06 Januari 2010

Analisis Kes - Pengkid

ANALISIS KES

Kes ini saya petik dari kolum Dang Setia dalam akhbar Metro Ahad bertarikh 16 November 2008 kerana saya rasa ia dapat membantu kefahaman anda mengenai apa yang telah dibaca setakat bab ini menuju ke penutup buku ini.

LUAHAN RASA PENGKID
“Kami peringatan kepada manusia bahawa dunia sudah hampir kiamat ”.

Soalan

PERTAMA sekali, saya ingin menyuarakan ketidakpuasan hati saya terhadap akhbar ini yang selalu menyiarkan isu pengkid. Sudah tidak ada masalah lainkah untuk dijadikan isu semasa?

Saya juga pengkid, jadi saya ingin menyuarakan komen mengenai isu pengkid ini untuk tatapan semua pembaca. Pengkid wujud kerana sikap lelaki juga.

Ada di antara pengkid dulunya wanita normal tetapi mereka mengubah cara hidup untuk menjadi seperti lelaki selepas dikecewakan berkali-kali daripada segi zahir dan batin oleh lelaki.

Mereka menghambakan diri kepada lelaki tetapi akhirnya diludah oleh lelaki. Memang tak semua begitu tetapi kebanyakan dan saya percaya melebihi 60 peratus begitu.

Jika seseorang ingin berubah, ia perlu datang daripada hati mereka sendiri. Tak guna mereka dipaksa. Jika seorang pengkid dipaksa berubah menjadi wanita normal dan dipaksa berkahwin tidakkah anda semua terfikir ia bakal menyiksa si lelaki yang menjadi suami mereka?

Bukankah rumah tangga mereka juga akan binasa? Bolehkah ini dikatakan menyelamatkan institusi keluarga? Saya ada seorang rakan pengkid yang ingin berubah dan berkahwin tapi akhirnya rumah tangga mereka musnah kerana hati dan nalurinya bukan untuk lelaki.

Bukankah itu menambah dosa kepada dirinya kerana derhaka terhadap suaminya. Setiap orang diberikan hati dan otak untuk berfikir, jadi berilah masa kepada kami untuk berfikir. Biar kami tentukan sendiri bila dan bagaimana kami nak berubah.

Ada di antara pengkid berjaya menyelamatkan wanita yang kecewa dengan cinta dan rumah tangga daripada membunuh diri. Ini kerana kami lebih memahami mereka.

Hakikatnya, banyak lagi masalah lain yang membelenggu negara kita, antaranya kes buang anak, bohsia dan mat rempit, seks rambang dan pelacuran, lelaki dan wanita tinggal serumah tanpa ikatan.

Bukankah semua kes ini lebih berat tapi kenapa isu pengkid yang tak banyak membawa masalah kepada negara harus dibangkitkan. Jika pengkid dihapuskan bolehkah kita menyelamatkan gadis-gadis Malaysia daripada menjadi ibu pada usia muda, membuang bayi dan menjadi pelacur?

Hak masing-masing untuk berpakaian seperti apapun. Kenapa tidak ditangkap mereka yang berpakaian seksi dan menjadi ikutan hingga terjadinya gejala rogol.
Fikirlah anda semua kerana pengkid juga manusia biasa dan mereka dilahirkan bersama naluri ini. Kami tidak minta untuk jadi seperti ini tetapi naluri kami membuatkan kami terpaksa jadi begini.

Sejak saya kecil saya sudah seperti ini. Naluri ini lahir secara semula jadi dan bukan kami cari sendiri. Bukan mudah untuk kami mengubah cara kami ini. Ia sama seperti memaksa lelaki sejati untuk bertukar menjadi wanita.

Ada hikmah mengapa Tuhan mencipta makhluk seperti kami. Kami adalah petanda dunia sudah hampir kiamat. Kami peringatan untuk manusia lain beringat-ingat. Kami bukan ingin dibelenggu dosa. Satu hari kelak Allah akan memberi hidayah dan kami akan terima dengan hati terbuka.

