16 April 2010

Penyampaian / Pengeluaran / Output / Dakwah

 

Dalam bab penerapan nilai diri atau pembentukan nilai menjadi prinsip diri yang lepas-lepas saya menekankan kepada Konsep 4P (klik di sini). Konsep yang terdiri daripada faktor-faktor berikut;

·         Pengisian
·         Pengulangan
·         Pengukuhan dan
·         Penerapan.

Namun itu semua adalah berkenaan dengan input atau pengisian yang masuk ke dalam diri lantas menjadi prinsip pembawakan diri kita hari ini.

Bagaimana pula dengan kefahaman kepada input yang masuk ke dalam diri itu? Bagaimanakah kita akan tahu yang kita telah punya kefahaman yang jitu mengenai sesuatu topik yang dibicarakan? Dalam kehidupan bukannya ada peperiksaan untuk melihat berapa markah yang bakal kita dapat. A, B atau C, lulus atau gagal.

Jadi setelah menjalankan konsep-konsep teorinya tiba masa untuk kita menjalankan praktikalnya. Sudah puas kita membaca buku mengenai bagaimana untuk membaiki kereta sekarang telah tiba masanya untuk kita cuba membaiki kereta yang rosak. Dapatkah kita baikinya? Cukupkah hanya dengan ilmu teori input dan pengisian? Pastinya tidak. Kita berilmu tetapi tidak menyampaikan ilmu tersebut mahupun beramal dengannya. Maka saya rasa ia akan menjadi sia-sia.

Baiklah biar saya kenalkan anda kepada pelengkap penerapan nilai diri ini atau P yang kelima,

P yang Ke 5 itu ialah,

Pengeluaran atau Penyampaian


Dalam Pendidikan

Tak guna kalau kita belajar dengan bersungguh-sungguh, pergi ke sekolah saban hari, mengulangkaji bila ada masa yang terluang dan sebagainya tetapi kita masih gagal mendapat keputusan yang cemerlang. Ini kerana mereka memasukkan input ke dalam diri tetapi kita tak tahu berapa peratuskah kefahaman yang masuk ke dalam diri itu. Kefahaman ini akan diuji semasa peperiksaan. Pada masa inilah pengeluaran atau output itu akan mengambil tempat. Peratusan kefahaman itu akan hanya dapat dilihat bila kita mendapat keputusan peperiksaan itu nanti.

Sebenarnya sistem pembelajaran output ini telah digunakan sejak sekian lama di negara-negara yang maju dan dewasa ini telah banyak syarikat pendidikan yang telah menggunakan sistem pembelajaran output ini sebagai pelengkap pembelajaran. Dalam sistem ini pelajar akan melakukan latih tubi dengan menjawab soalan-soalan melalui pemantauan komputer. Latihan demi latihan menjawab soalan ini bakal meningkatkan kecemerlangan mereka dalam menjawab soalan lantas bakal mendapat kelulusan yang cemerlang. Mereka masuk dalam dewan peperiksaan melakukan persediaan sebelum peperiksaan sebenar. ( Nak tahu lebih lanjut hubungi saya )

Dalam Kehidupan

Katalah kita sudah faham dan mempunyai input kegigihan dan berinisiatif dalam diri contohnya. Ia tak akan berharga kalau kita tak dapat mengeluarkannya dalam bentuk tindakan. Mereka yang berjaya terdiri dari mereka yang punya sifat gigih tanpa mengenal erti jemu ini. Mereka sentiasa melakukan usaha yang berterusan atas apa juga projek yang sedang mereka jalankan hingga ia membuahkan kejayaan. Namun demikian dalam kehidupan kita tak akan dapat menguji keupayaan tersebut dengan peperiksaan yang tertentu contohnya.

Ianya juga tak cukup hanya dengan berdoa kepada Allah Taala agar Allah kurniakan rezeki yang berlipat kali ganda, memperluaskan rezeki dan sebagainya sekiranya kita tak berusaha dengan gigih untuk mendapatkan rezeki tersebut. Yang pastinya rezeki tak akan datang bergolek.

