06 April 2010

Konflik Cinta - Bab 2 Bah 3


Setiap insan ada rahsianya. Apa rahsia anda?
NOVEL BERSIRI - KONFLIK CINTA
Bab 2 Bahagian 3

“ Kenapa ni? Ada yang tak kena?” tanya Zila dengan nada serius, keningnya mengerut seakan mahukan jawapan segera dariku.

        “ Tak ada apalah.. Tengah termenung memuja wajah Zila yang cantik.. ”  Helahku mengelak cerita sebenar.

        “ Man jangan nak coverlah, kalau Man boleh baca hati Zila, Zila pun boleh nampak hati Man tau. Zila tahu ada benda yang tak kena. ” Dia meneka.

Well frankly I guess we’re pretty much the same.., Aku memulakan bicara. Lalu aku ceritakan kisahku serba sedikit yang lebih kurang setara dengan kisahnya.

Zila, biarlah Man menceritakan terus pada Zila, kebelakangan ini Man rasa tidak keruan. Perasaan Man pun teruk terganggu hingga Man tak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran. Pelbagai perkara yang mengganggu dan bila Man muhasabah balik Man dapat rasakan masalah yang paling mengganggu dan membelenggu diri Man ialah perasaan geram, marah yang teramat sangat dan dendam yang rasanya semakin lama semakin sukar dibendung disebabkan oleh kenangan-kenangan pahit masa lampau disebabkan olah sikap bapa Man yang tak bertanggungjawab.

Bapa Man tu kaki judi, jadi dia melepaskan semua tanggungjawab yang sepatutnya dia pegang pada ibu. Ibu Man yang pada mulanya lemah lama kelamaan menjadi tonggak keluarga. Walaupun Man ada kedua ibu bapa tapi hakikatnya ibu umpama membesarkan kami adik beradik bagai seorang ibu tunggal.

 Masa tu ibu Man masih belum bekerja, jadi tak ada duit dan bergantung sepenuhnya pada pemberian bapa. Kadang-kadang bila dia tak balik tiga atau empat hari maka susahlah sebab tak ada makanan kat rumah. Terpaksalah mak menebalkan muka meminjam sedikit beras dari jiran buat masakan. Makanlah dengan kicap ke, dengan garam ke, buat perasa. Yang sedihnya kekadang ibu Man tak makanpun sebab dia kasihankan kami bertiga. Dia akan masuk ke dalam bilik kelaparan dan berendam dengan air mata.

Rumah Man selalunya macam dilanda puting beliung, kekadang bila ibu bergaduh dengan bapa, adik Man akan melenting menyalahkan bapa, lepas tu abang Man pulak naik minyak marahkan adik Man supaya adik jangan kurang ajar mencampuri urusan kedua ibubapa.

Man pulak selalunya akan lepak kat tangga di luar rumah untuk mencari ketenangan.  Maafkanlah Man kerana membebankan Zila dengan menceritakan masalah ini tapi Man berbuat begini bagi mendapatkan sebuah kelegaan.

Aku sendiri pelik kenapa hati aku begitu mudah menceritakan kisahku pada Zila walhal selalunya aku akan mengelak dari bercerita kisahku kepada sesiapapun.

“ Tak apalah Man, Kita lupakan masa lalu, We are here after all. Far away from all those pain and misery. Hari ni birthday si Haziq, when is yours?

“22 Ogos, tapi seumur hidup tak pernah sambut pun. Tak mampu. Zila punya bila pulak? ” Tanyaku kembali sebagai tanda balas pertanyaannya.

“ Lambat lagi December 12th nanti... I pernahlah sambut masa kecik-kecik dulu sebelum my mum cabut tapi lepas tu datukpun tiap-tiap tahun buat sambutan either for me or Nazlin.

“ Seronok ke? ”

“ Mestilah, diraikan, felt appreciated, dapat hadiah, saudara mara and kawan-kawan datang berkumpul. ”

“ Okay.. That’s good.

        Seterusnya kami berbual-bual tentang keadaan di Lincoln dan beberapa isu lain hinggalah kemunculan Zamri yang menyergah dari belakang.

        “ Wah! Patutlah tak nampak kat bawah, memadu kasih atas bumbung rupanya. Romantiknya...”
       
“ Cis! Kau ni kacau daunlah Zam, aku baru ingat nak ayat si Zila ni supaya jadi kekasih hati pengarang jantung aku...”