Pesanan terakhir saya kepada rakyat Malaysia, jangan menyalahkan golongan ini 100 peratus. Selamatkan dulu anak gadis anda dan adik perempuan anda yang menjadi aset pemuas nafsu lelaki, menjadi pembunuh bayi tidak berdosa dan bermacam-macam lagi.

Bagaimanapun, bagi pengkid yang mengganggu rumah tangga orang lain, mereka harus diberi pengajaran. Saya bukan ingin mencabar fatwa tetapi tindakan yang diambil tidak dapat mengubah apa-apa.

Saya berkata begitu kerana ada juga di kalangan kawan-kawan wanita saya yang bertudung ketika berdepan dengan masyarakat tetapi di rumah mereka ada kekasih dan hidup seperti suami isteri.

Apa gunanya semua itu? Saya sarankan rakyat Malaysia jangan terlalu pening kepala dengan isu ini kerana banyak lagi masalah lain yang perlu difikirkan.

PENGKID DALAM DILEMA

Jawapan Dang Setia


Terlebih dulu Dang Setia mengucapkan terima kasih kepada saudari kerana mengikuti ruangan ini dan menjadikannya saluran untuk saudari memberi pendapat serta maklum balas mengenai isu pengkid yang hangat diperkatakan sekarang daripada kaca mata seorang pengkid sendiri.

Dang Setia amat memahami pendirian dan apa yang saudari hujahkan, biarpun Dang Setia bukan seorang pengkid. Ini kerana kerjaya dan pergaulan Dang Setia sering menemukan Dang Setia dengan pelbagai golongan yang dipandang negatif oleh masyarakat.

Bukan sekadar pengkid, tapi Dang Setia juga pernah berbual dan mendengar luahan daripada mak nyah, penagih dadah, gay, penjenayah, mangsa sumbang mahram, bohsia dan juga pelacur.

Jauh di sudut hati bukannya Dang Setia tidak simpati kepada saudari dan juga golongan lain yang dinyatakan di atas, namun apa yang dapat dirumuskan, kalian semua melihat serta menilai apa yang berlaku daripada pemikiran sendiri.

Inilah yang silapnya. Sepatutnya, kita perlu melihat dan menilai sesuatu berdasarkan garis panduan yang ditetapkan Allah. Sebagai umat Islam, ini wajib kita lakukan dan tidak boleh mempertikaikannya.

Oleh itu, biarpun Dang Setia faham serta simpati dengan keluhan pengkid, penagih dadah, gay, pelacur dan sebagainya, Dang Setia tidak boleh bersetuju dengan cara hidup mereka dan mengatakan apa yang mereka buat itu betul.

Bila Allah mengatakan semua perbuatan itu salah, Dang Setia wajib mengikut garis panduan itu. Dang Setia tidak mahu mempertikaikan kenapa Allah kata gejala itu salah kerana Dang Setia yakin tindakan Allah mesti betul untuk kebaikan umat manusia keseluruhannya.

Ini bermakna, biar apa keadaan atau kesusahan sekalipun seseorang Islam itu tidak boleh menjadikannya alasan untuk menghalalkan apa yang diharamkan Allah. Faktor seperti kemiskinan, desakan hidup, terpaksa dan naluri semula jadi, itu semua tidak boleh dijadikan alasan.

Saudari mengatakan pengkid bukan meminta mereka dijadikan begitu tapi mereka terpaksa kerana keadaan sekeliling dan sebagainya, hakikatnya begitu jugalah hujah yang diberikan pelacur, mak nyah, gay, penagih dadah dan lain-lain.

Jika Dang Setia atau anggota masyarakat lain menerima hujah dan alasan saudari untuk menghalalkan gejala pengkid, ia bermakna kami juga perlu menghalalkan semua kegiatan tidak bermoral lain. Jika itu berlaku, bermakna kita semua melanggar dan mencabar hukum Allah.