Kecemerlangan apa yang kita usahakan hanya akan kelihatan melalui keuntungan yang kita dapat, melalui kebahagiaan rumahtangga, melalui kedudukan kewangan yang semakin meningkat, melalui nama yang semakin dikenali, melalui kenaikan pangkat dan sebagainya.


Dalam Sukan

Kalau kita bermain bolasepak dan telah mempelajari semua input, menonton video, diberi latihan mental, fizikal dan taktikal oleh jurulatih maka kita perlu menjalani perlawanan persahabatan untuk menguji pasukan sebelum ke perlawanan sebenar. Demikian jugalah untuk tinju, lumba basikal, lumba lari, badminton dan sebagainya. Apa yang telah kita pelajari itu perlu dikeluarkan bagi menunjukkan kefahaman dan kemenangan bakal bererti yang kita telah berjaya menguasai ilmu tersebut.

Dalam Aspek Ilmu dan Pengalaman

Tak guna juga kalau kita punya banyak input ilmu dan pengalaman kalau kita tak sampaikan pada orang lain. Pengalaman dan input itu seharusnya kita sampaikan kepada generasi muda agar mereka boleh mengembangkannya mahupun mengambil iktibar dan pelajaran darinya. Ini kerana sekiranya tidak pengalaman dan ilmu yang ada itu akan hanya mati bersama-sama dengan diri kita.

Seorang tukang kayu yang handal mengukir, seorang pembuat rumah dan sampan kayu, seorang pakar hal ehwal akar kayu, seorang ahli sejarah, ahli ugama, ahli sastera, ahli budaya dan sebagainya bakal pergi membawa ilmunya sekali sekiranya dia tidak menyampaikannya kepada generasi yang muda contohnya. Inilah antara sebabnya penulisan merupanya satu kerja yang mulia kerana ia menjadi penyambung ilmu dan pengetahuan diantara satu generasi kepada generasi yang lainnya.

Dalam Aspek Dakwah

Dalam aspek dakwah pula, mereka-mereka yang punya ilmu ugama mestilah menjalan usaha dakwah ini untuk mengajak manusia kembali ka jalan Allah Taala. Ia berbeza dengan penyampaian ilmu dunia yang tujuannya untuk mencari rezeki dan sebagainya tetapi ilmu akhirat ini bertujuan untuk menyedarkan manusia agar mereka menjalani kehidupan dalam rangkuman ibadah kepada Allah Taala demi untuk mencari keredhaanNya.

Ia penting kerana yang pastinya hidup di muka bumi ini hanyalah sementara dan sesungguhnya mati itu wajib bagi manusia bila tiba waktunya nanti. Jadi mereka yang tahu mesti menyampaikan walaupun satu ayat sepertimana yang disarankan oleh Rasullullah SAW.

Saya menekankan akan topik ini kerana kekadang saya melihat ada mereka-mereka yang punya ilmu, pengetahuan dan pengalaman ini, hanya menggunakan kelebihan ini untuk dirinya sendiri. Tidak disampaikan kepada yang lain. Mereka berharap orang akan dapat belajar melalui teladan yang mereka berikan. Teladan sebenarnya akan lebih mudah difahami dan diambil iktibar tatkala ia diterangkan dan dijelaskan kepada mereka-mereka yang dijodohkan dengan kita.

Kesimpulan dari artikel ini ialah jadikanlah faktor P yang kelima ini iaitu Penyampaian atau Pengeluaran (output) ini sebagai prinsip diri.


Sampaikanlah walau satu ayat. Tak kira dimana melalui percakapan, penulisan artikel, buku, media, blog dan sebagainya. Kalau kita punya banyak pengalaman sekalipun tetapi kalau kita tak kongsikan kepada yang ramai maka semua pengalaman itu tiada gunanya. Ini kerana tiada siapa yang akan dapat belajar darinya mahupun mengambil iktibar darinya.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.