21 April 2010

Konflik Cinta - Bab 3 Bah 1


Setiap insan ada rahsianya. Apa rahsia anda?
NOVEL BERSIRI - KONFLIK CINTA
Bab 3 Bahagian 1


Cuaca di Lincoln terasa semakin sejuk. Dedaunan yang kuning keperangan sudah mula luruh menandakan yang musim salji akan tiba tak berapa lama lagi. Pemandangan di luar jendela dari bilikku ini cukup menarik dengan hamparan dedaunan yang kuning kecoklatan itu menghiasi latar belakangnya.

Hari ini genap lapan bulan aku berada di daerah ini namun keputusan peperiksaanku masih lagi belum menunjukkan peningkatan. Keputusan peperiksaan semester pertama yang keluar dahulupun cukup mengecewakan. Kemudian aku cuba meningkatkan usaha namun masih tiada peningkatan yang ketara. Aku buntu.

Malam itu pulang dari kuliah aku duduk termenung di dalam bilik berseorangan memikirkan tentang pelajaranku, aku dapat rasakan yang semenjak kehadiranku di sini hatiku tidak tenteram. Sebelum ini selama dalam pembelajaran belum pernah aku menghadapi keadaan yang sebegini. Aku rasakan seakan aku membawa beban yang amat berat selama aku di sini. Ada sesuatu yang tidak aku ketahui mengganggu tumpuanku pada pelajaran.

Salah satu tabiat utamaku ialah aku suka berfikir. Setiap yang berlaku di hadapan mataku akan aku fikirkan dan cuba dibuat kesimpulan untuk dijadikan iktibar. Menurut Islam ia dinamakan muhasabah diri atau cermin diri. Malam itu aku memulakan tindakan menganalisis akan apakah permasalahan yang menyebabkan keadaan jadi sebegini. Setelah memikirkannya sedalam-dalamnya beberapa sebab bermain di fikiranku.

Pertamanya, perhubunganku dengan Allah masih intact seperti biasa cuma bezanya di sini tiada madrasah, surau mahupun masjid yang berdekatan untuk aku menunaikan solat jemaah. Semenjak ke daerah ini aku tak pernah mendengar laungan azan. Jadi dalam hal ini tak banyak yang boleh aku lakukan melainkan memperbanyakkan ingatan pada Allah dengan membaca Al-Quran dan lain-lain. Seterusnya, aku juga mesti menjaga makan minumku bagi memastikan yang semuanya halal, ini kerana di sini mencari makanan yang halal merupakan satu tugas yang sukar.

Keduanya, mungkin juga gangguan ini disebabkan kerana aku dalam kerinduan, rindu kepada insan-insan di tanah air, rindu pada makanan, rindu pada tempat dan keadaan. Untuk ini aku perlu lebih kerap menghantar surat, menelefon dan sebagainya. Ketiganya mungkin kerana aku belum dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di sini. Keempatnya mungkin juga halangan itu disebabkan kerana perbezaan bahasa atau cara aku menjawab soalan-soalan yang diberikan. Kelimanya mungkin juga kaedah pembelajaranku perlu aku pertingkatkan dengan menukarkan regim lama kebiasaanku di Malaysia kepada regim yang baru.


Tetapi bila aku fikirkan sedalam-dalamnya aku percaya sebab utama yang membelenggu diri ini ialah mengenai bebanan kemarahan, dendam kesumat yang aku bawa terhadap bapaku. Sebagai anak maka beruntunglah kalau mereka dijodohkan dengan bapa yang baik sifatnya. Namun sekiranya terdapat kekurangan samaada dia kaki judi, kaki botol, kaki perempuan, kaki dadah, kaki pukul, atau kaki-kaki yang lainnya, atau campuran dari mana-mana yang tadi atau kesemuanya sekali maka inilah dugaan dari Allah yang perlu kita tangani sebagai anak. Kadang-kadang ada anak yang punya ibubapa yang baik tetapi anak itu pula yang mendatangkan masalah. Kesimpulannya manusia jarang pernah bersyukur dengan apa yang mereka ada.

Kisah Zila banyak mengingatkan aku tentang bapaku sendiri. Aku tak mahu lagi membawa beban di bahu ini. Aku pernah terbaca, setiap kali kita tidak memaafkan seseorang dalam hidup ini, ia umpama memasukkan seketul batu ke dalam guni yang kemudiannya kita pikul. Maka setiap kali kita tidak memaafkan orang maka bertambahlah sebiji batu di dalam guni yang kita pikul. Maka semakin lama semakin beratlah bahu kita untuk memikulnya sepanjang hidup kita. Mungkin bebanan yang ada di bahu aku dikala ini mengganggu fokusku terhadap pelajaran. 