Dang Setia tidak mahu termasuk dalam golongan itu kerana sedar betapa kerdilnya diri di sisi Allah. Justeru, Dang Setia berharap saudari juga begitu dan tidak sombong untuk mengatakan: “Kami adalah petanda dunia sudah hampir kiamat. Kami peringatan untuk manusia lain beringat-ingat.”

Ungkapan sedemikian bermaksud saudari rela untuk menerima hukuman Allah di akhirat kelak dan ia kononnya satu pengorbanan kepada manusia lain supaya beringat-ingat kerana dunia sudah akhir zaman.

Saudari, nasihat ikhlas Dang Setia, buka al-Quran dan buku agama untuk mencari maklumat mengenai keadaan di neraka serta azab Allah kepada makhluknya yang ingkar. Sesungguhnya ia amat menyakitkan dan sukar untuk diceritakan seksaannya. Jadi, jangan sekali-kali kita menganggap ini semua perkara enteng.

Lebih menakutkan, Allah juga sudah menyatakan di dalam al-Quran jika dalam satu kelompok masyarakat berleluasa kegiatan yang dilarang Allah, Allah akan menurunkan bala ke atas mereka. Bala ini bukan sekadar ke atas mereka yang ingkar tetapi kepada semua manusia di kawasan itu.

Maksudnya, jika gejala pengkid, gay, pelacuran dan sebagainya berleluasa di Malaysia, kita bimbang Allah akan turunkan bala. Jika bala Allah berlaku, bukan hanya kepada saudari dan ‘rakan seangkatan’ saudari tapi kami juga akan kena. Sebab itulah kami wajib untuk ‘menyibuk’ dengan apa yang saudari dan rakan-rakan lakukan.

Saudari, Allah yang mencipta kita, jadi dia tahu apa yang baik dan buruk untuk kita. Mungkin saudari akan mempersoalkan jika Allah mengatakan pengkid, mak nyah dan gay itu salah mengapa Allah menciptakan manusia dengan naluri dan penampilan songsang begitu?

Jawapannya, ia sebahagian ujian Allah kepada mereka termasuk saudari. Allah menguji saudari kerana ingin meningkatkan martabat saudari di sisi-Nya. Jika saudari berjaya menghadapi ujian itu dengan keimanan tinggi dan mampu juga menepis hasutan syaitan yang sentiasa menyesatkan, semakin tinggilah martabat saudari di sisi Allah.

Ganjaran kepada saudari ialah syurga dan kebahagiaan yang hakiki di akhirat kelak. Di situlah matlamat kehidupan kita yang sebenarnya kerana segala yang berlaku di dunia ini hanyalah sementara dan cuma laluan untuk kita menuju ke sana.

Manusia normal lain tidak menerima ujian Allah itu. Justeru, mereka hilang satu peluang untuk dinaikkan martabat oleh Allah dan hilang peluang untuk mendapat ganjaran di akhirat kelak.

Maksudnya, dalam kehidupan di dunia mereka mungkin bahagia kerana mereka normal, tapi di akhirat belum tentu mereka mendapat ganjaran yang baik jika mereka tidak menghargai ‘kenormalan’ itu atau ‘kenormalan’ itu menyebabkan mereka tidak bersyukur, lantas tergelincir daripada landasan hidup yang digariskan Islam.

Saudari, Allah mengharamkan gejala homoseksual dengan alasan kukuh. Merosakkan institusi keluarga dalam konsep lebih luas bermaksud tidak mahu umat Islam lenyap dan Islam lemah di muka bumi ini. Ini kerana, Allah menciptakan manusia berpasang-pasangan, kemudian kita digalakkan berkahwin dan seterusnya melahirkan zuriat.

Semua itu ibadah dan melakukannya mendapat pahala. Tujuannya, apabila kita melahirkan zuriat dan kita didik mengikut acuan Islam, makan semakin ramailah umat Islam dan semakin kuatlah Islam di muka bumi ini. Namun, bagaimana itu semua boleh tercapai jika lelaki berkahwin lelaki dan perempuan berkahwin dengan perempuan?

