08 Januari 2010

Kawan, Lawan dan Sahabat

Sepanjang kehidupan kita bakal bertemu dengan ramai orang. Mereka datang pelbagai bentuk dan rupa, hitam putih, tinggi rendah, kurus gemuk dan cantik hodoh.

Mungkin secara puratanya kita bertemu atau berkenalan dengan lebih dari 100 orang setahun. Mereka yang kita temui ini sebenarnya mempunyai klasifikasi yang berbeza. Ada yang hanya kita temui sekali dalam kehidupan dan kemudiannya tidak bertemu lagi. Ada yang kita temui itu hanyalah melalui perbualan di gagang telefon. Ada yang menjadi kawan, kawan baik, adik angkat, kakak angkat, sahabat, kekasih dan sebagainya tak kurang juga yang menjadi musuh. Cuba anda ingatkan kembali semasa anda bersekolah rendah dahulu, berapa ramaikah yang masih lagi anda hubungi? Saya percaya mungkin hanya tinggal seorang dua sahaja ke saat ini kerana mereka telahpun mengambil haluan masing-masing dan kita sendiri tak tahu di mana mereka berada pada waktu ini.

Kalau difikirkan kembali entah berapa ramai kawan yang kita temui dalam hidup ini tetapi tidak menjadi sahabat. Untuk mengenali seseorang itu sebenarnya mengambil masa yang lama tetapi ada juga diantara kita yang    mudah mempercayai seseorang walaupun hanya beberapa jam sahaja bertemu. Kata-kata kawan makan kawan selalu kita dengar tetapi saya percaya kita tak pernah bertemu dengan kata-kata sahabat makan sahabat.

Sukar juga untuk saya mencari definasi sahabat dalam bahasa Inggeris. Friend bermakna kawan, good friend pula bermakna kawan baik, best friend membawa makna kawan karib. Mungkin definasi sahabat yang paling dekat dalam bahasa Inggeris  ialah “fellow”. Semasa saya di Amerika dahulu, Orang Pakistan, orang kulit hitam dan putih yang beragama Islam bila bertemu dengan orang Islam yang lain mereka akan menggunakan perkataan “brother” yang membawa maksud adik atau abang atau saudara seagama. Ini dapat dilihat satu masa dahulu di zaman Rasullullah S.A.W. yang mana saudara seislam dikasihi dan saudara kandung yang bukan Islam diperangi. 

Dalam hal ini, kita boleh jumpa ramai kawan tetapi sebenarnya amat sukar untuk kita mencari seorang sahabat. Kawan boleh bertukar menjadi lawan. Lawan dah sememangnyalah lawan. Apapun klasifikasinya mereka tetap merupakan aset bagi kita samaada dalam bentuk teladan, pemangkin atau pemberi iktibar.

Di dalam puisi sebelum ini sahabat adalah orang yang akan membantu kita di masa kesusahan, mempercayai kita pada setiap ketika, amanah, rendah hati, mendoakan kejayaan kita dan pelbagai lagi nilai yang murni. Sahabat sebegini akan membantu anda dengan ikhlas tanpa mengenakan bayaran, kawan pula adakalanya akan membantu anda tetapi meminta balasan. Seorang sahabat pula selalunya akan dapat mengenali siapa kawannya, lawannya mahupun sahabatnya yang lain. Mungkin lebih mudah mencari seorang sahabat di masjid-masjid.

Salah satu ciri utama seorang sahabat ialah seorang sahabat yang baik akan menegur kesilapan yang kita buat. Kadang-kadang ada seseorang yang menegur kesilapan kita tetapi kita memberikan reaksi negatif lalu terus membenci mereka. Dalam hal ini kita sepatutnya menerima teguran tersebut dengan hati terbuka dan melakukan perubahan sekiranya perlu tentang kesilapan yang kita lakukan itu. Inilah salah satu lagi tanda yang kawan anda itu mempunyai nilai-nilai seorang sahabat. Begitu juga dalam perhubungan suami isteri, perhubungan yang baik mesti ada tegur menegur yang membina tapi bukannya pertengkaran. 

Dalam kisah Nabi pula, sahabat nabi Abu Bakar mendapat gelaran As Siddiq yang membawa maksud “yang membenarkan” kerana beliau mempercayai cerita Nabi Muhammad naik ke langit semasa Israq Misraj sedangkan orang lain tidak mempercayainya.

Katalah di dalam sebuah kelas Nani tertinggalkan hand phone yang mahal dan seorang Pengawal nampak Ros adalah orang terakhir yang meninggalkan kelas tersebut. Pengawal itu menuduh Ros yang mengambil hand phone itu kerana beliau orang terakhir yang meninggalkan kelas itu. Sekiranya Ros mempunyai sifat seorang kawan anda mungkin akan berkata ada kemungkinan Ros yang mengambilnya tetapi sekiranya Ros mempunyai nilai seorang sahabat yang tahu hand phone itu bukan haknya dan tak mahu mengotorkan jiwa dengan membuat dosa maka anda pasti akan menafikan sekeras-kerasnya atas tuduhan yang dikenakan pada Ros. Inilah antara perbezaan antara kawan dengan sahabat yang boleh saya simpulkan.

Mengetahui klasifikasi antara kawan, sahabat dan lawan akan dapat membantu anda mengelakkan permasalahan yang bersifat perhubungan dengan sahabat handai. Mereka yang berkahwin dengan perempuan yang mempunyai sifat-sifat seorang sahabat akan mendapat isteri yang baik dan taat kepada suaminya manakala mereka yang mempunyai ramai sahabat pula akan dapat menjalankan kehidupan dengan baik dengan sokongan padu lagi berterusan dari mereka-mereka yang bergelar sahabat ini.

Rujuk artikel Perbezaan Orang Dunia dan Orang Akhirat. Mungkin ia akan dapat membantu menjelaskan kisah ini lebih lanjut.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.