06 Februari 2010

Konflik Cinta - Bab 1 Bah 1

Setiap insan ada rahsianya. Apa rahsia anda?
NOVEL BERSIRI - KONFLIK CINTA
Bab 1 Bahagian 1

Kilauan sinar sang suria yang menerjah masuk melalui jendela kamar tidurku pagi ini membuatkan aku teruja seketika. Kilauannya seakan memberikan harapan kepada sebuah hari yang indah dan siapa tahu mungkin membawa kedamaian bersamanya. Aku bangkit berdiri di depan jendela itu merenung langit yang dihampari warna biru dengan beberapa kepulan mega putih berarak gemalai meredupkan hati. Ia seakan sebuah lukisan pencipta yang begitu indah tiada tandingnya.

Aku tersenyum mensyukuri pemandangan yang begini indah kemudian perlahan-lahan memejamkan mata, menarik nafas perlahan-lahan, udara yang masuk melalui rongga-rongga hidungku terasa begitu nyaman memenuhi dadaku. Kemudian dengan perlahan juga aku menghembuskan nafas melalui mulut. Tidak berapa lama kemudian aku membuka mata dan sekali lagi menguntum senyuman. Jauh di relung hati, harapanku berbunga wangi, mengharum harap agar hari ini segala apa yang telah direncanakan berjalan dengan lancar dan diberkati Allah Taala.

Inilah hari terakhir aku berada di rumah dua bilik di Kampung Sedeng, Segamat Johor ini. Malam nanti aku akan menaiki kapalterbang, terbang jauh ke Lincoln, Nebraska sebuah negeri di tengah-tengah Amerika Syarikat untuk menyambung pelajaranku di peringkat ijazah.

“ Ring! Ring! ” raungan telefon Syarikat Telekom Malaysia berwarna oren yang terletak di atas meja kaca di ruang depan rumahku itu memecah kebuntuan pagi yang hening itu.

Ibuku yang telahpun separuh abad itu mengatur langkah perlahan keluar dari dapur mendapatkan telefon yang tak mahu berhenti menjerit itu. Gagang telefon tersebut diangkatnya tetapi aku tak mengendahkannya kerana aku sibuk mengemas barang-barang dan memastikan segala kelengkapanku mencukupi. Tiket kapalterbang, paspot, duit, “Traveller’s cheques”, dokumen perjalanan dan dokumen pendaftaran di Universiti aku semak berkali-kali. Inilah senarai barang yang paling penting yang perlu aku siapkan. Aku tak mahu ketinggalan mana-mana barang tersebut yang kelak bakal menimbulkan kesulitan padaku.

“ Man! Telefon! ” Suara ibuku menerjah gegendang telingaku.

“ Siapa tu mak? ” Balasku.

“Tak tahu..  Perempuan..” Ujarnya pendek.

Tanpa membuang masa aku melangkah ke ruang tamu berselisih dengan ibuku yang kembali menuju ke dapur.
       
“Assalamualaikum...” Ungkapku membuka bicara.

Setelah sekian lama, satu suara yang tidak asing bagiku tak lama dulu datang menerjah telingaku. Tidak lain dan tidak bukan suara manja itu milik Sabrina binti Rosli. Kakak angkatku semenjak di sekolah menengah yang selalu aku jadikan tempat mengadu walaupun sebenarnya dia sebaya denganku. Disebabkan aku hanya mempunyai seorang abang dan seorang adik perempuan maka kehadiran seorang perempuan yang lebih tua dariku walaupun hanya 4 bulan bezanya sudah cukup untuk kujadikannya kakak. Dia mengambil kesempatan menelefonku dari daerah Kuala Kangsar, Perak apabila dia mendapat tahu yang aku bakal melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat. Kebiasaannya kami hanya berutus surat dan mungkin warkah terakhirku menjelaskan akan hal ini.

Entah kenapa perbualan kami kali ini agak berbeza dari kebiasaan. Terdapat kelainan yang sukar aku mengertikan walaupun topik perbicaraannya biasa sahaja tetapi nampaknya tidak bagi Kak Ina kerana seakan ada yang tidak selesai dalam dirinya. Tanpa disedari Kak Ina memohon maaf bertalu-talu dariku sambil menyingkap kisah silam. Aku jadi serba salah tak tahu apa yang harus diungkapkan. Lidahku kelu seribu bahasa. Katanya satu ketika dahulu dia tidak mengenaliku dan selalu menyangka yang aku seorang yang tidak serius dan mengambil hal dengan remeh. Apabila dia mendapat tahu yang aku telah mendapat tempat untuk menyambung pelajaran di luar negara dia menukar tanggapan tersebut. Mungkin dia langsung tidak menyangka yang aku mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian.

