22 Januari 2010

Respeklah Sikit...

Respeklah sikit!

Dalam hal menghormati ini,

Seorang anak mestilah menghormati ibubapanya.

Nilai sekular mahupun nilai ugama menyarankan kita menghormati kedua ibubapa yang melahir dan membesarkan kita. Dari nilai alam kita boleh lihat binatang juga memelihara anaknya. Walaupun mungkin anda mengatakan ada binatang yang makan anaknya namun ia kes terpencil, ini kerana kalau mana-mana spesis binatang makan anaknya makan pastinya spesis itu tak akan wujud lagi. Nilai ugama pula mengatakan hormatilah kedua ibubapa walaupun mereka babi sekalipun, untuk mendapat keredhaan Allah hendaklah mendapat keredhaan kedua ibubapa, syurga anak terletak di bawah kaki ibu dan sebagainya.  

Seorang isteri mestilah menghormati suaminya.

Dalam perkahwinan sebagai seorang yang berugama Islam, kita disarankan untuk memilih pasangan dengan memberi keutamaan kepada ugamanya. Dalam hal ini, suamilah seharusnya mendidik isterinya dan untuk mendidik dia mestilah mempunyai ilmu-ilmu ugama untuk berbuat demikian. Suami mestilah mengetuai dan memimpin rumah tangga tetapi kalau keadaannya terbalik maka permasalahan yang bakal diterima. Ini kerana dalam banyak kes yang saya temui bila si isteri tak menghormati suaminya atau bila si isteri tahu banyak pengisian ugama sedangkan suaminya tidak begitu maka terdapat pergolakan dalam rumah tangga dan boleh membawa kepada penceraian.   

Seorang penuntut mestilah menghormati gurunya.

Untuk mendapat ilmu guru, maka sebagai penuntut kita mestilah beradab dan menghormati guru yang mengajar. Kita datang awal ke kelas, diam dan mendengar, patuh kepada setiap tugasan yang diberi walaupun kemungkinan guru itu lebih muda dari diri kita sendiri dan bukan sebaliknya.

Seorang hamba mestilah taat dan patuh kepada Tuhannya.

Dalam hal ini mereka yang taat, patuh menurut perintah, rendah hati dan ikhlas dalam menjalankan ibadahnya kepada Allah bakal mendapat keberuntungan yang banyak. Mereka dikurniakan Allah dengan ketenangan hati, keberkatan dalam kehidupan, mata hati yang tajam dan pelbagai nikmat lagi.

Dalam hal ini mereka yang ego pada Allah Taala, mereka yang riak dan menunjuk-nunjuk dalam melakukan amalan ibadah, tiada apalah yang yang didapati darinya. Janganlah mempermainkan Allah Taala kerana Dia Maha Mengetahui, takut nanti anda akan dipersendakan Allah.

Kesimpulannya, sifat ego ini menutup pintu hijab, sifat ini menyebabkan apa juga ilmu dan pengisian yang ingin disampaikan tak akan masuk dan menetap dalam diri pendengarnya. Ia seakan sebuah tembok besar yang menghalang.

Bila seorang anak tidak menghormati ibubapanya, seorang isteri yang tidak menghormati suaminya juga seorang penuntut yang tidak menghormati gurunya. Dari sudut yang lebih besar seorang hamba yang tidak patuh kepada Tuhannya. Dalam hal ini tiada perubahan yang akan berlaku. Ia akan tetap sama dan mereka akan terus-terusan menjalani keadaan kehidupan yang sama walau begitu banyak pengisian dan saranan di sampaikan kepada mereka.

Setelah menjalankan kerja-kerja kaunseling jalanan ini sekian lama, bolehlah saya simpulkan yang sekiranya pelanggan tidak menghormati kaunselornya maka tiada apa yang dapat dilakukan.

Dalam kes mereka yang menghormati maka adalah pengisian yang disampaikan membuka hati mereka namun bagi kebanyakan mereka masih sama dan ego mereka menutup pintu hati untuk faham dan sedar akan perihal sebuah kehidupan.

Mengetahui hakikat ini maka sekiranya anda seorang kaunselor, berhati-hatilah dalam penyampaian dan sampaikanlah kepada mereka yang menghormati dan bukan kepada mereka yang ego dan merasakan diri mereka lebih pandai dan lebih baik.

Air gelas yang telah penuh tak boleh lagi diisi air samalah kisahnya dengan orang yang merasakan dirinya serba sempurna. Oleh itu sentiasa jadi perigi yang sentiasa boleh diisi pada setiap masa dan ketika dengan sentiasa bersikap terbuka, rendah diri dan ikhlas kerana Allah Taala dalam apa juga yang kita lakukan.

Saya percaya pengunjung blog ini akan mendapat sesuatu dari sini kalau mereka membuka hati dan berkunjung kerana ingin mempelajari sesuatu. InsyaAllah.

Oh Ya, saya pun masih belajar.. ada apa-apa pengisian nak dikongsikan dengan saya? Silakanlah saya sedia mendengar.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.