Entah kali keberapa saya menulis mengenai topik ini. Bezanya saya menulisnya dari sudut pandang yang berbeza. Itu sahaja.
Keredhaan adalah adalah satu sifat dalam rangkuman Rukun Iman iaitu Percaya Kepada Qada dan Qadar. Percaya yang sesungguhnya semua yang berlaku itu berlaku atas susunan Allah Taala. Maka orang yang beriman kepada Allah mestilah mempunyai sifat redha ini.
Apakah yang boleh kita lakukan;
· bila kita kalah dalam sesuatu pertandingan?
· bila kita gagal dalam peperiksaan / temuduga?
· bila kita gagal mendapat anak?
· Bila putus cinta / bercerai?
· bila anak / orang tersayang mati kemalangan?
· bila diserang penyakit kronik?
· bila muflis?
· bila pasangan berlaku curang?
· bila pasangan memungkiri janji?
Adakah kita akan merasa sedih / kecewa sampai mati?
Kalau kita keluarkan air mata darah sekalipun apa yang berlaku telah berlaku, kita tak akan dapat mengembalikan masa yang telah lalu, nasi telah menjadi bubur. Air dah tumpah. Lap sahajalah.
Dalam ertikata lain pertamanya redhalah dengan apa juga ketentuan yang telah berlaku itu. Terima seadanya. Semua ini takdir Allah dan ia sudah tertulis.
Janganlah menyalahkan orang lain kerana dengan menyalahkan orang lain sebenarnya kita menyalahkan Allah Taala. Ini kerana mereka itu merupakan perantara Allah untuk menguji diri kita agar kita mengambil iktibar.
Janganlah menyalahkan diri sendiri hingga membawa kepada kemudaratan. Tak makan, tak minum, sedih yang berpanjangan, putus asa, kecewa dan ingin membunuh diri dan sebagainya. Haram hukumnya.
Seterusnya kalau melibatkan hukuman, janganlah menghukum lebih dari yang sepatutnya. Kalau nak menghukum hukumlah dengan adil dan dalam rangkuman hukum hakam yang dibenarkan Islam. Sebaiknya kita bersabar dan menyerahkan pembalasan itu kepada Allah Taala. Sesungguhnya ini jauh lebih baik dan
Kalau orang yang telah berbuat salah itu telah meminta maaf maka maafkanlah kerana Nabi SAW ampunkan umat malah Allah Taala juga MAHA Pengasih, MAHA Penyayang dan MAHA Pengampun. Tiada sebab untuk kita tidak memaafkan mereka. Terima apa yang telah dizahirkan, ini kerana kita tak boleh membaca apa yang ada dalam hati manusia. Bawa berbincang. Carilah punca masalah tersebut dan cuba atasinya. Keluarkan ia dari tempat gelap dan bawa ia ke tempat yang terang.
Masalahnya,
Ramai yang masih belum punya sifat REDHA ini di dalam hati. Bila tak punya sifat redha ini maka tiada apa yang akan dapat dilepaskan pergi. Setiap kesalahan yang berlaku akan terus-terusan diingati sampai mati. Diungkit dan terus diungkit. Forgive but not Forget kata mereka. Tak Redha apatah lagi dapat memaafkan.
Oi! Ingatlah tiada manusia yang sempurna. Kenapa? Anda tak pernah buat sebarang kesilapan dalam menjalani kehidupan? Maaf! Itu saya tak percaya. Saya pasti anda juga ada melakukan kesilapan. Saya sendiri pun sering melakukan kesilapan demi kesilapan dalam kehidupan.
Tanpa sifat Redha ini hati anda akan berpenyakit, setan akan masuk melalui rongga-rongga yang anda buka. Anda bakal punya sifat tak puas hati, pendendam, iri hati, berprasangka buruk, tamak, bercelaru, gelisah dan segala macam sifat buruk yang lain. Masalah yang kecil akan menjadi besar dan semakin berserabut. Lama kelamaan anda boleh jadi paranoia, bermasalah mental, tak boleh tidur, tekanan perasaan, bosan, pemarah, kaki pukul, kaki maki hamun dan sebagainya. Setan telah berjaya menguasai hati anda. Apa yang ditakuti ialah hati anda mungkin akan MATI dan langsung pada ketika itu tidak lagi dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil, yang benar dengan yang salah.
Janganlah buka rongga-rongga hati hingga membolehkan setan memasukinya. Setan duduk di tempat kotor, jamban dan tempat busuk yang lainnya. Janganlah jadikan hati anda hati yang busuk dan berpenyakit hingga menjadi tempat setan menghuni. Busuk dengan sifat-sifat buruk yang telah saya perkatakan tadi.
Bersihkanlah hati, tutuplah semua rongga itu dengan sentiasa mengingati Allah Taala. Berzikirlah, bacalah Al Quran, bersolatlah, berkawanlah dengan orang yang soleh, beribadahlah. Semua ini adalah pertahanan hati atau merupakan “force field” yang tidak kelihatan yang dapat menghalang kemasukan setan dan kalau setan ada di dalam hati selama ini dan bila pembersihan mula dilakukan dengan taubat dan amalan ibadah maka ia akan tak senang duduk, kepanasan dan akhirnya akan keluar dari hati anda. Percayalah.
Anda perlekehkan solat, anda tak berzikir dan mengingati Allah? Anda menjalani kehidupan sekular? Maka sedarilah yang anda membuka ruang yang luas di hati untuk kemasukan setan mahupun makhluk halus yang lain. Anda akan menjadi orang yang mengikut nafsunya. Janganlah salahkan sesiapa sekiranya kehidupan anda tunggang langgang, tidak keruan dan sentiasa dalam tekanan yang berterusan.
Fikir-fikirkanlah..
Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.
Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.
Ikhlas dari,
Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial
Email : greng70@yahoo.com
Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!
PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.
Terima kasih…
' style='padding: 0; border: none;'/>
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.