Semalam saya menghadiri kenduri doa selamat di rumah adik ipar saya di Pajam. Di sana saya bertemu dengan seorang sahabat yang berasal dari Jordan yang sedang belajar PHD di sini. Namanya Samer, dia bernikah dengan gadis Malaysia dan telah tinggal di negara ini selama tiga setengah tahun. Ini merupakan kali kedua saya bertemu dengannya.
Pertamanya saya bila berkomunikasi kami berbahasa Inggeris jadi hanya kami berdua yang berbicara lantas memisahkan diri dengan orang-orang kampung yang lainnya. Saya bersyukur kerana Ilmu Bahasa Inggeris ini banyak membantu saya memahami pelbagai perkara memandangkan ia tidak menjadi halangan untuk berkomunikasi. Pun begitu Samer merupakan orang Jordan yang boleh berbahasa Arab. Oleh itu dia memahami Bahasa Al Quran dengan baik. Mungkin saya perlu membaiki perihal ini agar saya faham apa-apa yang perlu bila ia melibatkan Bahasa Arab.
Apapun perkara utama yang ingin saya kongsikan di sini ialah sebenarnya disebabkan kita Islam keturunan maka secara tak langsung kita mengikut tanpa usul periksa. Menurutnya terdapat banyak kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat melayu dalam perihal upacara ibadahnya kepada Allah Taala.
Contohnya dalam bab doa. Ada ustaz yang membaca doa dan ada diantara doa yang dibaca itu terdapat unsur-unsur syirik, unsur yang menyamakan Rasullullah SAW dengan Allah Taala. Menurutnya kita tak boleh samakan kecintaan kita kepada Allah Taala dengan kecintaan kita kepada Allah Taala sepertimana kita tak boleh menyamakan kasih sayang kita kepada isteri dengan kasih sayang kita kepada ibu kita.
Dalam bab doa ini, kebanyakan orang kita suka berdoa untuk ketetapan iman, kemurahan rezeki dan meminta dipanjang umur. Namun demikian semua ini sebenarnya tak pernah dimohon oleh Rasullullah SAW. Bukankah lebih baik kita mohon peningkatan keimanan? Dan cubalah fikirkan kalau Rasullullah SAW memohon akan kemurahan rezeki bukankah Baginda akan menjadi kaya raya? Dan kalau beginda memohon dipanjang umur pastinya Baginda akan hidup hingga kini. Tak begitu?
Setahu saya Setan yang minta panjang umur dan ia dimakbulkan Allah Taala hinggakan Setan dapat hidup sampai hari kiamat kelak dan Qarun yang meminta kekayaan hingga beliau mempunyai 70 ekor unta hanya untuk membawa kunci-kunci gedung kekayaannya. Jadi apakah sebabnya kita meminta semua itu?
Sepanjang sejarah pengembangan ugama Islam sejak zaman Nabi SAW hingga ia sampai ke Tanah Melayu dahulu merupakan satu perjalanan yang panjang dan mengambil satu jangkamasa yang lama. Keadaan ini secara tak langsung menyebabkan pelbagai perubahan yang berlaku, penokokan atau penambahan mahupun pengurangan. Terkena pula dengan bangsa melayu yang suka berdrama, meleweh, meleceh dan memperlekeh. Masalahlah yang akan timbul.
Ini kerana pada masa itu tamadun Hindu telah dahulu sampai ke sini, ugama yang penuh dengan adat istiadat. Maka pada masa ini untuk menarik minat orang melayu kepada islam maka pelbagai upacara yang lebih kurang sama dibentuk. Maka pelbagai majlis berbentuk keugamaan dicipta walhal ia tak pernah dijalankan di zaman Rasullullah SAW dahulu. Tahlil, Tali Kubur, Berzanji, Marhaban dan bermacam lagi. Bila ia tiba kepada kita, kita pula menerimanya bulat-bulat.
Menurut Samer lagi, berzanji dan marhaban merupakan ayat-ayat syair / nasyid Bahasa Arab itu terdapat unsur-unsur syirik dan menduakan Allah Taala. Semua ini terjadi kerana kita orang melayu selalu menyangkakan yang apa sahaja dalam Bahasa Arab itu ada kena mengena dengan ugama tanpa kita MENGETAHUI mengenainya. Kita tiada ilmu Bahasa Arab jadi kita tak tahu mengenainya, seharusnya kita mengkaji dan menganalisa sebelum kita menerimanya.
Dalam hal tahlil pula pada saya keutamaan lebih baik diberikan kepada pengisian ugama, taklim, tazkirah yang bertujuan menyebarkan syiar Islam daripada membuang masa yang ada sedikit di muka bumi ini dengan melakukan tahlil yang jauh lebih rendah nilainya.
Terus terang saya bukanlah seorang ahli ugama tapi saya telah mendengar akan perihal ini berkali-kali sepanjang kehidupan dan saya rasa semua ini perlu dihentikan sama sekali kerana ia akan hanya merosakkan akidah kita sebagai seorang Islam.
Apapun anda boleh bertanya pada Ustaz akan kebenaran semua ini, kalau tidakpun goggle it! Saya yakin anda pasti akan bertemu dengan jawapannya kelak.
Fikir-fikirkanlah..
Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.
Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.
Ikhlas dari,
Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial
Email : greng70@yahoo.com
Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!
PS - Anda suka blog ini? Jadilah follower, komenlah mana yang patut dan tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.
Terima kasih…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.