09 April 2010

Suami Bermasalah


Analisis Kes
Suami Bermasalah


Di sini saya mengambil beberapa kes dari blog Suzana Ghazali dan membuat analisa mudah mengenainya. Apapun ini bukanah analisa yang tepat kerana kita tak tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam perhubungan suami isteri tersebut. Tujuan saya menulisnya tak lain dan tak bukan hanyalah sebagai pengajaran, tamsilan dan iktibar yang boleh kita ambil darinya.

Ikutilah kes-kes berikut ;

Malam pertama saya berendam airmata kerana suami melarikan diri selepas akad nikah. Dia bergaduh dengan ibubapa saya kerana soal wang hantaran dan mas kahwin. Malam itu, dia keluar kononnya nak pergi beli rokok, tetapi sampai subuh tak pulang. Kami bercerai 3 bulan kemudian.

·         Masalah suami yang tidak bertanggung jawab.

Beli cincin pertunangan duit saya, belanja hantaran pun duit saya. Sekarang duit ansuran rumah, kereta, susu anak, belanja dapur semua di bahu saya. Dia cuma beri "benih" sahaja.

·         Masalah suami yang tidak bertanggung jawab.

Kami memang miskin. Saya buat macam-macam benda untuk tambah pendapatan. Jualan langsung, buat kuih, jual nasi lemak, jaga anak orang, upah sembat baju kurung. Suami saya lain pula ceritanya. Malam jadi "jaga"... siang dia kerja tidur atau melangut di kedai kopi.

·         Masalah suami yang tidak bertanggung jawab.

Suami mahu anak ramai dan tidak benarkan saya makan pil. Tetapi, belum pernah sekali pun dia mahu bangun malam buat susu anak/tukar lampin. Kalau alasan penat di pejabat, saya pun bekerja juga.

·         Masalah suami yang tidak bertanggung jawab.

MASALAH HATI

Kalau seronok beristeri muda, mengapa mesti nak banding-bandingkan kehebatan si madu di ranjang dengan saya? Tak puas lagi menyakitkan hati saya selama ini?

·         Masalah Hati – Sikap membalas dendam, sengaja menyakitkan hati.

Apabila marah, suami suka mengungkit setiap sen yang dibelanja untuk saya, sampaikan tambang haji saya ke Makkah yang dia bayarkan 3 tahun dahulu masih terus diungkit setiap kali bergaduh.

·         Masalah hati – Sifat mengungkit / tiada keikhlasan

Suami tidak mengaku anak lelaki bongsu zuriatnya, walaupun muka si anak 99.9% muka dia. Semua kerana suami cemburu sangat pada bos saya. Biarlah dia terus menfitnah saya kalau itu memberi kepuasan kepadanya.

·         Masalah hati – Syak wasangka buruk / Cemburu


Suami saya memang warak. Sembahyang tak pernah tinggal. Tetapi, saya tidak boleh tahan panas barannya. Kalau marah, habis dibaling barang-barang rumah. Kalau pukul, anak dibaling macam bola.

·         Masalah hati – Tak dapat menguasai sifat MARAH / tidak dapat menyebatikan kejadian kesabaran dalam hati.

Setiap kali mengandung, pandai-pandailah saya berjimat cermat untuk belanja bersalin. Apabila dah sampai waktu nak beranak, kemas kain baju sendiri, tahan teksi, pergi hospital sendiri. Jika nasib baik, suami jemput, kalau tidak pandai-pandailah saya balik rumah dengan anak.

·         Masalah Hati - Masalah suami yang pentingkan diri sendiri.

Suami tetap mahu saya masak macam biasa, hubungan seks 2-3 x seminggu dan rumah tidak boleh bersepah... Walaupun saya sedang sarat mengandung.

·         Masalah Hati - Masalah suami yang tidak punya sifat prihatin.

MASALAH PERBEZAAN ORANG DUNIA DAN ORANG AKHIRAT

Walaupun sudah lama masuk Islam... mandi hadas? Saya masuk Islam kerana mahu kahwin dengan suami. Tetapi dia tidak pernah sekali pun beritahu saya perlu mandi hadas selepas bersetubuh atau datang bulan. Dia sendiri pun tak pernah buat.

·         Masalah kurang pengisian keislaman.

Suami tidak pernah azan atau qamatkan kedua-dua anak kami sebaik sahaja dilahirkan dahulu.

·         Masalah kurang pengisian keislaman.

Saya dah tak larat menasihati suami supaya sembahyang. Bulan puasa dia suruh saya masak macam biasa. Anak-anak keliru melihat gelagat bapa mereka. Saya didik lain, si bapa tunjuk "contoh" lain.

·         Masalah perbezaan orang dunia dengan orang akhirat.
·         Masalah kurang pengisian keislaman.

