23 Oktober 2010

Matlamat Pelaburan Masa



Bila kita menggantikan masa dengan apa jua aktiviti, apa yang penting ialah untuk mengetahui apakah matlamat yang hendak dicapai dalam aktiviti tersebut. Sebagai contoh, kita menziarah saudara mara kita bermatlamatkan mengeratkan silaturrahim. Katalah kita sampai ke rumah mereka pada pukul 8:00 malam jadi, pukul berapakah kita harus pulang? Adakah pelaburan masa 4 jam untuk mengeratkan silaturrahim berbeza dengan pelaburan selama 2 jam? Adakah matlamat merapatkan silaturrahim itu tercapai dalam jam yang keempat?

Ramai juga yang bertemu hari-hari di pejabat tetapi boleh berborak selama berjam-jam. Cerita mereka berkisar tentang rancangan televisyen yang ditonton semalam, gossip para artis, mengumpat dan lain-lain lagi. Ini tidak kena dengan matlamat mengeratkan silaturrahim.

Ali pula boleh berceloteh dengan makwenya di talian telefon selama berjam-jam setiap hari tanpa matlamat yang tertentu. Nak mengatakan selamat tinggal pun mengambil masa lebih setengah jam.

“Youlah letak dulu..” kata Ali,

“You lah...” kata makwenya pula.

Mungkin Ali melaburkan masa tersebut dengan matlamat untuk mengahwini kekasihnya itu. Tetapi kalau tidak jadi macamana? Dalam pada itu ada juga yang mempunyai matlamat serong yang tidak perlulah saya bincangkan di sini.

Dalam isu mengeratkan silaturrahim ini, inilah yang selalunya terjadi. Jam pertama digunakan untuk berbual tentang perkara yang baik dan bermatlamat, masuk jam kedua isu yang diperkatakan mulai longgar, jam ketiga mulalah kita berbual kosong, jam keempat silap-silap mengumpat orang lain sebab cerita dah habis.

Sebagai guru pula, kita mestilah tahu apakah matlamat yang hendak kita sampaikan kepada anak-anak murid pada setiap kelas. Ini boleh dilakukan dengan membuat persiapan awal sebelum ke kelas. Ilmu yang disampaikan dengan ikhlas pasti akan sampai kepada murid-murid.

Dewasa ini, masa yang diperuntukkan untuk mandi pun semakin lama kerana penciptaan “syampoo, conditioner, facial wash, body wash, body scrub” dan bermacam lagi. Mungkin di masa akan datang, kita akan mengambil masa 2 jam hanya untuk mandi. Kerana penciptaan sabun khas untuk tangan, kaki, telinga dan anggota-anggota lain. Ada satu iklan pemanas air mengingatkan saya tentang isu ini. Oleh kerana terlalu sedap mandi dengan air panas ini si bapa mengambil masa berjam-jam untuk mandi. Apakah matlamat mandi? Bukankah untuk membersihkan diri. Takkanlah untuk sampai ke matlamat itu kita perlu mandi berjam-jam. Bukankah ini satu pembuangan masa dan tenaga yang jelas. Di zaman moden ini, kalau kita nak beli ubat gigi pun kita akan mengambil masa yang lama. Ini kerana terdapat lebih 20 jenama, 30 jenis, 25 perisa dan sebagainya. Masa kita dihabiskan untuk memilih. Itu baru ubat gigi. Mahu lebih sejam kita ambil untuk memenuhkan troli pasaraya setiap kali kita membeli barangan dapur. Patutlah hari berlalu begitu cepat.

Semalam saya berada di pejabat kemudian selama 2 jam saya mendengar seorang kawan menyanyikan lagu yang sama berulang-ulang sambil bermain permainan komputer. Bukankah ini merupakan pembaziran masa yang nyata.

"Bekerjalah seperti anda akan hidup selama-lamanya dan beribadatlah seperti anda akan mati esok hari"

Ingatlah orang dahulu membuat perkara yang besar dan banyak dalam masa yang SEDIKIT, sedangkan kita pula membuat perkara yang remeh dan kecil dalam masa yang BANYAK.

KESIMPULANNYA : Pastikan matlamat yang hendak dicapai sebelum melaburkan masa anda terhadap sesuatu aktiviti yang bakal dijalankan.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Email : greng70@yahoo.com
Facebook : Faizal Yusup
Blog :http://faizalyusup.blogspot.com
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Jadilah follower, komenlah mana yang patut dan tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.