Setiap insan ada rahsianya. Apa rahsia anda?
NOVEL BERSIRI - KONFLIK CINTA
BAB 4 – BAH 3
Mataku mencari-cari di celah orang ramai mencari jaket berwarna ungu milik Zila. Nampak! Dia sedang melangkah laju menuju ke pintu keluar. Nampaknya sekali lagi perkara yang sama berulang lagi. Nafsu seorang wanita “kicks in”. Dia tension lagi atas perkara yang sangat remeh. Hanya kerana Wati menelefon menyebabkan dia menjeruk hati dugaku.
Sepantas kilat aku bergerak mencapai sketch pad , pensel, beg dan jaket. Kopi yang tak berusik aku biarkan di situ. Aku berlari pantas mengejar Zila. Aku nampak kelibatnya melangkah menuju ke arah tempat letak kereta di belakang Hamilton Hall. Ada beberapa biji mata yang memerhatikan tingkahku tidak aku pedulikan. Dalam gegasanku aku terlanggar seorang pemuda berkulit hitam yang melintas di hadapanku. Dia hampir terjatuh sambil memekik memarahiku namun aku hanya sempat mengangkat tangan menyusun jari tanda memohon maaf atas kesalahanku itu.
Keadaan sejuk di luar, salji turun dengan deruan angin yang sedingin ais bertiup mengigit tulang.
Zila berlari-lari anak menuju ke arah kawasan tempat letak kereta yang terletak di belakang Hamilton Hall.
“ Zila! Zila! Tunggu Man kejap. ” Jeritku.
Dia langsung tidak menghiraukan panggilanku malah mengatur langkah yang lebih pantas.
“ Derauan angin bersalji yang bertiup kencang itu memedihkan muka namun ia takkan menghalang aku untuk memulakan larian pantas menuju ke arah Zila. ”
Sejurus kemudian berdekatan Burnett Hall aku tiba di sisinya. Dia meneruskan langkahannya laju sesekali melompat mengelak kawasan salji yang tebal. Rambutnya yang ikal melambai-lambai dipuput bayu dingin yang bertiup menderu. Aku terus mengikut jejaknya dalam nada hati yang disentap seribu kegelisahan mencari jalan bagaimana ingin aku luahkan apa yang terbuku di penjuru sanubariku.
Tak ada kelibat sebatang tubuh manusiapun yang kelihatan dalam hujan salji yang tebal ini. Hanya kami berdua. Zila terus menuju ke keretanya yang penuh diselaputi salji lantas cuba membuka kunci kereta tersebut.
“ Zila, bagilah peluang pada Man untuk terangkan keadaan. Satu peluang yang terakhir. Kalau selepas ini Zila membenci Man sekalipun Man redha..” Tanganku memegang erat lengannya yang berlapis baju sejuknya yang tebal. Airmata jelas mengalir dari pelupuk matanya.
“ Masuklah... ” Jawabnya dalam keadaan teresak-esak selepas pintu dibuka. Salji yang melekat di pintu itu jatuh bertimpa ke bumi. Aku menuju ke sebelah kanan kereta dan masuk lantas duduk di tempat duduk penumpang. Cermin hadapan gelap dilitupi salji yang tebal.
Dalam kesejukan, Zila menghidupkan enjin kereta dan memasang heater . Wiper kereta tidak bergerak tersangkut kerana salji terlalu tebal. Aku mencapai suis lampu di atas kepalaku dan menyalakannya. Cahaya malap menerangi ruang dalam kereta Buick Grand Am buatan Amerika ini. Nampaknya kami tak dapat kemana-mana buat masa ni.
Aku memandangnya yang masih teresak-esak menangis. Airmata terus mengalir menuruni pipinya yang kemerahan-merahan. Kepalanya dibungkamkan ke atas steering kereta. Sesekali ia bergerak-gerak naik dan turun mengalunkan irama sendu tangisannya itu. Kehibaan suasana yang jelas terasa merobek-robek jiwaku.
“ Maaf Zila, maafkan Man sekiranya Man ada melakukan kesalahan pada Zila... ” Hanya permohonan sebuah kemaafan yang terpacul keluar dari alur kerongkongku.
Dia terus membisu, hanya tangisan sendu yang kedengaran memecah keheningan.
“ Kenapa Zila menangis? ” Tanyaku dengan nada perlahan penuh kasih sayang.
“ Apa Wati nak? Tak cukup ke apa yang dia dah lakukan pada abang? Zila sebenarnya sedih mengenangkan keadaan abang. Zila tahu macamana perasaan abang kerana Zila juga pernah melalui penderitaan seperti abang sejak kecil dan di sini di tempat ini jauh dari kesakitan Zila sangkakan kita boleh sama-sama hidup dalam ketenangan tetapi sangkaan Zila meleset sama sekali. Sekarang abang dipulaukan masyarakat. Zila juga terkena tempiasnya sama. Hidup ini kekadang tak adil bang!. Abang seorang insan yang baik, Zila tak pernah jumpa seorang lelaki yang sebaik abang tapi kenapa abang diduga dengan keadaan yang begini teruk? Kenapa bang? ”
Buat pertama kalinya Zila membahasakan diriku sebagai abang. Detik hatiku.