Mungkin cara yang terbaik untuk meringankan beban ini ialah untuk memaafkan bapaku itu. Mungkin dengan berbuat demikian aku akan mendapat ketenangan dan seterusnya menumpukan perhatianku terhadap pelajaran. Ini sebenarnya merupakan sesuatu yang berat untuk dilakukan memandangkan aku telah membawa pahit maung pengalaman kehidupan bersamanya sepanjang masa. Siapalah aku yang tak mahu memaafkan? Sedangkan Allah Maha Pengampun, sifat mengampunNya jauh lebih besar dari sifat menghukumNya malah Nabi mengampunkan umatnya. Memikirkannya aku sebenarnya tidak punya hak untuk tidak mengampunkan walaupun apa juga dosa mereka kepadaku.

Semalaman aku memikirkannya. Imbauan kisah lalu yang penuh suka dan duka bertali arus menatakan imejnya yang tanpa henti dalam bayangan yang bermain di dalam kepalaku. Hatiku gelisah tak menentu. Badanku seram sejuk, sesekali imbauan peristiwa itu menghibakan hatiku.

Sepanjang hidupku belum pernah aku meletakkan prinsip ini dalam sistem kehidupanku. Aku seakan berada di sebuah pintu kemaafan yang perlu aku buka dan InsyaAllah akan membawa aku ke dalam hamparan dunia serta pemandangan yang baru yang sukar dimengertikan. Membuka pintu kemaafan ini adalah sesuatu yang terlalu berat untuk aku lakukan tetapi aku juga tahu membawa dendam kesumat di hati lebih buruk kesannya pada aku.

Setelah aku fikirkan sedalam-dalamnya akhirnya aku mengambil keputusan untuk membukanya dan memaafkan bapaku atas apapun juga kesalahan yang telah dia lakukan selama ini.

“ Ya Allah mulai detik ini bersaksilah yang aku mengampunkan segala kesilapan yang telah dilakukan oleh bapaku terhadapku selama ini. Biarlah segala kesakitan, deraan jasmani, emosi dan akal selama hari ini berlalu pergi. Pergi jauh dari ingatanku... ”

 Pada masa yang sama aku harap dia juga memaafkan aku anaknya ini atas segala kesalahan yang aku lakukan padanya.

Dinihari yang bersejarah ini juga aku mengambil keputusan untuk memaafkan semua orang yang aku rasakan pernah bersalah padaku. Aku juga berharap semoga mereka semua memaafkan aku andai aku ada melakukan sebarang kesalahan pada mereka dalam sedar mahupun tidak. Cukuplah, aku tak mahu lagi membawa beban-beban dendam ini di dalam hidupku. Aku mengambil keputusan muktamad melepaskan semua batu-batu ini dan aku juga tak mahu lagi memikul beban yang baru. Maka di sini di dalam bilik ini semua beban itu aku lepaskan.

Tanpa aku sedari, genangan airmata tak dapat kutahan lagi, ia mula berlinangan. Biarlah segala dendam dan kemarahan yang terbuku jauh di sanubariku selama hari ini pergi bersama linangan airmata yang menderu ini. Tetapi.... aku tahu ia bukan semudah yang aku disangka... namun aku berjanji selagi daya untuk mencuba... memaafkan dan melepaskan pergi.

Aku tahu yang aku tak sepatutnya mengeluarkan airmata kerana makhluk tetapi airmata lelaki ini bukan menunjukkan kelemahan tetapi ia keluar atas rasa keinsafan. Keinsafan yang mendalam kerana sebagai manusia aku tak sepatutnya menyimpan dendam pada sesiapapun. Hakikatnya aku tiada hak untuk tidak mengampunkan mana-mana manusia sekalipun lebih-lebih lagi manusia itu merupakan bapaku sendiri. Hari ini pintu kemaafan terbuka dalam hatiku dan esok lusa masih banyak lagi pintu-pintu yang perlu aku tempuh dalam menjalani kehidupan ini. Pintu keyakinan, kesabaran, keimanan dan sebagainya.

Tatkala Zamri melangkah masuk ke dalam bilik aku terus masuk bilik air dan mandi bagi mengelakkan Zamri nampak tangisan senduku itu. Semasa mandi tangisan itu bersambung lagi. Airmata bertali arus menuruni pipiku bersama dengan pancuran air yang terus mencurah keluar. Biarlah ia pergi, biarlah ia berlalu. Desis hatiku.

Malam itu aku melelapkan mata dalam sendu tangis kelegaan yang mendalam.

XXXXXX


        Kedamaian pagi ini jelas terasa. Sesuatu yang pelik terjadi bila aku bangkit dari tidur. Badan aku terasa sangat ringan, belum pernah aku rasakannya seringan ini. Satu macam kelegaan telah menular memenuhi semua pelusuk ruang dalam diriku ini.

Sedang aku bersiap untuk ke kuliah. Zamri menyapaku,

“ Kau okay tak ? Muka kau nampak sembab semacam je.. Kalau tak okay, baik kau rileks je kat rumah. Apa salahnya tuang kuliah sekali sekala.”

