Setiap insan ada rahsianya. Apa rahsia anda?
NOVEL BERSIRI - KONFLIK CINTA
Bab 4 Bahagian 1
Dari jendela rumah ini, jelas kelihatan hamparan salji yang turun malam tadi putih bersih berseri melitupi seluruh kawasan kejiranan di Lincoln berkilau dipancar sinar matahari pagi itu. Musim salji kali ini rasanya jauh lebih dingin dari biasa, kesejukan pagi itu terasa mengigit tulang.
Bila difikirkan dalam keadaan yang begini ekstrim sekalipun manusia bijak mencari jalan untuk menangani aturan alam dengan pelbagai penciptaan untuk tinggal bermastautin di dalamnya. Manusia mencipta pemanas udara, rumah kayu berlapis yang tebat dari kesejukan, pemanas air dan sebagainya bagi menangani semua kerenah alam di sini agar dapat meminimakan segala bentuk kesukaran. Inilah kelebihan manusia yang diberikan akal kalau dibandingkan dengan makhluk yang lainnya.
Sambil menyikat rambutku yang semakin panjang di hadapan cermin berbingkai biru itu, fikiranku terus melayang. Mungkin juga manusia di negara empat musim sebegini lebih cair otaknya kalau dibandingkan dengan mereka yang hidup bermastautin di negara beriklim panas seperti Malaysia kerana mereka dicabar dengan cuaca yang tidak menentu saban hari lebih-lebih lagi di musim salji sebegini. Bagi mengatasi semua keadaan ini mereka mencipta. Tidak seperti penduduk di negara panas yang mengalami cuaca yang agak sekata sepanjang tahun. Mereka hanya perlu mengatasi musim hujan dan tak lebih dari itu. Mungkin juga inilah penyebab kenapa jelas terbukti penduduk di negara panas merupakan antara penduduk yang paling mundur di atas muka bumi ini.
Peristiwa kejadian semalam tidak mahu aku pedulikan dan aku meletakkannya jauh di penjuru hati semoga aku tak perlu mengingatinya lagi. Setelah bersiap berseluar jean biru dan t-shirt merah yang terpampang perkataan Nebraska berwarna putih di tengahnya aku pun bingkas bangun mengatur langkah menuruni tangga menuju ke arah dapur. Semua rakan serumahku telah berada di meja makan di dapur sambil menjamu selera bersarapan pagi.
“ Zila cari kau malam tadi. ” Ungkap Zamri sejurus aku melangkah masuk ke dapur rumah banglo dua tingkat itu.
“ Apa kau kata kat dia? ”
“ Aku cakaplah kau pergi rumah Wati. Dia kata dia cuba call tapi tak dapat. ”
“ Phone aku habis bateri bro’, lupa nak cas. ”
“ Apa cerita malam tadi? Lambat kau balik semalam.. ” Tanya Haziq sambil menghirup teh-o yang berada di tangannya.
“ Tak ada apa.. biasa jer. ” Helahku cuba memutuskan persoalan yang bermain dibenak mereka.
Aku terus mengambil corn flakes dan susu segar lantas meletakkannya ke dalam mangkuk, duduk dan terus menjamahnya diam tanpa bersuara. Mereka yang tadi memerhatikan gelagatku kembali berbicara sesama sendiri berceritakan tentang isu pelajaran dan persekolahan.
Sesuatu yang tak dijangka seringkali mendatangi kita.
Seminggu selepas kejadian itu entah kenapa, seorang demi seorang kawan-kawan menjauhkan diri dariku. Kemesraan yang telah terjalin tiba-tiba hilang entah kemana. Bila bertemu mereka seakan berbisik-bisik sesama sendiri dan bila aku mendekatkan diri mereka akan beredar. Rakan serumah juga bertindak sama. Wati langsung tidak kelihatan di tempat-tempat biasa untuk aku tanyakan keadaan sebenar. Dapat kurasakan masyarakat melayu di sini telah memulaukan aku.
Zamri dan Zila juga seperti diriku tak tahu apa yang berlaku. Hari itu kami mengambil keputusan untuk menyiasat.
Petang itu kami berjanji bertemu di tempat biasa di Union. Selepas menunaikan fardhu Asar aku menunggu kedatangan mereka. Penantian adalah satu penyiksaan.
Otakku mengelamun. Allah menduga aku dengan keadaan yang sebegini. Kemungkinan berlakunya fitnah mengenai kejadian tempohari amat tinggi. Siapa yang memulakannya? Hanya 4 orang yang berada di sana. Azzura seorang gadis yang baik dan periang. Dia disukai semua di sini. Mungkin aku boleh bertanya pada Azzura akan apa yang berlaku. Kemudian Norli dan Sarimah yang memakai tudung dan pendiam. Takkanlah mereka yang bertudung menyebarkan fitnah tersebut dan akhir sekali Wati. Kemungkinan Wati yang memulakan gejala ini sangat tinggi. Aku pula langsung tak bersuara mengenai kejadian tempohari.
Apapun aku yakin yang aku tidak bersalah. Aku berada dalam kebenaran. Oleh itu tak ada apa yang perlu aku takutkan desis hatiku.
Sejurus selepas itu kelihatan Zamri berjalan beriringan dengan Zila melalui pintu masuk sebelah timur bangunan ini menuju ke arahku.
Mereka duduk. Zila di hadapanku dan Zamri di sebelahku.
“ Apa cerita? ” Soalku seakan tak sabar menantikan jawapan sejurus mereka duduk.
“ Penat jugak jadi Private Eye ni. Kurang-kurang kena belanja makan ni. Kan Zila? ” Pinta Zamri sambil tersengih memandang ke arah Zila.
