10 Januari 2010
Petikan Novel Konflik Cinta
Tanpa aku sedari enam bulan telah berlalu. Kadangkala dalam keadaan hidup yang bercelaru begini kita seakan tak sedar pada peredaran masa. Diariku juga kosong sepanjang tempoh ini. Seakan aku tak melakukan apa-apa langsung dalam jangkamasa itu. Masa kubiarkan berlalu pergi. Fikirku temenung sambil minum teh-o di dapur rumah sewaku ini.
“ Ting Tong! Ting Tong! Ting Tong! ” Bunyi loceng rumah nyaring kedengaran ditekan berkali-kali. Bunyinya membingitkan telinga dan mengganggu lamunanku.
“ Zam, kau pi tengok siapa yang dok main loceng tu. ” Jeritku dengan harapan Zamri mendengarnya.
“ Aku dalam jambanlah bro! ”
“ Ting Tong! Ting Tong! Ting Tong! Bunyinya masih tak mahu berhenti. Aku melangkah menuju ke hadapan rumah dan keluar. Faris dan adiknya Liana anak-anak Nani sedang menunggu di hadapan pagar.
“ Ada apa Faris, tanyaku ?”
“ Mama ajak uncle datang rumah makan malam pukul 8 nanti.” Ungkapan katanya keluar satu-satu seperti telah disusun cantik.
“ Takkan ajak uncle sorang je, uncle Zamri macamana?”
Spontan tangan kanannya menutup mulut. Tak semena-mena budak lelaki yang berumur 7 tahun itu menarik adiknya yang lebih kecil berlari masuk rumah. Dari jauh kedengaran suara kecil Faris.
“ Mama! Mama! Uncle Man tanya, uncle Zamri boleh ikut tak? ”
Senyap. Aku masih lagi berdiri di sebelah kanan kereta Wiraku. Tak tahulah apa yang terjadi di dalam rumah itu, sebentar kemudian Faris keluar.
“ Uncle, mama kata boleh!.. ”
“ Kata kat mama, InsyaAllah. Nanti kami datang. ”
“ Okay.” Sahut Faris dan terus berlari tergedik-gedik masuk kembali ke rumahnya.
“ Ada apahal kecoh-kecoh tu bro?” Tegur Zamri. Entah bila Zamri berdiri bersandar di tepi pintu depan rumah pun aku tak perasan. Dia hanya memakai tuala.
“ Ada rezeki datang, orang sebelah jemput kita makan malam. Zaman kemerosotan ekonomi negara ni, rezeki jangan ditolak, maut jangan dicari, Besok lusa belum tahu ada rezeki lagi..” Jawabku. Pesanan Kak Ina seakan rakaman dalam benakku yang sering aku mainkan bila berbicara tentang rezeki sambil memulakan langkah masuk ke dalam rumah.
“ Alhamdullillah. Syukur. Aku rasa Nani tu ada perasaan kat kaulah bro.. ”
“ Cesh! Mana ada! Kau jangan nak buat hal pulak. ” sangkalku menangkis dakwaan Zamri.
“ Aku bukan apa, aku selalu nampak dia macam tiap-taip hari tunggu kau balik. Kadang-kadang aku nampak belah petang dia pakai baju biasa tapi bila dalam pukul 6 time kau nak balik dia tukar baju. Pakai baju cantik. Lip-lap, lip-lap lagi. Dah tu bau minyak wangi dia, tak ingat! 5 kilometer boleh bau. ” Zamri cuba mengukuhkan hujahnya.
“ Dia lepas mandi petang mestilah tukar baju. Pasal minyak wangi tu aku tak tahu.. Agaknya dia beli pakai tong kot? ” Aku cuba mencari helah.
“Tong apa? Tong gas?” Sambut Zamri.
Berderai ketawa kami petang itu.
Malam itu selepas solat Maghrib berjemaah di Masjid Bulat, Seksyen 14 Petaling Jaya, kami bersiap untuk ke rumah sebelah. Aku berseluar “slack” kelabu dan berbaju melayu berwarna ungu, Zamri pula memakai seluar trek warna biru juga berbaju melayu tetapi putih bersih warnanya. Jam tepat menunjukkan pukul 8:00 malam.
“ Assalamualaikum.” Zamri memberi salam.
Salamnya dijawab seorang wanita. Sebentar kemudian daun pintu dibuka. Makcik Azizah ibu kepada Nani berdiri di muka pintu.
Eh! Makcik. Bila makcik sampai dari kampung? Tanya Zamri pada perempuan berumur yang agak berisi itu.
“ Sejak semalam lagi nak. Eh! Jemputlah masuk, buat apa lagi tercegat kat situ?.”
Ruang tamu rumah itu tersusun rapi menggunakan konsep kayu jati. Kerusi meja semuanya bermotifkan kerawang. Bunga-bunga perhiasan pelbagai warna boleh dikatakan berada hampir di setiap penjuru rumah itu. Pelbagai gambar pemandangan, bunga dan gambar tuan rumah menghiasi dinding rumah. Meja makan terletak bertentangan dengan ruang tamu. Makanan nampaknya telah terhidang di atas meja makan.
“ Mak! ajaklah diorang duduk kat meja tu terus. ” Suara Nani sayup-sayup kedengaran dari bahagian dapur.
Kamipun duduk. Aku dan Zamri saling menghadap satu sama lain. Ibu Nani menuangkan air oren yang telah siap ke dalam gelas. Kami berbual-bual tentang perkembangan Makcik Azizah dan keadaan di kampungnya Kuala Kangsar, Perak.