“ Entahlah Zam, tapi aku rasa a lot better hari ni. ”

“ Baguslah kalau macam tu, by the way, Happy Birthday Bro’.. ”

“ Eh! Mana kau tahu? ”

“ Err.. Aku tahulah, aku ni keturunan Nujum Pak Belalanglah, ” jawabnya seakan tak mahu memberikan jawapan yang sebenar.

“ Sukahati kaulah, anyway, thanks bro. ”

“ Aku gerak dulu bro’, si Haziq dah tunggu kat bawah tu. Dia ajak pergi sekali. Marah pulak dia kang. ” Kakiku sudah mula melangkah menuruni tangga. ”

“ Semasa dalam kuliah Sociology di Avery Hall. Handphone ku bergetar. Ada SMS dalam inbox. ”

Man balik pukul berapa hari ni?

Kul 5. Jawabku.

Can I c u at the Union then? Balasnya.

5.30 bleh, nak solat Asar dulu kat Culture Centre. Asar masuk kul 5.15.

K

Bilik di bawah tanah Culture Centre bukanlah sebuah surau tetapi ia dijadikan tempat berkumpul para pelajar Islam di sini dari serata pelusuk dunia baik dari Malaysia, Indonesia, Pakistan, India, China, dari Timur tengah dan banyak lagi. Selesai Asar aku melangkah menuju ke Union.

 
Setibanya aku di Nebraska Union, Zila telahpun menunggu di kawasan lobby. Dia memakai baju blaus berbunga kecil yang dipadankan dengan skirt  paras lutut. Rambut panjang ikal mayang berkarat itu dibiarkannya lepas.

        “ Kenapa mata kau bengkak Man? Kau menangis ke...? Tak apa nanti Man cerita okay, sekarang masa untuk bergembira..” Tergamam aku dengan keprihatinannya. Sebelum sempat aku bersuara Zila menyambung,
       
“ Jom, Zila nak ajak Man tengok wayang ni. ”
       
        “ Eh! Kenapa pulak dengan Zila ni, dah buang tabiat ke? ”

        “ Eh! Birthday boykan, Zila belanjalah. ”

        “ Tapi Man punya turn masak malam ni. Barang nak masak pun tak beli lagi. ” Dalihku.

        “ Tak apa, Zila dah minta tolong Zamri settlekan. ”

        “ Ye ke? Aku meminta kepastian. ”

        Trust me. ”

Malam itu kami berdua bersetuju untuk menonton filem “The Lake House” lakonan Kaenu Reeves dan Sandra Bullock. Cerita itu mengisahkan tentang kisah cinta dua insan yang berada dalam lingkungan waktu yang berlainan dan ia sungguh menyayat hati.

Selepas menonton kami masih tak habis-habis menceritakan tentangnya. Jam menunjukkan pukul 8:05 malam.

        “ Jom, kita gi Denny’s. ” Zila nak belanja Man makan malam pulak.

        “ Ish! Tak payahlah, Zila dah belanja tengok wayang dengan pop corn semua tu cukuplah. Jomlah balik, dah Maghrib ni.”

        I insist, ” kata Zila menarik lenganku menuju ke kereta Buick second hand berwarna silver miliknya itu. Nasib baiklah aku memakai baju turtle neck berlengan panjang. Bisik hatiku.

        “ Okay! Okay! Tapi dengan satu syarat, kena solat Maghrib dulu kat Culture Centre. ” Jelasku.

        “ Okay. Tapi Zila cutilah.. ” Jawabnya pantas.

Selesai Maghrib kamipun terus menuju ke Restoran Denny’s, restoran yang agak eksklusif itu yang terletak sebelah timur kira-kira tiga kilometer dari Universiti. Dalam perjalanan aku mengulas serba sedikit tentang kisah malam semalam.

“ Tak apalah Man, It’s a good thing to do, Zila harap Zila pun boleh buat begitu suatu hari nanti. By the way, you can always have my shoulder to cry on..” Zila memberi jaminan.

Kami tiba di Denny’s dan selepas meletakkan kereta Zila memintaku menunggunya di luar kerana dia hendak membuat panggilan penting katanya. Dari luar kereta, dia kelihatan sungguh ayu malam itu, aku nampak dia dengan keletah riangnya sedang bercakap di telefon, aku terasa pelik. Seakan ada perkara yang dirahsiakannya dariku.

Sejurus kemudian kamipun melangkah masuk ke dalam restoran itu. Seorang waiter ada menunggu di hadapan pintu mengucapkan selamat datang. Zila terus mengajak aku ke tingkat atas. Tangga sebelah kanan restoran itu kupanjat satu per satu diturutinya dari belakang. Sesuatu yang aku tak pernah jangkakan seumur hidupku terjadi...

Bersambung...

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.