“ Bang, Zila sayang pada abang... Sudah sekian lama Zila menahan tangisan dan entah kenapa kali ini Zila menangis, Zila menangis kerana sayangkan abang..” Dia menelangkupkan kepalanya di bahuku. Airmata jelas menitis menuruni pipinya yang gebu. Tangisnya belum reda..
Tanggapanku selama ini meleset sama sekali. Aku menyangkakan yang dia tidak memahamiku tetapi diamnya selama ini adalah kerana dia bersedih dan tak tahan melihatkan keadaan bagaimana aku diperlakukan.
“ Tak apalah Zila. Zila janganlah menangis. Tiada apa yang hendak ditangiskan. Apa yang berlaku akan tetap berlaku. Abang percaya dengan penuh keyakinan yang semua berlaku atas kehendak Allah Taala. Pasti ada hikmah dan nikmatNya di sebalik semua ini. Sebagai makhluk Allah kita tak boleh menangis kerana makhluk yang sepadan dengan diri kita Zila. Kita hanya boleh menangis kerana Allah Taala. ” Ujarku lembut cuba mententeramkan sendu di penjuru hatinya. Di luar salji masih turun tanpa belas.
“ Zila tak peduli bang. Zila tak sekuat abang.. ” Terdengar suaranya yang serak kebasahan tersekat-sekat dek sendu tangisan yang mendalam. Hatinya sebak dan kolam matanya seakan tak dapat menakung airmata yang mengalir berterusan. Aku mencapai beberapa helai tisu yang berada di tempat duduk belakang kereta itu lantas mengusap airmata yang membasahi pipinya.
Entah kenapa pada hari ini, pada saat ini, dalam ribut salji ini, dalam kegelapan ini hatiku terbuka luas untuk menceritakan segalanya pada seorang gadis yang mengasihi diriku ini, gadis yang bernama Zila. Segala janji yang aku meterai dengan hatiku sendiri dengan rela hati aku buka. Rahsia yang ingin aku simpan dan aku pendam jauh di lubuk hati aku bawa keluar. Aku keluarkan dan buka isinya khas untuk tatapan Zila. Zila yang aku sayangi. Aku sanggup menerima apa juga akibat yang bakal berlaku di masa-masa mendatang.
Biarlah abang jelaskan semuanya pada Zila tapi berjanjilah yang Zila akan menyimpan rahsia ini sehingga ke akhir hayat.
“ Zila janji bang. ”
“ Malam itu Wati mengajak abang ke rumahnya kerana katanya dia ingin memberikan hadiah harijadi...
Akupun memulakan penjelasan mengenai apa yang terjadi antara diriku dengan Wati hinggalah ke peristiwa yang baru berlaku tadi. Sesekali matakan memandang ke luar. Suasana mendung kegelapan, salji masih turun dengan rakusnya tanpa belas kasihan.
Entah kenapa kisah itu tak terhenti di situ malah kisah penderitaanku dari kecil juga aku sampaikan pada Zila. Seakan menceritakan sebuah biografi yang panjang. Sesekali aku rasa sedih, mataku berkaca-kaca, seluruh tubuhku terasa seram sejuk, sesendiku terasa lemah, dadaku terasa sakit, manik-manik peluh tetap menitik walau dalam suasana yang sejuk... Aku terus-terusan bercerita. Aku mahu Zila tahu kisah sebenar hidupku. Di luar ribut salji mengiringi kisah sengsaraku ini. Kisah yang tak pernah aku ceritakankan kepada mana-mana jiwa sekalipun.
Pada masa yang sama Zila hanya berdiam diri... tangisannya semakin dalam... Tersedu-sedu menyelami perasaanku ketika ini. Sesekali dia mengesat airmatanya dan sekali sekala tangannya mengusap, mengurut-urut belakangku. Belaian kasih sayangnya yang tulus ikhlas itu jelas terpancar dari sentuhannya yang lembut. Setiap sentuhan itu dapat kurasai mendamaikan sanubariku.
Petang itu kami tenggelam dalam suasana kesyahduan, kesedihan yang amat dalam ditemani ribut salji yang seakan tidak mahu berhenti. Waktu seakan terhenti, terasa seakan hanya kami berdua dalam alam yang seputih salju sunyi sepi tanpa kehadiran insan lain di sisi. Dalam hamparan alam putih bersih yang terbentang meluas saujana mata memandang ini hanya kami berdua berada di situ menghargai kehadiran satu sama lain saling melengkapi, saling menyayangi dengan hati yang tulus sesuci salji yang yang berterbangan turun dari langit ke tujuh menimpa alam maya ini. Alam maya yang tidak kuketahui di mana kedudukan tempat dan masanya.
Pada saat itu dua jiwa menjadi satu. Hatiku seakan berada di dalam hatinya. Aku dapat rasakan seolah-olah aku telah lama bertapak di dalam hati gadis ini, di sebuah tempat yang begitu aman tenteram penuh dengan kasih dan sayang. I believe this is where I belong. Di kejauhan rasa kalbu ada kuntuman bunga-bunga impian dan cinta mula mekar di antara kami berdua di kala itu. Akhirnya kami menobatkan cinta dan berjanji setia menjadi sepasang kekasih.
Bersambung...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.