02 September 2010

Kes Buang Bayi




KUALA LUMPUR: Mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sejumlah 50 kes buang bayi dicatatkan sepanjang Januari hingga September 2008 dengan pasangan Melayu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 36.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, ketika mengulas fenomena membimbangkan ini berkata, beliau terkejut dan kecewa kerana statistik itu menunjukkan gejala keruntuhan akhlak semakin teruk.

“Membuang bayi baru lahir menunjukkan pasangan terbabit tidak prihatin dengan apa yang mereka lakukan hingga bayi tidak berdosa dijadikan mangsa.

“Kementerian memandang serius masalah buang bayi dan menggariskan dua perkara penting untuk dijadikan panduan bagi membendungnya, iaitu penekanan dalam aspek pendidikan dan membendung penyebaran media negatif seperti bahan pornografi,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.
Menjelaskan tindakan kerajaan dalam mengendalikan kes bayi yang dibuang, beliau berkata, jika masih hidup, bayi itu akan diberi penjagaan rapi oleh JKM.

“Jika ada mana-mana pasangan mahu mengambilnya sebaga anak angkat, ia dibolehkan, cuma mereka perlu mengikut prosedur.

“Bayi malang itu tidak berdosa dan wajar diberi kasih sayang. Kerana itu, kami galakkan mereka dijadikan anak angkat supaya mendapat kehidupan lebih baik,” katanya.

Ng turut menasihatkan remaja atau belia yang terlanjur supaya tidak membuang bayi baru lahir, sebaliknya menyerahkan kepada JKM untuk dijaga.

“Jika ada masalah, jangan ambil jalan singkat dengan membuang bayi, sebaliknya dapatkan nasihat bagi mencari jalan terbaik kerana bayi itu tidak berdosa selain tidak minta diperlakukan seperti itu,” katanya.

Sementara itu, Pakar Psikologi Kanak-kanak dan Remaja, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Khaidzir Ismail, berkata gejala pembuangan bayi berlaku kerana faktor pergaulan bebas, keluarga berpecah-belah, persekitaran, tidak tahu menyelesaikan masalah, masalah komunikasi serta kawalan diri.

“Asas kepada gejala ini berlaku bermula daripada menonton filem lucah, kemudian bercium, meraba, SMS lucah dan menyimpan koleksi video lucah. Apabila perkara ini menjadi perkara biasa, tidak mustahil ada yang terlanjur, mengandung sehingga membuang bayi,” katanya.

Dr Khaidzir yang membuat kajian mengenai gejala sosial remaja berkata, antara faktor masalah itu berlaku ialah tiada asas agama yang kukuh, keluarga tidak memberi perhatian serta persekitaran.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Noriah Kasnon, berkata 304 kes buang bayi dilaporkan antara 2004 hingga 2007 membabitkan 117 bayi lelaki, 96 bayi perempuan manakala bakinya tidak diketahui jantina kerana mayat reput.

Beliau yang bercakap di Dewan Negara pada Mei tahun lalu berkata, kerajaan akan mengkaji cadangan meminda Akta Kanak-Kanak 2001 untuk memastikan hukuman lebih berat dikenakan terhadap mereka yang terbabit dalam kes pembuangan bayi sekali.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, sebelum ini juga pernah menyarankan bapa kepada bayi yang dibuang diseret ke muka pengadilan dan menerima hukuman sama sepertimana wanita terbabit.

Petikan Metro Ahad 15 Mac 2009

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,
                    
Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Jadilah follower, komenlah mana yang patut dan tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.