28 Januari 2010

Siapa Dia?


Sheila membaca emel yang disampaikan dari seorang kawan. Kisah perbezaan penerapan nilai diri antara orang dunia dan orang akhirat yang dipetik dari blog Azman Ishak. Semenjak diperkenalkan dengan blog tersebut, dia begitu rajin melayarinya. Pantang ada waktu senggang pasti di akan singgah. Banyak yang dapat dipelajarinya mengenai kehidupan. Kekadang segmen lawak dalam blog itu mencuit hatinya. Blog itu secara tak langsung juga membantunya untuk keluar dari kesedihan disebabkan kekecewaan lalu melalui rangkaian artikel-artikel kaunseling dan motivasi yang ada di dalamnya.

Namun demikian tiada gambar Azman Ishak yang terpapar pada blog itu. Puas sudah dicarinya namun tak berjumpa. Hatinya ingin benar berkenalan dengan pemilik blog tersebut tetapi dia tak ada cara untuk berbuat demikian.

XXXXXX

Pemuda itu duduk di hujung sana petang ini. Di penjuru kanan kedai mamak di tingkat bawah bangunan Amcorp Mall itu. Bersendirian. Setelah memesan makanan, bag sandang bewarna hitam yang agak lusuh itu dibukanya. Lap top kelabu berjenama Toshiba itu dibukanya. Dia mula menaip pada kekunci komputer tersebut. Dia begitu tekun dan tumpuannya jarang sekali terganggu. Orang yang lalu lalang dan apa yang berlaku di sekelilingnya seakan tak dipedulikannya. Dia seakan dalam dunianya sendiri. Sesekali dia mengangkat kepala memerhati sekeliling mungkin untuk merehatkan matanya. Sesekali dia meneguk air nescafe tarik yang kebiasaannya ada di atas meja menemaninya.

Begitulah keadaannya hampir setiap senja. Dia akan datang sekitar jam 730 petang dan akan pulang sekitar jam 930 malam pabila kedai akan ditutup. Orangnya tinggi lampai, berkulit kuning langsat, segak, berambut lurus disisir kemas ke tepi. Selalunya bila dia datang hujung rambutnya agak basah. Aku yakin dia ke sini sejurus selepas menunaikan solat Marghrib.

Aku selalu memerhatikan dari sini namun dia seakan langsung tak perasankan diriku ini. Mungkin kerana aku ke sini bersama-sama rakan sepejabatku dan sentiasa sahaja membuat bising dengan cerita-cerita kosong mengenai pelbagai perkara. Sesekali jejaka-jejaka itu akan menggunakan kata-kata dua maksud mempersendakan aku. Dalam kehangatan suasana bicara rakan-rakan sepejabat, sesekali mataku mencuri pandang pada jejaka yang begitu tajam tumpuannya pada kerja yang sedang dilakukannya.

Siapakah gerangannya dia?
Mana kawan-kawannya?
Kenapakah dia bersendirian saban hari?
Apakah kerjayanya?
Sudahkah dia berumahtangga?
Apakah yang sedang dilakukannya?

Pelbagai persoalan berlegar-legar di ruang benakku ini. Mungkinkah dia sedang membuat kerja-kerja pejabat yang masih belum siap? Mungkinkah dia sedang chatting dengan kawannya sambil melayari internet.

Sesekali tangannya meraba dagu, dahinya berkerut seakan sedang memikirkan sesuatu yang begitu dalam dan sukar dimengertikan. Sejurus selepas itu dia akan kembali menyambung menaip di papan kekunci komputer miliknya itu. Kalau diikutkan hati hendak sahaja aku bangun dari tempat dudukku ini ke sana dan melihat apa yang dilakukannya pada panel skrin komputernya. Tapi aku malu.

XXXXXX

Hari ini aku akan menantinya kelibatnya seperti biasa petang nanti. Sudah dua bulan aku menjadi seakan seekor pungguk yang rindukan bulan. Memerhatikan kelibat seorang jejaka yang punya riak wajah yang tenang. Entah kenapa semakin hari hatiku semakin terpaut padanya sedangkan aku tak kenal siapa dia lelaki misteri itu. Aku tak tahu dari mana asal usulnya tapi hatiku seakan begitu tertarik dengan tidak tanduknya yang sentiasa tenang dan berkeyakinan.

“ Woi! Sheila! Berangan ke? ” Jerkah Azli menghentikan lamunan gadis ayu bernama Sheila itu.

“ Ish! Kacaulah kau ni Azli! Apa kau nak? ”

“ Kau ni, siang-siang hari berangan! Aku panggil berapa kali tadi kau buat tak tahu jer... Invois syarikat Sinar Bakti tu dah siap belum? Aku nak pergi ke sana kejap lagi. ” Ujar Azli separuh mengejek.