Saudari juga mengatakan “hak masing-masing untuk berpakaian seperti apapun.” Kenyataan ini tidak benar kita diciptakan Allah dan diri kita juga milik Allah. Jadi, pakaian, makanan dan perbuatan kita wajib mengikut apa yang Allah suruh.

Bukti diri kita bukan milik kita ialah kita tidak mampu mencipta diri kita sebagaimana yang kita nak dan kita juga tidak boleh mengelak bila ajal menjemput kita. Yang berkuasa melakukannya adalah Allah, jadi sahlah diri kita milik Allah.

Akhir sekali, saudari juga ada mengatakan “beri masa kepada kami untuk berfikir, biar kami tentukan sendiri bila dan bagaimana kami nak berubah.”

Doa dan harapan Dang Setia, mudah-mudahan Allah memberi hidayah dan kesempatan untuk saudari berubah. Sesungguhnya, manusia itu sering lalai sedangkan maut sentiasa menghampiri.

Analisis Kes

Kes ini jelas menunjukkan perbezaan penerapan nilai diri yang ketara antara Pengkid dengan Dang Setia. Pengkid yang bersifat keduniaan dan Dang Setia yang bersifat keakhiratan. Umpama ayam bercakap dengan itik. Mereka berdua berada dalam kefahaman yang berbeza .

Seperti huraian dalam bab orang dunia dan orang akhirat sekali lagi ditekankan orang dunia takkan faham orang akhirat sedangkan orang akhirat akan faham orang dunia kerana kita kenal dunia dahulu barulah kita diberikan hidayah Allah mengenai perihal akhirat kemudiannya.

Sebagai bukti saya sengaja menimbulkan nama Allah dan keputusannya Pengkid menyebut nama Allah hanya satu kali sedangkan Dang Setia menyebutnya sebanyak tiga puluh kali disamping menyebut perihal Islam, Al Quran, Syurga Neraka, pahala, ibadah dan sebagainya yang termasuk dalam rangkuman pengisian keimanan yang telah saya huraikan dalam bab yang lalu.

Isu pengkid menekankan kepada perihal keduniaan semata-mata dengan cetusan yang mengikut nafsu sedangkan jawapan Dang Setia lebih kepada perihal akhirat, hukum hakam, garis panduan Allah Taala.

Pengkid tersebut ingin menjadi “defender” bagi pihak semua pengkid seluruh Malaysia dengan harapan tinggi luahannya dipersetujui ramai namun sebaliknya yang berlaku. Saya yakin saranan yang diajukan oleh Dang Setia yang berlandaskan hukum hakam ugama mungkin akan menimbulkan rasa marah pada Pengkid lantas dia tidak akan mempedulikannya.

Mari kita lihat dari sudut tujuan pula. Apakah tujuan Pengkid menulis artikel ini? Adakah sebagai tujuan ibadah yang mengajak manusia ke jalan yang benar atau sebaliknya membenarkan manusia mengikut jalan yang songsang dan menyesatkan? Sekiranya ia mengajak kepada kesesatan bukankah ini tugas setan yang tugasnya memesongkan manusia dan bukankah ia akan menghasut supaya manusia marah dan melawan kebenaran? Yang nyatanya pengkid mahu supaya orang keliling tidak mempedulikan perihal mereka atau dalam ertikata lain cuba memesongkan pandangan orang ramai dari sesuatu yang nyata supaya dengan demikian itu mereka dapat bebas tanpa gangguan dari mana-mana pihak. 

Apakah pula tujuan Dang Setia? Saya yakin dia membawa panji-panji ibadah untuk mengajak manusia kembali ke jalan Allah kerana dengan jelas, ikhlas dan penuh hikmah beliau menyarankan kebaikan dengan menasihati dan menyuruh Pengkid membuka Al Quran dan buku ugama mencari ilmu bagi meningkatkan pengisian keimanan dalam diri. Ini bersesuaian dengan fungsi kehidupan manusia yang disarankan Islam untuk mengabdikan diri beribadah kepada Allah.