Sebelum sempat Zila menjawab aku sudah mencelah.
“ Yelah! Yelah! Karang aku belanjalah. Kau nak makan kepala gajah pun boleh tapi kenalah cerita dulu. ”
“ Aku dah borak dengan Zila sebelum sampai sini tadi, nampaknya ada dua versi bro’. Kau nak versi aku ke versi Zila dulu? ” soal Zamri.
“ Memanapun boleh. ”
“ Okaylah biar Zila start dulu Zam, cerita Zila baik sikit. ” Zila meminta keizinan.
“ Tadi Zila jumpa Azzura ajak dia minum kat cafe tanyakan dia apa yang terjadi. Kata dia semasa dia balik beli groceries dengan Norli dan Sarimah malam tu. Dia kata dia nampak kau tengah duduk bertentangan dengan Wati, kau berpakaian penuh tapi Wati cuma pakai seluar pendek dengan T-shirt, rambutnya berserabut dan matanya merah macam lepas menangis. ”
Dia kata selepas itu Wati menceritakan yang malam tu Man datang rumah dan mengatakan rasa cintanya pada Wati selama ini. Lepas tu Man merapati dan menyentuhnya. Lepas tu kau faham-faham jelah. Dia kata dia cuba mengelak tapi Man terlalu kuat untuknya dan akhirnya dia mengalah.
Sarimah dan Norli percaya hidup-hidup pada cerita Wati tapi Azzura tak percaya sebab Azzura kata dia kenal hati budi Man dan dia juga kenal Wati. Malam itu puaslah diorang maki Man dengan pelbagai tohmahan. Tapi Azzura tahu Wati suka tengok bahan lucah di internet ataupun di televisyen. Wati siap tempah pay per view untuk menonton cerita-cerita begini.
Azzura kata dia terpaksa mengambil keputusan berdiam diri berkecuali sebab dia tak mahu masalah timbul dengan rakan serumahnya, Jadi dia tak mahu mendekatkan diri dengan Man sebab dia tak mahu orang kata dia memihak kepada Man.
“ Macam tulah cerita Azzura. ” Kata Zila mengakhiri.
“ Apa yang sebenarnya berlaku Man? Man tak pernah ceritapun. Malam tu Zila callpun tak dapat. Macam Man nak sorok sesuatu je.. ”
“ Ish! Zila janganlah cakap macam tu. Tak apa nanti Man jelaskan. Man nak dengar cerita dari Zamri pulak. ”
“ Aku dapat cerita ni dari Taufik, Taufik dapat dari Haziq dan Haziq dapat dari Sarimah dan Norli. Panjang gosip tu. Kalah CNN. ” Kata Zamri.
Taufik kata malam tu masa Azzura, Norli dangan Sarimah balik dari Supersavers, diorang buka pintu dan nampak kau tengah bercumbuan kat sofa depan dengan Wati dalam keadaan separuh bogel.
“ Astaghfirullahal’azim.... Biar betul. ” Aku beristigfar sambil menutup mulutku.
“ Bila korang nampak diorang, kelam kabutlah pakai baju seluar. Lepas tu kau terus belah tak cakap apapun macam orang bersalah. ”
“ Kemudian Wati ceritalah yang kau yang tergila-gilakan dia. Malam tu dia kata kau tunggu kawan-kawannya keluar, lepas tu kau pergi rumah diorang. One thing leads to another.. ”
“ Itulah cerita Taufik tapi aku langsung tak percaya sebab malam tu aku tahu telefon kau kehabisan bateri dan aku juga tahu yang Wati yang ajak kau ke rumahnya untuk bagi hadiah surprise, lagipun selama ni Wati selalu sangat menghimpit kau tu dengan kata-kata double meaning dia tu. ”
“ Aku terangkan perkara ni pada Taufik untuk pertahankan kau, kau tahu dia kata apa? Dia kata aku member baik kau dan aku dah kena brain wash dengan kau. Ada ka patut? Tak patut.. Tak patut... ” Ujar Zamri sambil mengeleng-gelengkan kepalanya.
“ Aku peliklah dalam keadaan ini kerana aku tak sangka yang cerita itu datang dari Norli dan Sarimah. Entahlah kekadang pemakaian tudung tak menunjukkan keimanan seseorang itu. ” Aku memberi kenyataan.
“ Agaknya Wati buat begitu sebab dia tak dapat kat kau tak? Biar putih tulang jangan putih mata. Ni semua Zila punya pasallah ni. ”
“ Eh! Kenapa pulak Zila punya pasal? ”
“ Yelah! Dulu kami bertiga, sekarang kami bertiga jugak cuma bezanya dulu Wati sekarang Zila. Mana tak dia bengang. Dia dok usha Man tapi tak dapat, alih-alih Zila pulak yang datang. ”
“ Tak kesahlah tu, so apa cerita sebenarnya Man, apa yang terjadi malam tu? ” Sekali lagi Zila meminta penjelasan.
“ Minta maaf banyak-banyak Zam... Zila, Man tak dapat nak ceritakan sebab ia akan hanya memalukan Wati. Man cuma nak korang tahu yang Man tak buat kerja-kerja macam tu. Man harap korang berdua percaya pada Man. ” Jelasku.
Aku nampak jelas dari riak muka Zila yang dia tidak berpuas hati dengan jawapanku. Zamri pula tak menunjukkan apa-apa reaksi.
Dalam perjalanan pulang petang itu Zila hanya sugul membatu berdiam diri.
Ikhlas dari,
Faizal Yusup
Email : greng70@yahoo.com
Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!
PS - Anda suka blog ini? Jadilah follower, komenlah mana yang patut dan tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.
Terima kasih…
' style='padding: 0; border: none;'/>
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.