Sepanjang pertunangan, dia tidak pernah ajak berbincang cara nak bentuk keluarga solehah. Tetapi, asyik fikir mana nak bulan madu. Nak buat teknik macam-macam. Saya putuskan pertunangan kerana merasakan dia tidak boleh bimbing saya soal agama.

·         Masalah perbezaan orang dunia dengan orang akhirat.
·         Masalah manusia yang gagal mengawal nafsu seksual.

Bapa tak pernah mengajar saya sembahyang dan puasa. Suami pun sama juga. Terpulanglah kepada saya nak dalami ilmu agama sendiri.

·         Masalah perbezaan orang dunia dengan orang akhirat.
·         Masalah kurang pengisian keislaman.

Siapa tidak sayang emak. Tetapi, saya tidak boleh tahan kalau suami sanggup bergolok-bergadai semata-mata mahu penuhi hajat emaknya yang berselera besar. Duit gajinya tak pernah cukup sebab bayar hutang kad. Terpaksalah saya menyara anak-anak.

·         Masalah keutamaan
·         Masalah suami yang tak bertanggung jawab.

MASALAH PERGANTUNGAN MANUSIA KEPADA CIPTAAN

Saya dipukul suami ketika mengandung anak kedua dahulu kerana saya tidak mahu beri dia duit yang saya kumpul untuk belanja bersalin. Dia penganggur dan gila main muzik sahaja. Duit tu dia nak beli gitar.

·         Masalah suami yang tidak bertanggung jawab.
·         Masalah pergantungan kepada ciptaan bernama GITAR dan MUZIK.

Memang hati saya bengkak kerana suami sanggup memaki hamun saya depan anak kerana tidak memandu berhati-hati sehingga kemalangan dan merosakkan kereta kesayangannya.

·         Masalah pergantungan kepada ciptaan bernama KERETA.

Kalau anak nak minta duit beli buku sekolah, suami asyik kata 'takde duit'. Kalau nak beli joran dan umpan, ada pula. Saya perhatikan saja gelagat. Nak tengok sampai setakat mana 'lemaknya'.

·         Masalah manusia yang kalah dengan PANCING.


Suami gila beli nombor ekor. Biasanya, dia suka tulis angka 1-10, letak di dalam mangkuk buat cabutan. lepas tu kalau ada nombor yg mengena, 2-3 hari tak keluar bawak teksi.

·         Masalah manusia yang kalah dengan JUDI.

Sewaktu bercinta memang saya tahu suami kaki judi tetapi dia berjanji nak berhenti lepas kahwin. Tak cukup gaji, barang kemas saya digadaikan. Orang datang tuntut hutang perkara biasa ~ pernah rumah kami dibaling tahi.

·         Masalah manusia yang kalah dengan JUDI.

3-4 bulan suami 'hilang' itu perkara biasa. Kadang-kadang sampai setahun. Saya tak perlu cari kerana tahu mesti dia di Serenti. Biasanya, dia kena 'serkup' waktu tengah tarik ganja dengan kawan-kawan.

·         Masalah manusia yang kalah dengan DADAH.

Anak ke-3 kami terencat sedikit. Suami penagih kronik dan sekarang dah ada tanda-tanda HIV.

·         Masalah manusia yang kalah dengan DADAH.

Dulu hidup kami senang juga. Tetapi, selepas suami kena buang kerja sebab ketagih dadah dan selalu ponteng kerja, terpaksalah saya kerja kilang nak sara anak-anak.

·         Masalah manusia yang kalah dengan DADAH.

Pernah saya nasihat suami jangan suka terima rasuah. Dia degil. Mula-mula cuma hamper, kemudian barang kemas. Akhir sekali duit berpuluh-puluh ribu. Apabila dia kena cekup polis saya nak kata apa? Terpaksalah saya sara anak sementara dia di dalam penjara.

·         Masalah rezeki yang halal.
·         Masalah suami yang kurang pengisian keislaman.

Selepas 3 bulan nikah baru saya berpeluang ikut suami yang bertugas di Sabah. Saya hairan tengok rumahnya nampak kemas dan berhias cantik. Apabila saya geledah satu almari di bilik tetamu, penuh baju perempuan. Puas ditanya baru dia mengaku selama ini dia duduk serumah dengan kekasihnya. Saya lari balik Semenanjung. Dia tidak pujuk. Lepas pantang saya terima surat cerai. Dia tidak pernah tahu macam mana rupa anaknya.

·         Masalah manusia yang gagal mengawal nafsu seksual.

Ramai menuduh saya jahat apabila bercerai dahulu. Bekas suami memang nampak warak, tetapi siapa pun tidak tahu saya merana kerana suami mahu seks tiap-tiap malam dan suka liwat saya.

·         Masalah manusia yang gagal mengawal nafsu seksual.