Nani yang dari tadi berada di dapur keluar sambil menatang dulang. Ada lauk ikan Patin masak asam tempoyak dalam mangkuk di atasnya. Faris dan Liana menurut di belakang. Apa yang mengejutkan ialah dia tidak memakai tudung. Entah kenapa buat pertama kalinya malam itu Nani menanggalkan tudungnya. Rambut lurus teknik rebondingnya dibiarkan lepas. Bau minyak wanginya seperti biasa menusuk. Lipstik merah di bibirnya jelas.
Semasa makan malam itu, makcik Azizahlah yang paling banyak bercerita. Cerita tentang hidupnya, kepergian suaminya yang telah kembali ke Rahmatullah dan kisah anak-anaknya termasuklah sejarah Nani semenjak kecil. Agaknya itulah cara orang tua-tua meluahkan rasa dengan menceritakan pengalaman hidupnya. Kami menumpukan perhatian cuma sesekali mencelah. Begitu jugalah halnya dengan Nani. Kadang-kadang aku dan Zamri melayan keletah si Faris dan Liana dua anak kecil yang sentiasa ceria itu.
Dari cerita itu barulah kami tahu yang Nani merupakan isteri kepada seorang pegawai kanan kerajaan yang 21 tahun lebih tua darinya. Rumah yang Nani tinggal itu adalah rumahnya dan Nani sekeluarga hidup bergantung kepada duit pencen suaminya. Pasal penceraiannya tak pula diceritakan makcik Azizah mahupun Nani. Akupun malas nak bertanya.
Selesai makan kami dihidangkan pula dengan tapai pulut dibubuh aiskrim vanilla di atasnya sebagai pencuci mulut. Macam ni punya layananpun suami boleh tinggalkan. Dahlah masakannya sedap, layanannya pun macam di restoran lima bintang, tak cukup dengan itu semasa duduk bersantai di ruang tamu kami dihidangkan pula teh tarik dengan biskut lemak. Hati kecilku bersuara. Memang benarlah kekadang dalam hidup ini ada persoalan yang tidak dapat dijawab oleh akal fikiran manusia lantas aku biarkan sahaja persoalan itu berlalu.
“ Sorilah mak aku tu memang macam tu. Dia rajin berborak. Korang jangan serik ya. ” Pesan Nani menutup kisah makan malam, malam itu.
“ Tak apa tak ada hal. Mak aku pun jauh kat kampung. Dapat jugak tumpang kasih mak kau, dapat juga mengubat rindu. ” Jawab Zamri dengan selamba.
“ Kitorang minta diri dulu ye Nani, terima kasih daun keladi lain kali jemputlah kami lagi.. Sedap masakan kau tadi.” Pujiku sambil bangun berdiri diikuti Zamri.
“ Boleh apa salahnya.. Janji masa mak aku ada. ”
Di depan pagar rumah, wajah Nani kelihatan ayu terkena sinaran cahaya bulan purnama malam itu.
“ Assalamualaikum...” Ujarku sambil membuka grill pintu rumah.
“ Waalaikumussalam.. Aku masuk dulu..”
“ Okay.. Bye.. ”
Menjejakkan kaki di rumah perbincangan kami berkisar tentang kisah makan malam dan betapa sedapnya makanan malam di rumah Nani sebentar tadi.
“ Kelakar betullah si Faris tu. Aku tak tahan dengan teka teki yang dia bagi tadi. Ada ke dia tanya macamana nak bunuh kutu? Lepas tu dia jawab pakai gel banyak-banyaklah uncle. Nanti kutu tu tak boleh gerak dia matilah. Siap dengan aksinya sekali. ” Aku mengimbas kembali kisah tadi. Aksi Faris yang berambut tegak mengkakukan diri masih terbayang dalam benakku.
“ Yelah! Pandai betul budak tu. Patutlah rambut dia memanjang tegak je. Kata dia rambut ultraman tiga.” Sambut Zamri diiringi dengan ketawa kecil.
“ Eh! Man, kan aku dah cakap.. Kau tak percaya. Mak Faris tu minat kat kau bro.. Siap buka tudung tuh ! ” Zamri menukar haluan arah cerita sambil menepuk bahuku.
“ Abang Mannnn... lihatlah rambutku, tak melekatpun...” Sambung sendanya lagi sambil melurutkan jarinya menuruni rambutnya yang pendek itu.
“ Kau ni bikin panas hati aku ajelah Zam.. ”
“ Kalau panas hati kau telanlah kipas kecil yang pakai bateri tu, sejuklah nanti kat dalam tu... ” Sahutnya selamba.
Aku menyambutnya dengan ketawa terbahak-bahak tak tahan gelihati mendengar lawaknya.
“ Dahlah kau tu Zam, dari buat dosa layan kau baik solat Isyak. Dapat pahala. ” Aku mematahkan semangat Zamri yang berkobar-kobar berusaha nak mengenakan aku.
“ Eleh!, Poyolah kau ni, orang nak bergurau sikitpun marah... Tak rocklah bro..” Getusnya mencebik, sedikit kecewa dengan jawapan aku.
Petikan dari novel Konflik Cinta tulisan Faizal Yusup yang akan diterbitkan tak lama lagi.
Ikhlas dari,
Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial
Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!
PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua InsyaAllah.
Terima kasih…
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.