebagai Pembantu Syariah pasti saya akan jumpa keseronokan di dalamnya. Niatkan tugas itu sebagai cara untuk kita menabur bakti, mengumpul pahala selagi kita masih hidup di dunia.
Katanya lagi, pasti saya akan bertemu dengan ‘cahaya’. Cahaya itu akan membuat saya bersemangat sentiasa.
Ya Allah.. Itulah yang saya cari-cari sekarang ini. Cahaya!!
Dia mengajar saya supaya meniatkan kerja ini sebagai satu ibadah, bukannya bebanan semata-mata.
Begitulah kisahnya.
Catatan faizal yusup
Pada saya bila kita telah puas mencari ilmu dunia lambat laun pastinya kita akan bertemu dengan ilmu Allah. Kalau kita ada niat mencari, menjalankan usaha, membuka pintu hati seluas-luasnya saya percaya lambat laun kita akan temui apa yang kita cari itu. Allah akan lambat laun berikan hidayahNya.
Dalam kesah ini Allah Taala membawa adik ini ke jalan yang terang dan dia digerakkan untuk bekerja di tempat yang terdiri dari orang-orang yang soleh dan solehah dan bukan sebaliknya. Itu petanda kekasih sayang Allah kepada adik saya ini. Berhubungan dan berkawan dengan orang-orang yang beriman dan beramal soleh pasti akan sedikit sebanyak membersihkan hati.
Cahaya hidayah ini pula akan menerangkan hati, ke”terang”an dalam hati ini akan menyebabkan sifat-sifat yang menyorok di tempat gelap di dalam hati akan keluar dan digantikan dengan sifat-sifat yang terang lagi baik.
Maka keluarlah dari hati sifat-sifat resah gelisah, amarah, bosan, prasangka buruk, tension, iri hati dan yang lainnya lalu digantikan dengan ketenangan, keredhaan, kesabaran, berprasangka baik dan sebagainya. Nikmat yang hanya dirasai mereka yang merasai dan begitu sukar untuk dijelaskan dalam bentuk kata-kata.
Seterusnya cahaya ini juga menerangkan mata hati untuk melihat sesuatu kejadian dan peristiwa lantas dikaitkan dengan kekuasaan yang Esa.
Pada saya inilah yang terjadi dalam hatinya dan saya tak sabar menantikan tulisan-tulisannya selepas ini kerana saya yakin ia akan berbeza jauh berbeza dari apa yang pernah dia sampaikan sebelum ini.
Kepadanya saya ucapkan selamat kembali. Semoga Allah kekalkan kita dalam keimanan dan semoga dipertingkatkan keimanan kita dari hari ke sehari. InsyaAllah.
Fikir-fikirkanlah..
Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.
Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.
Ikhlas dari,
Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial
Email : greng70@yahoo.com
Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!
PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.
Terima kasih…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.