18 Februari 2010

Ingin Kembali Ke Pangkal Jalan?


Sekiranya anda telah puas menjalani kehidupan dan keseronokan dunia. Sekiranya anda telah serik diuji dan merasakan anda dah tak larat lagi menghadapi ujian dan dugaan yang berterusan dan sekiranya anda ingin kembali ke pangkal jalan, bertaubat dan menginsafi diri kembali ke jalan Allah Taala maka anda sebenarnya telahpun berada di tempat yang betul tanpa anda sendiri sedari. Selamat bertamu di sini dan saya harap anda dapat meluangkan masa membaca artikel-artikel yang ada sebanyak mungkin. Ilmu itu ubat, ilmu juga boleh membawa cahaya kesedaran.

Analoginya mudah, katalah kita suka makan burger. Mungkin kalau kita makan satu atau dua burger maka ia terasa begitu sedap tetapi bila kita disuruh makan 20 biji burger maka saya rasa yang sedap akan hilang dan digantikan dengan rasa mual dan sesilap kita muntah. Samalah kisahnya dengan kehidupan di dunia ini. Bila kita hidup dalam maksiat, minum arak, berjudi, hidup menghabiskan saban malam di kelab-kelab malam dan sebagainya maka saya yakin satu hari nanti anda akan tiba ke satu ketika yang mana anda akan merasa jemu dan muak dengan semua ini. Kehidupan tanpa objektif dan tak tahu mana arah tujunya.

Kalau dahulu anda rasakan yang diri anda muda dan cantik dan menjadi idaman semua orang satu hari nanti anda akan sedar bila diri anda menjadi hodoh, tua kerepot dan tak diingini lagi. Kalau dahulu anda merasakan diri anda kuat dan boleh mengalahkan semua orang satu hari nanti anda akan sedar yang anda telah menjadi lemah dan tak berupaya lagi. Kalau dahulu anda merasakan anda serba kaya dan berada, satu hari nanti anda akan sedar yang semua kekayaan itu tak menjanjikan kebahagiaan. Kalau dahulu anda merasakan anda berpangkat dan berkuasa hinggakan semua orang takut dan patuh pada anda, satu hari nanti anda akan tahu yang anda umpama harimau yang hilang taringnya bila kuasa dan pangkat itu telah tiada lagi.  


Sudahlah tu. Bertaubatlah. Pulanglah ke pangkal jalan.

Bagaimana?

Konsep 4P mungkin boleh membantu.

1.   Pengisian
Carilah pengisian mengenainya. Bacalah buku yang menceritakan bagaimana untuk bertaubat. Untuk benar-benar bertaubat dan mengakui kesalahan, untuk tidak mengulangi perbuatan buruk, istiqomah / berterusan dan sebagainya. Kembalilah berhubungan dengan Allah kerana inilah yang paling utama. Dia yang berkuasa atas setiap sesuatu.
2.   Pengulangan
Bila bertemu dalam dilema persimpangan dua jalan, ke kiri menuju kegelapan dan ke kanan menuju cahaya kebaikan maka berulangkali pilihlah untuk berada dalam cahaya. Keluarkan semua sifat buruk, gantikan yang mana yang lebih baik dan benar.
3.   Pengukuhan
Dekatkanlah diri dengan Allah Taala dengan menjalankan ibadah-ibadah yang diperintahkanNya. Berhijrahlah, dekatkan diri dengan orang-orang yang soleh yang bakal menyokong anda dan jauhkan diri dari mereka-mereka yang merosakkan.
4.   Penerapan
Andai diizin Allah, lama kelamaan anda akan meniti perjalanan yang baru, lama kelamaan ketenangan dan kebahagiaan akan mula menular di hati. InsyaAllah.

Dari apa yang saya perhatikan selalunya perjalanan pergi dan balik selalunya melalui jalan yang sama. Contohnya bermula dengan merokok kemudian menagih dadah, dari menagih kemudian mengedar dadah. Untuk pulang ia juga akan melalui jalan yang serupa. Berhenti mengedar kemudian, berhenti menagih dan akhirnya berhenti merokok tetapi dalam kes-kes yang tertentu ada juga yang dapat memberhentikan semuanya sekaligus. Sesungguhnya itu lebih baik.

Sekian dahulu. Saya doakan agar anda berjaya kembali ke pangkal jalan dan menemui kebahagiaan yang dicari selama hari ini. Amin.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.