“ Habis Wati kau nak letak mana? ”

“ Eh! Wati kan kau punya apa? Apa kena mengena aku dengan Wati pulak? Pepandai je kau ni.. ” Sangkalku.

“ Eh! Dahlah tu! Jom kita turun... Kita makan lagi... ” Pintas Zila pantas memotong gurauan kami.

XXXXXX

Malam semakin larut. Aku sedang duduk bersimpuh di atas kerusi termenung di hadapan meja tulis di dalam kamarku. Siang tadi aku menghabiskan masa dengan Zila di kampus bercerita tentang pelbagai perkara suka dan duka. Semakin hari aku dapat rasakan yang perhubungan kami semakin rapat.



Diariku aku keluarkan dari laci. Aku mengambil pen dan terus menyusun huruf menjadi perkataan yang kususun menjadi olahan-olahan ayat yang teratur mengikut alunan isihati yang mendendangkannya..

Catatan hidupku,
           
Malam menyambut harijadi Haziq beberapa minggu lalu merupakan kali pertama aku dapat mengenali hati budi Zila, gadis yang luarannya nampak ceria hakikatnya penuh rahsia. Adegan kami duduk bersama di atas bumbung rumah ini merupakan kenangan yang melekap di sanubari dan tak akan aku lupakan.

Sejak itu kisah derita dan sengsara di awal kehidupan saling bertukar tangan diantara kami berdua. Persamaan inilah yang mungkin menyebabkan kami serasi. Kami persis dua orang insan yang bertemu di dalam jurang yang gelap dan dalam saling bantu membantu memanjat setapak demi setapak ke atas demi untuk mencari jalan keluar. Bezanya dia memilih jalan dunia dengan berhibur di kelab, merokok dan minum arak dan aku pula memilih jalan akhirat dengan mendekatkan diri pada Allah Taala.

Apapun pada aku, mungkin didikan dan penghayatannya pada ugama masih belum cukup mendalam oleh itu aku perlu menyampaikan pengisian sehinggalah Allah memberikan kefahaman dalam hatinya satu hari nanti. Bagi aku analogi untuk menerangkan pengisian keislaman dalam hati ini sama seakan permulaan kehidupan seorang manusia. Semasa dia masih bayi maka dia tak tahu apa-apa maka bila dia menangis maka kita perlulah berikan dia susu, tukarkan lampin dan sebagainya. Begitu jugalah halnya bagi mereka yang mempunyai pengisian keislaman yang cetek. Mereka tidak faham akan selalu menangis. Jadi bantuan mesti dihulurkan. 

Kalau ikutkan perasaan, mahu sahaja aku menjauhkan diri namun inilah yang disukai syaitan iaitu untuk aku mengambil tindakan untuk membenci dan memisahkan diri tapi aku yakin setiap jodoh dan pertemuan itu ada sebab musababnya yang tersendiri maka aku perlu tabah dan bersabar dalam hal ini kerana aku tahu yang apa yang akan aku usahakan ini adalah kerana Allah Taala.

Bila aku fikirkan akan kisah kesukaran Zila di zaman mudanya dan kalau dibandingkan denganku, aku teringat kepada satu artikel yang pernah aku baca dalam Buku Keluar Dari Tempurung yang menceritakan tentang dua jalan berbeza. Satu jalan taat dan patuh dan satu lagi jalan pemberontakan, mungkin aku mengikut jalan yang patuh dan mungkin dia pula mengikut jalan yang satu lagi. Aku seorang yang redha pada setiap permasalahan yang berlaku dan menganggapnya sebagai kehendak mutlak Allah Taala sedangkan dia pula berdendam dan menyalahkan keadaan.

Mungkin pintu hatinya masih belum terbuka untuk mendapat hidayah Allah Taala. Apa yang ditakuti ialah dia akan terus-terusan begitu dan ini mungkin boleh menyebabkan dia melencong lebih jauh. 

InsyaAllah aku harap aku akan dapat membantunya dan berdoa agar jodoh kami berpanjangan dan satu hari Allah mengurniakan hidayahNya ke dalam hati kecilnya.

Sekian untuk catatan kali ini.


Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat dan menghalangi manusia dari jalan agama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya.

Ibrahim ayat 3

Ikhlas dari,

Faizal Yusup

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.