"Sabar itu ada hadnya". Inilah yang sering kita dengar bila seseorang itu naik marah kerana sudah hilang sabar atas sebab-sebab yang tertentu. Saya rasa andapun pernah mendengarnya. Bila kita selalu mendengar ungkapan ini lambat laun ia bakal menjadi prinsip diri kita malah kita sendiri adakalanya menggunakan alasan ini untuk memarahi orang lain.
Persoalannya sabar ini adalah sesuatu yang subjektif dan ia berbeza dari seseorang kepada seseorang yang lain. Ada yang boleh melenting atas sebab yang terlalu kecil dan tak munasabah. Sebagai contoh saya ceritakan sebuah kisah yang biasa kita hadapi;
Si suami sedang memandu kereta. Si isteri pula sedang duduk di sebelah dan anak-anak mereka duduk di belakang kereta tersebut. Tiba di satu persimpangan sebuah kereta dengan tak semena-mena keluar dari persimpangan tersebut tanpa memberi lampu isyarat. Ini menyebabkan si suami terpaksa menekan brek “emergency”. Pada masa yang sama dengan pergerakan yang sepantas kilat tangan si isteri terus menekan hon panjang sambil mulutnya memaki hamun pemandu tadi. Namun begitu si suami hanya tenang tanpa berkata apa-apa sambil menukar “gear” meneruskan perjalanan seakan tiada apa yang berlaku.
Dalam kes ini had kesabaran si suami dan si isteri mungkin berada di tahap yang berlainan.
Kalaulah kesabaran itu boleh dipetakan maka saya rasa ada orang yang hadnya cuma selangkah, ada yang di Perak, ada yang di Myanmar, ada yang di India, ada yang England, di Amerika dan sebagainya. Bagi yang hadnya cuma selangkah maka amat mudah bagi mereka untuk melenting tak tentu pasal dan bagi yang had kesabarannya jauh mereka akan hanya melenting bila kesalahan itu merupakan satu kesalahan yang besar dan patut diperbetulkan.
Mereka yang dekat had kesabarannya selalunya tidak bersikap adil kepada mereka yang had kesabarannya jauh. Ini kerana mereka akan cepat melenting sedangkan yang jauh akan selalu dapat bersabar.
Pun begitu kesabaran merupakan salah satu sifat yang memang ada dalam diri manusia semenjak azali. Kita boleh hilang kesabaran kalau kena pada tempatnya. Kita perlu mempertahankan hak kita iaitu ianya boleh digunakan dalam keadaan yang tertentu sebagai contoh sekiranya ada orang yang mengganggu isteri atau anak-anak kita, mengambil hak kita dan sebagainya.
Di zaman moden ini ramai orang menjadi hamba kepada emosi.
Dalam surah Ali-Imran ayat 134, Allah memuji orang-orang yang bertakwa dan antara sifat yang mereka miliki ialah ;
“Mereka menafkahkan harta benda mereka ketika senang ataupun susah, mereka juga mampu mengawal perasaan marah dan mereka juga suka memaafkan kesalahan orang lain.”
Siapakah manusia yang gagah? Berhubung dengan ini Nabi bersabda;
“Manusia yang gagah bukanlah dia yang mampu menjatuhkan lawannya.sebaliknya yang gagah ialah dia yang mampu mengawal perasaan marahnya.”
Mereka yang mampu mengawal perasaan marah melambangkan peribadi yang mampu mengawal diri mereka sendiri. Orang yang mampu mengawal diri sendiri untuk tunduk kepada Allah sedang berjalan menuju ke syurga. Sahabat Nabi yang bernama Abu Dardak pernah menyoal Nabi,
“ Ya Rasulullah, tunjukkan kepadaku satu amalan yang akan membawa aku ke syurga.”
Nabi menjawab,
“Janganlah engkau marah !”.
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam At-Thabrani dan Ibn Abid Dunya.
Apakah yang berlaku di dalam diri anda ketika anda sedang marah? Mengikut artikel ‘Anger is Hostile To Your Heart’ yang dimuatkan di dalam majalah ‘Harvard Gazette’, perasaan marah memberi kesan yang negatif kepada jantung. Mengikut Profesor Ichiro Kawachi dan rakan-rakannya, orang-orang tua yang sering marah-marah mempunyai risiko tiga kali ganda menghidap sakit jantung berbanding rakan-rakan mereka yang lain. Para pengkaji berpendapat, pengeluaran hormon “stress”, peningkatan keperluan jantung kepada oksigen dan kecenderungan darah khususnya darah platelet untuk membeku menyebabkan peningkatan risiko ini.
Jadi dari masa ke semasa belajarlah menjauhkan had kesabaran anda sehingga anda boleh menjadi seorang yang penyabar dan dapat menghadapi apa juga tekanan dengan tenang.
Fikir-fikirkanlah..
Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.
Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.
Ikhlas dari,
Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial
Email : greng70@yahoo.com
Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!
PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua InsyaAllah.
Terima kasih…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.