Perangai luaranku yang “happy go lucky” dan gila-gila menyebabkan aku sukar diramal. Ini menyebabkan tiada siapa menyangka yang aku bakal menyambung pelajaran ke luar negara tapi bak kata pepatah orang putih “ Don’t judge a book by its cover ” kadangkala tidak sama sekali benar. Ini kerana bagi kebanyakan kita inilah yang kita dahulukan bila membeli sesebuah buku.

Bagaimanapun apa yang mereka tak tahu ialah dari segi dalaman dan tersirat diriku, aku sebenarnya seorang yang fokus dan berwawasan.

Setelah berjanji akan terus berhubung dan menulis surat padanya dan dia pula mengucap selamat kamipun meletakkan gagang telefon.

Malam nanti aku akan meninggalkan negara ini selama empat tahun demi untuk mengejar cita-cita. Tidak seperti orang lain yang merasa sedih bila berlakunya sesuatu perpisahan lebih-lebih lagi untuk satu jangkamasa yang lama aku pula hanya memendam rasa. Amarahku sudah sampai ke kemuncaknya menyebabkan tiada lagi air mata yang keluar mengalir pabila saat perpisahan itu tiba.

Buat masa ini, aku hanya ingin pergi mencari diriku sendiri disamping mencari kedamaian dalam sebuah kehidupan.

Masa lalu hitam di dalam hidupku
   Dapatkah ku jadikan putih
Pengalaman cintaku juga keyakinan
   Tergoyah oleh keadaan
Miskin jiwa dan ragaku
   Bagai hidup di padang tandus
Begitu beratnya beban yang ada di dalam hidupku
Aku ingin mencari ketenangan diri
  Agar hidup ini bukanlah sekadar mimpi

Lagu Mendung Tak Bererti Hujan nyanyian Didi Dores berduet dengan Ella yang popular satu ketika dahulu bermain-main dibenakku.

        Semasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, aku menyembunyikan perasaan marahku dengan gelak ketawa. Sedangkan di sudut sana pelajar-pelajar lain yang juga akan turut berlepas kelihatan murung dan ada yang tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih mereka kerana terpaksa meninggalkan keluarga juga sahabat handai yang tersayang. Ibubapa serta adikku Aina datang menemani aku petang itu.
       
Di KLIA inilah kali pertama aku diperkenalkan dengan Zamri dan Wati oleh pegawai dari pihak JPA, dua orang mahasiswa yang juga akan ke Nebraska. Zamri mengambil jurusan yang sama denganku dan Wati pula mengambil jurusan Journalism. Zamri yang kurus orangnya itu  kelihatan agak tidak keruan dan sedih meninggalkan keluarganya sedangkan Wati gadis genit berambut paras bahu itu pula nampaknya penuh keyakinan.

        Akupun bersalaman dengan bapaku tanpa mengucup tangannya tetapi sebaliknya aku memeluk ibuku kemudian Aina adikku dan meminta mereka menjaga diri sebaik mungkin selama pemergianku ini serta menyampaikan salam buat abangku selepas panggilan untuk pelepasan dibuat. Hatiku terasa kosong. Aku melangkah menuju masuk ke dalam Balai Berlepas. Zamri dan Wati turut serta sejurus selepas itu.

        Dalam perut pesawat Boeing 777 buatan Amerika itu ingatanku mengimbau kembali perjalanan usahaku untuk berada di atas kerusi yang bertuah ini. Kerusi yang mungkin menjadi milik sesiapa sahaja. Andai bukan aku yang dipilih maka ia mungkin menjadi milik salah seorang dari ribuan mahasiswa lain yang ingin melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat. Betapa beruntungnya aku yang terpilih dan diamanahkan untuk berbuat demikian. InsyaAllah aku akan kembali dengan kejayaan yang gemilang.

