( Bahagian 1 dalam buku Anda Yang Baru )
Sebenarnya mentaliti kelompok inilah yang membawa kepada nilai-nilai tertentu, ugama, adat, ideologi, kefahaman, dialek, slanga dan lhorat tertentu dalam sesuatu kelompok itu.
Kadangkala kita bertemu dengan satu kumpulan orang yang ceritanya sama.
Ini disebabkan oleh orang yang paling berpengaruh dalam kelompok tersebut. Orang yang berpengaruh ini membawa fahaman yang tertentu dan fahaman ini menular dalam kelompok atau keluarga tersebut.
Contoh terbaik ialah dalam MLM. Semua ahlinya cuba dimasukkan dengan ideologi kepercayaan yang tinggi kepada produk yang ingin dijual. Semua mereka menceritakan perkara yang sama, cerita testimoni dan kehebatan produk tersebut. Semuanya hebat dan luar biasa, namun demikian mana ada produk yang diiklan yang menceritakan tentang keburukan produk mereka. Semuanya baik dan hebat. Pun demikian berapa banyak pula produk MLM mahupun produk di pasaran yang dikeluarkan akhirnya bungkus dan tak dijual lagi?
Kadangkala kita bertemu dengan satu kelompok manusia yang begitu percaya kepada adat dan apa yang diperkatakan oleh kelompok tersebut berkisar mengenainya. Ada pula kelompok yang suka menceritakan perihal orang lain, bergosip cerita-cerita sensasi bila berkumpul dan sebagainya.
Dalam hal ini saya ingin menceritakan tentang tiga kes.
Kes 1
Seorang anak yang sakit dan baru dibedah bersifat begitu tertekan dengan keadaan dirinya. Menangis saban hari. Masalahnya ibu bapa, adik beradik serta saudara maranya juga begitu. Mereka negatif hingga sama-sama menangis, tertekan hingga semua kerja harian terjejas disebabkan oleh keadaan ini. Mentaliti kelompok orang-orang yang negatif.
Kes 2
Kes ini terdiri dari kes seorang penjual produk barangan langsung yang begitu percaya yang produk itu berupaya untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit, menyihatkan dan sebagainya seterusnya kenyataan ini disokong oleh keseluruhan ahli keluarganya.
Kes 3
Kes ini adalah kisah dua suami isteri. Dalam kes ini si isteri seorang yang muda dan kurang pendidikan percaya sepenuhnya kepada suaminya. Kata-katanya saling tak tumpah seperti suaminya. Kalau pada masa itu suaminya sibuk dengan pelaburan maka dia juga akan sibuk dengan topik yang sama, tak lama kemdian suaminya sibuk dengan perihal memanjat gunung dia juga mengikut dan bercerita tentang pengalaman kehidupan yang sama.
Inilah antara beberapa contoh kes mentaliti kelompok yang ada di negara ini. Sebenarnya banyak lagi kerana disebabkan perpecahan antara kaum, ugama, fahaman politik, status kehidupan dan sebagainya.
Apapun dalam hal ini kalau fahaman mentaliti kelompok ini tak melanggar syariat taklah menjadi masalah namun demikian sekiranya ia melanggar hukum maka ia harus diperbaiki dan diperbetulkan.
Dalam kes 1 contohnya keluarga ini memerlukan pengaruh positif yang kuat bagi mengeluarkan mereka dari kemeruduman perasaan. Membuat perbandingan dengan orang yang lebih teruk keadaannya dan sebagainya perlu dipupuk. Mengalami dugaan berbentuk kesakitan pada diri ini adalah merupakan salah satu dugaan yang hebat di dunia ini. Ini kerana ia menyebabkan pesakitnya tak dapat bergerak dan menjalani kehidupan dengan sempurna.
· Apapun redhalah.
· Terimalah yang kita dipilih Allah untuk melaluinya. Kita sebenarnya istimewa.
· Bersyukurlah dengan dugaan peringatan dari Allah Taala itu.
· Bandingkan dengan orang yang lebih susah.
· Bersikap positiflah.
· Allah beri rehat yang panjang.
· Ia merupakan dugaan bagi orang sekeliling.
· Ia menunjukkan yang kita ini kerdil dan tak mampu berbuat apa-apa.
Dalam kes ke 2 pula mereka memerlukan pengisian ketauhidan untuk meyakini kekuasaan Allah yang satu. Kesedaran yang tiada makhluk boleh memberi manfaat mahupun mudarat tanpa izin Allah perlu diterapkan dalam kelompok tersebut. Dalam kes 3 pula kefahaman kepada perbezaan ilmu dan pengetahuan pula menjadi titik tolaknya.
Kesimpulan dari hal ini mudah, mari kita ambil hidupan laut sebagai contoh. Ikan, udang, ketam dan sotong contohnya mempunyai rasa yang tersendiri walaupun tinggal dalam laut yang begitu masin. Dalam ertikata lain mereka punya prinsip yang tersendiri. Oleh itu carilah pengisian ilmu pengetahuan, hayati dan amalkannya. Lambat laun ia akan membentuk sahsiah diri yang jitu dalam pembentukan diri.
Di zaman dahulu mencari ilmu pengetahuan merupakan satu perkara yang sukar. Para penuntut ilmu terpaksa keluar dari kampung dan merantau ke tempat yang jauh hanya untuk mencari ilmu. Dewasa ini kita tak perlau lagi merantau untuk mencari guru dan sebagainya. Ini kerana ilmu berada di sekeliling kita malah kita boleh mendapatkannya hanya dengan satu klik di internet malangnya kita membiarkannya sahaja. Kita langsung tak mengambil inisiatif untuk mencari dan memasukkannya ke dalam diri. Kita lebih suka membuang masa dengan perkara-perkara yang makruh dan membuang masa. Bermain game, melayari laman-laman lucu dan lucah, hiburan serta yang lainnya.
* Rujuk artikel perbezaan ilmu dan pengetahuan dalam blog ini untuk memahami akan perbezaannya.
Sekali lagi saya ulangi nilai sekular bersifat keraguan yang mencari kebenaran, sedangkan nilai ugama pula ialah kebenaran yang tiada keraguan.
Bila kita bertemu dengan ilmu ugama maka yakinilah yang ianya adalah satu kebenaran. Ilmu ugama sebenarnya hanya perlu dipelajari sekali dan kalau ia sudah masuk ke dalam hati, kita tak perlu lagi mencari alternatif yang lain. Ia tak seperti pengetahuan sekular yang sering berubah-ubah dan lupus dimakan zaman.
Mengakhiri artikel ini satu soalan ingin saya ajukan pada anda semua.
Bagaimana mentaliti dalam kelompok anda?
Fikir-fikirkanlah..
Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.
Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.
Ikhlas dari,
Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial
Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!
PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua InsyaAllah.
Terima kasih…
' style='padding: 0; border: none;'/>
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.