“ Dah! Tu kat dalam folder biru tu. Aku dah masukkan dalam envelop. ” Jawab Sheila ringkas menutup malunya.

“ Li, aku nak tanya kaulah..” Lafaz Shiela dengan tujuan ingin menyiasat latarbelakang jejaka idaman hatinya itu.

“ Apa dia? ”

“ Hem.. tak jadilah.. ” Sheila menarik balik ajuan persoalannya. Hatinya berbelah bahagi.

“ Ish! Buat drama tergantung pulak kau ni! Buang masa aku je. Dah! Dah! Aku nak gerak dah ni. Dah lambat! ” Tegasnya sambil mengatur langkah berlalu pergi.

“ Petang ni jangan lupa teh tarik session!! ” Jerit Sheila.

“ Macam biasalah! ” Jawab Azli sambil melambaikan tangannya.

Seperti kebiasaannya selepas waktu pejabat mereka menuju ke kedai mamak tersebut untuk sesi teh tarik.

Sesi teh tarik telah menjadi satu budaya bagi masyarakat negara ini. Sesi yang bertujuan merehatkan minda selepas penat bekerja seharian dan masanya diisi dengan cerita-cerita kosong, lawak dan kutuk mengutuk yang adakalanya berlanjutan hingga ke malam. Mungkin inilah sebabnya dia datang berseorangan menulis tanpa membuang masa. Mungkin itulah cara dia merehatkan mindanya. Kata Sheila dalam benaknya sepanjang perjalanan ke sana.

Jam menunjukkan pukul 6.35 petang. Masih awal getusnya sendirian. Seperti selalu mereka berlima duduk dan memesan makanan. Masa berlalu begitu pantas bagi orang yang leka, leka dengan kerenah dunia. Tak lama kemudian orang yang ditunggu Sheila muncul. Menuruni eskalator dengan beg komputer yang diselepangkan ke belakang dangan gaya seorang muda yang santai. Petang itu dia memakai baju t-shirt berkolar hitam dipadankan dengan seluar jeans biru gelap.

Pemuda itu terus duduk di tempat biasa dan seperti selalu membuat pesanan dan membuka komputernya. Tak lama selepas itu dia seakan tenggelam dalam dunia alam maya komputernya. Keadaan kiri kanan yang hiruk pikuk langsung tak memberi kesan kepadanya. Siapakah gerangan insan ini? Persoalan yang masih belum terjawab di hati Sheila.

Dia teringat kejadian yang berlaku minggu lepas bila seorang budak kecil yang terlepas dari ibunya memanjat di lereng eskelator dan nyaris tersepit. Jeritan ibunya menyebabkan pemuda itu bingkas bangun berlari menyelamatkan budak lelaki yang memakai baju Ben 10 berjalur hitam itu. Sedangkan orang lain hanya duduk terpaku tergamam menjadi penonton yang menyoroti sebuah drama kehidupan yang terungkai.

Ucapan terima kasih ibu budak tersebut hanya dibalas dengan sekuntum senyuman. Sejurus itu dia kembali ke tempat duduknya menyambung kerja di depan komputer. Peristiwa ini menguatkan lagi perasaan Sheila untuk mengenali pemuda itu.

Semenjak semalam dia telah bertekad untuk bertemu dan berkenalan dengannya. Hatinya bulat. Sedang orang lain sibuk berbual, Sheila bangkit lantas menyusun langkah menuju ke arah meja pemuda itu.

“ Assalamualaikum... ” bergetar suara Sheila mengungkap salam kesejahteraan.

“ Waalaikumsalamwarahmatullah... ” jawab pemuda itu sambil menguntum senyum. Dia memaling ke belakang memastikan tiada siapa di belakangnya. Senyum lagi.

“ Boleh saya duduk di sini? ” Sambung gadis ayu berbaju kurung berbunga kecil berwarna merah itu.

“ Silakan.. ” Seraya tangannya diajukan ke arah kerusi yang kosong di depannya itu.. Terus tersenyum.

Gelagat Sheila diperhatikan oleh kawan-kawnnya yang lain penuh dengan tanda tanya. Azli pula hanya tersenyum tanda faham.

“ Biarlah saya berterus terang. Saya sebenarnya ingin sangat nak berkenalan dengan saudara. Nama saya Shiela.. ”

“ Ohh.. Saya Azman... Azman Ishak... ”

TAMAT

Hawhawhaw... penulis syok sendiri...
Kalau nak jumpa Faizal Yusup datanglah minum teh tarik sebelah petang di Amcorp Mall. :)

Ikhlas dari,

Faizal Yusup

Email : greng70@yahoo.com
Facebook : Faizal Yusup
Blog :http://faizalyusup.blogspot.com
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.