Aku terkenangkan bagaimana begitu sukarnya bertemu abah bagi mendapatkan tandatangannya demi mencuba mendapatkan pinjaman pelajaran dari pihak JPA. Ini kerana setiap kali aku pulang dari kolej dia tiada di rumah. Akhirnya aku terpaksa menaiki bas ke Genting Highland dan menunggunya di luar Casino Monte Carlo bagi mendapatkan tandatangan tersebut. Casino Monte Carlo yang tidak membenarkan Warganegara Malaysia beragama Islam memasukinya. Aku sudah tiada pilihan melainkan naik ke Genting memandangkan tarikh tutup permohonan itu akan tamat keesokan harinya.

Bagiku, bapaku itu tahi judi tegar. Dia selalu keluar masuk kasino itu kerana dia mempunyai dua kerakyatan iaitu kerakyatan Malaysia dan Brunei, dia mendapat kerakyatan negara tersebut semasa bertugas sebagai Askar Wataniah Brunei sebelum merdeka dulu jadi kad kerakyatan Bruneilah yang dia gunakan untuk masuk ke tempat durjana itu. Dia boleh berjudi dalam semua hal, pertaruhan bolasepak, nombor ekor, loteri, pakau apa sahaja hinggalah ke International Cruise yang pergi ke kawasan bebas di laut untuk melepaskan ketagihan judinya. Kadang-kadang aku sendiri tak tahu dari mana dia memperolehi duit untuk melakukan sedemikian rupa.

Pernah sekali dia kalah judi, dia gadaikan kereta Proton Saganya pada along yang berada di sana dan balik rumah menaiki bas selepas semua duitnya habis. Hutangnya keliling pinggang. Dia boleh dikatakan berhutang dengan semua orang. Kami sekeluarga serba susah dan kekurangan kerana perbelanjaan rumah ditampung oleh ibuku yang mendapat upah memasak, menjual kuih muih dan sebagainya. Pun begitu ibuku merupakan seorang yang tabah namun kekadang jauh di relung hatiku aku rasakan yang dia sebenarnya tak punya pilihan.

Seperkara lagi bila kalah judi panas barannya akan naik dan semua orang akan dibelasahnya kadangkala tanpa sebab dan ini termasuklah ibuku sendiri. Pernah sekali datukku cuba menasihatinya tetapi dengan selamba dia membidas dengan mengatakan yang dia berjudi dengan duit hasil usahanya sendiri dan bukan dengan duit datuk. Nasihat itu berakhir dengan pertengkaran. Berbulan mereka tak bertegur sapa. Selepas kejadian itu, datuk tak berani nak berkata apa-apa lagi. 

Akhirnya jam 3:30 pagi barulah aku ternampak kelibat bapaku itu dengan seorang kawan Cinanya.

“ Ini anak aku, dia akan pergi ke Amerika sambung pelajaran. ” Katanya dengan bangga kepada kawannya sambil menandatangani borang yang aku suakan padanya itu.

“ Semasa kau kat sana, kau jangan minta duit aku walau satu senpun. Aku dulu sejak berumur 15 tahun dah berdikari kau tahu. Kalau kau ada apa-apa masalah kat Amerika nanti, pandai-pandailah kau nak hidup. Ingat! kau jangan nak susahkan aku ataupun mak kau.” Ingatan aku mengimbau kembali kata-kata bapaku malam itu.

Malam itu aku tidak tidur sehinggalah subuh. Perasaanku hanya Allah yang tahu. Dinginnya dinihari di Genting Highland pada musim hujan bukan kepalang hingga mengigit ke tulang sumsum. Aku merangkul diriku sendiri di kawasan stesyen bas hingga ke pagi menantikan bas pertama turun ke Kuala Lumpur. Aku perlu ke Jalan Duta untuk menghantar dokumen yang amat besar ertinya buatku ini.

Tanpa disedari airmataku berlinangan. Ingatanku kembali ke dalam kapal terbang yang gah ini yang meluncur laju sekitar 550 kilometer sejam untuk ke Taipei. Persinggahan transit yang pertama. Selepas itu ia akan singgah di Honolulu dan dijadualkan sampai di Los Angeles pada pukul 9:30 malam hari yang sama.

Selepas menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit penuh dengan suka dan duka untuk mendapatkan tempat demi meneruskan pelajaran di Amerika akhirnya selepas penerbangan yang mengambil masa lebih dari 24 jam, aku berjaya menjejakkan kakiku di sini. Sebuah tempat yang tak pernah aku impikan dalam hidup ini –

UNITED STATES OF AMERICA.

Bersambung...

Ikhlas,

Faizal Yusup

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.