Bab duit ringgit saya tak nafikan suami memang bertanggungjawab. Saya dapat banglo besar, kereta besar, belanja mewah. Tetapi jiwa saya kering. Suami sayang anak, tetapi masih membiarkan saya melihat "gigitan cinta" perempuan lain di badannya.

·         Masalah manusia yang gagal mengawal nafsu seksual.

Suami tetap 'mahu' walaupun ketika saya datang bulan. Jika tidak dituruti dia mengancam mahu cari perempuan lain.

·         Masalah manusia yang gagal mengawal nafsu seksual.

Sejak berniaga, suami gila karaoke. Kononnya nak rai pelanggan. Kesudahannya dia yang sangkut dengan GRO Filipina di situ. Sekarang perniagaanya lingkup dan dia dah ikut perempuan Filipina tu balik negeri. Dengar khabar dah dapat anak luar nikah.

·         Masalah manusia yang gagal mengawal nafsu seksual.

Bekas suami saya dahulu memang kacak, kaya dan berkedudukan. Namun, saya lebih rela bercerai kerana dia ketagih hubungan seks sesama jenis.

·         Masalah manusia yang gagal mengawal nafsu seksual.

Saya rasa benar-benar terhina kerana suami mengabaikan keluarga apabila asyik bercinta dengan "maknyah / bapuk".

·         Masalah manusia yang gagal mengawal nafsu seksual.

Hancur hati saya apabila terserempak suami memakai coli dan seluar dalam saya. Rupa-rupanya dahulu dia "maknyah" dan berkahwin dengan saya kerana menuruti kehendak emaknya.

·         Masalah manusia yang gagal mengawal nafsu seksual.

Pakcik saya memang hebat sewaktu muda. Kacak, bijak dan kerja besar. Isteri 2-3 orang, kekasih keliling pinggang. Anak ramai. Tetapi selepas pencen, dia papa kedana sebab duit KWSP habis bayar hutang. Kesudahannya, semua isteri minta cerai dan anak lenyap. Akhirnya diamati seorang diri di katil hospital wad kelas tiga. Jenazahnya di urus abang saya dan pihak hospital.

·         Masalah manusia kena bogel. Ada artikel mengenainya yang pernah saya tulis.

Saya bekerja, suami bekerja. Tetapi, apabila pulang dari pejabat, suami terus capai kunci motor besarnya, merambu dengan kawan-kawan macam orang muda... sampai tergadai Maghrib dan Isyak. Tinggallah saya di rumah sorang diri terkial-kial menguruskan anak.

·         Masalah silap keutamaan. Melebihkan kawan-kawan dari rumahtangga.

Selepas 15 tahun berkahwin, rasa-rasanya gelaran saya sudah berubah. Dahulu 'isteri' sekarang 'pengurus anak-anak'. Hubungan dengan suami amat dingin. Kami hanya bercakap pekara penting sahaja. Hubungan seks hanya 2-3 bulan sekali. Itupun saya yang 'terhegeh-hegeh' . Saya pelik benar kerana dia bukan kaki perempuan dan memang confirm tiada isteri lain.

·         Masalah komunikasi

Tabiat suami saya memang pelik. Kalau ada masalah saja mesti cari bomoh, lepas itu tanam macam-macam jenis tangkal, mesti dia nak pergi 'bersangkak'.

·         Masalah kurang pengisian keislaman.
·         Masalah Akidah, ketauhidan kepada Allah.

Kesimpulannya, dalam hal ini sepertimana yang sering saya katakan dan akan saya ulangi. Kalau kita ada masalah di hati maka ia akan keluar dalam bentuk perbuatan dan tindakan yang akan kita lakukan biarpun amalan itu merupakan amalan harian. Bila hati kotor maka amalan serta perbuatan kita juga menjadi buruk.

Sebenarnya semua masalah ini baik dari segi keutamaan, tanggungjawab, sikap dan sifat, komunikasi, gagal mengawal nafsu, taksub kepada makhluk, kejadian dan ciptaan, perbezaan penerapan nilai diri dan yang lain-lain boleh dirangkumkan dalam satu rangkuman sahaja iaitu;


MASALAH KURANG PENGISIAN KEISLAMAN


Pengisian Keislaman sebenarnya menjawab semua persoalan di atas dan menyelesaikannya namun demikian ramai yang tidak mencarinya. Pengisian Keislaman menyelesaikan masalah hati, membersihkan hati, memperbaiki akhlak dan budi pekerti, mengenali diri, memperbaiki akidah, menjauhkan sifat-sifat kotor dan busuk di dalam hati dan lain-lain lagi.

Oleh itu carilah dan isilah diri dengan pengisian keislaman, fahami soal ketauhidan pada Allah, hayati hukum hakam, halal dan haram, perbaiki akhlak dengan berusaha meningkatkan keimanan dan amalan ibadah. InsyaAllah, Dia akan menyelesaikan semua masalah yang anda hadapi.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.