Bagaimana pula dari sudut hati. Di sini kita boleh buat perbandingan diantara hati Si Pengkid dan hati Dang Suria. Sifat si Pengkid begitu jelas dengan lain perkataan kebencian, menyalahkan orang lain, menyalahkan keadaan, rasa tidak puashati, menyalahkan naluri sebenarnya dalam ertikata lain menyalahkah Allah kerana memberikan naluri kelelakian dalam diri mereka, menuding jari ke tempat lain tetapi tidak menuding jari pada kesalahan diri sendiri. Bukankah itu semua tanda-tanda kerosakan hati kerana hati telah dikuasai dengan perasaan yang negatif yang sifatnya menggelapkan.

Kalau dibuat perbandingan tiada kemarahan dan kebencian yang keluar melalui cetusan yang datang dari hati Dang Setia. Yang keluar hanyalah kata-kata berhikmah dan berhemah yang terdiri daripada unsur-unsur nasihat serta penjelasan dengan penuh pengharapan disamping hadiah berbentuk doa agar Allah Taala berikan hidayahNya pada Pengkid di penghujung artikel tersebut. Bukankah ini menunjukkan perbezaan perasaan yang berada di dalam hati seseorang itu? Perbezaan antara hati yang berpenyakit dengan yang tidak.

Kemudian semua perkara bergantung pada niat maka selagi kita berniat dan suka untuk menjadi pengkid maka selama itulah kita akan menjadi pengkid. Cuba jawab soalan ini. Anda suka jadi pengkid? Sehinggalah soalan itu dijawab dengan dengan jawapan tak suka maka berterusan kita menjadi pengkid. Samalah perihalnya untuk gay, pelacur, perokok dan sebagainya. Mereka berniat dan suka merokok, melacur dan menjadi gay jadi bagaimana hendak berhenti?

Berkenaan dengan hidayah pula, bagi saya ia datang melalui niat iaitu keinginan dan pengorbanan. Tanpa salah satu darinya hidayah Allah mungkin tak akan hadir di hati. Tanpa niat dan pengorbanan yang dilakukan untuk berubah maka bagaimana kita boleh berubah. Contohnya bapa saudara Nabi S.A.W Abu Thalib melakukan pengorbanan yang besar terhadap Islam namun dia tiada niat untuk memeluk Islam maka hidayah itu tak sampai kepadanya. Jadi kita perlu ada niat dan usaha yang dilakukan ke arah perubahan sebelum hidayah itu sampai. Hidayah Allah bukanlah sesuatu yang datang datang bergolek tanpa kita berbuat apa-apa dan menunggu.

Apapun dalam analisis ini saya kelihatannya bersetuju dan menyokong Dang Setia kerana mungkin kami berada dalam kefahaman yang sama berlandaskan hukum hakam Islam namun sekiranya saya seorang Pengkid pastinya saya akan menyokong saudari Pengkid dan membantu mencari alasan-alasan dunia bagi mengukuhkan hujah namun adakah ini benar? Pengkid dengan pengkid juga punya banyak masalah prasangka buruk, tidak percaya antara satu sama lain, takut gadisnya dirampas, cemburu, bertelingkah dan berselisih faham tetapi kemungkinan orang yang aqidahnya sama bertelingkah adalah sesuatu yang sukar dicari sebenarnya. Ini kerana sifat mereka yang redha dengan segala susunan Allah Taala, tiada prasangkan buruk, sabar, tenang dan sebagainya. Kalau ada perselisihanpun ia diselesaikan dengan merujuk kepada Al Quran dan Sunnah bagi mencari jalan keluar.

Sidang pembaca yang saya kasihi sekelian, sebenarnya banyak lagi yang boleh dihuraikan dari kes ini namun setelah membaca blog ini sampai ke tahap ini saya yakin anda boleh menilainya dengan merujuk dan menghubungkaitkannya kepada artikel-artikel yang lalu.

Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk memohon kemaafan sekiranya analisis saya ini menyinggung mana-mana pihak terutamanya saudari pengkid yang menulis artikel ini kerana sesungguhnya itu bukan niat saya.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.