21 Februari 2010

KEPATUHAN



"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata):

 "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka."

Surah Al-Imran ayat 190-191




Dalam topik kali ini mari kita berkenalan dengan diri kita sendiri yang tergolong dalam rangkuman makhluk dan kejadian Allah Taala. Dalam pengisian ini saya ingin mengajak sidang pembaca yang saya hormati sekelian untuk sama-sama kita fikirkan tentang makhluk dan kejadian Allah Taala. Setiap makhluk dan kejadian sebenarnya adalah sesuatu yang dicipta Allah Taala.

Kita tahu yang semua makhluk gunung-ganang, pokok dan tanah pernah ditanya Allah Taala samaada untuk menjadi khalifah atau pemimpin di muka bumi ini namun mereka semua menolaknya kecuali manusia lantas manusia dipilih dan diberikan akal untuk memakmurkan bumi ini. Makhluk lain pula ditugaskan untuk beristigfar kepada Allah dan berkhidmat untuk manusia.

Mari kita lihat makhluk pokok, pokok dijadikan Allah sebenar sebagai fungsi untuk beristigfar kepada Allah juga untuk berkhidmat kepada manusia. Selama ini pokok-pokok menyediakan pelbagai manfaat kepada manusia sejagat.

Semua makhluk juga patuh pada apa yang diperintahkan kepada mereka oleh Allah Taala. Namun demikian dengan izin Allah batu yang berat juga boleh terapung sepertimana kisah batu yang ingin mengikuti Nabi Muhammad S.A.W. untuk ke langit semsa peristiwa Israq dan Mikraj, pokok yang diperintah duduk menetap dan bergerak dibuai angin juga patuh dengan perintah Allah itu. Namun demikian pokok juga boleh tunduk sujud malah berjalan kalau Allah berkehendakkan demikian sepertimana yang pernah berlaku di zaman Nabi-Nabi yang terdahulu. Ini semua berada dalam kekuasaan Allah Taala. Yang mati boleh hidup semua, burung yang dihancurkan boleh bercantum semula, api yang panas boleh menjadi sejuk sifatnya dengan kehendak Allah.

Kalau kita lihat kepatuhan semua makhluk ini menyebabkan kita tertanya-tanya pula akan kepatuhan diri kita kepada Allah Taala. Mungkin kepatuhan mereka dengan sifat yang telah dikurniakan kepada mereka contohnya besi yang keras boleh dilenturkan, batu yang keras pula tak dapat dilembutkan, api dengan sifatnya yang panas dan sebagainya adalah merupakan ibadah mereka kepada Allah Taala.

Kemudian dari makhluk dan kejadian inilah manusia menggunakannya lantas mencipta sesuatu darinya, maka terjadilah pelbagai jenis tempat perlindungan, rumah, pakaian, kenderaan dan segala keperluan manusia yang lainnya.

Bila difikirkan makhluk membawa makna sesuatu yang dicipta, ia tak punya kuasa untuk memberi manfaat ataupun mudarat, oleh yang demikian itu semua makhluk yang ada dalam dunia ini dicipta oleh Allah dan yang mencipta hanya satu iaitu Allah Taala. Dalam ertikata lain selain dari Allah itu adalah makhluk ciptaan Allah. Ini kerana Allah Taala hanya perlu berfirman “jadi, maka jadilah”. Allah boleh mencipta dari satu-satu makhluk dari keadaan yang tiada kepada ada dengan kehendakNya dan semua makhluk Allah ini ada tujuan dan objektifnya yang tersendiri.



Kita berada dari keadaan tiada kepada ada, iaitu dari keadaan tidak wujud kepada wujud dengan kehendak Allah Taala. Saya pernah menonton rencana Sign of Creator dan dalam tajuk Fossil, ia jelas menyanggah Teori Evolusi Darwin yang mengatakan manusia berasal dari beruk. Teori itu mengatakan yang kehidupan bermula berjuta tahun dahulu dari satu sel yang kemudiannya berkembang dan terus berkembang menjadi kompleks sepertimana sekarang.

Namun demikian ia tak dapat dibuktikan kerana fossil terawal yang ditemui telah menunjukkan kehidupan makhluk yang kompleks dengan mata tumpuan yang didapati pada lalat mahupun pepatung. Kemudian ia disanggah lagi dengan penemuan pokok dan binatang seperti, udang dan ikan jerung yang tak berubah bentuk semenjak beratus juta tahun yang lalu. Manusia juga begitu, manusia masih lagi sama semenjak zaman Nabi Adam A.S. sehinggalah kini. Cuma mungkin mereka hidup lebih lama dangan keadaan fizikal yang jauh lebih besar atas sebab-sebab tertentu.

Apapun mari kita lihat makhluk serta fungsinya ;

Fungsi Makhluk
Berkhidmat pada Manusia
Bumi
Keperluan fizikal
Udara
Pernafasan
Api
Haba dan kepanasan
Binatang
Makanan dan ternakan
Malaikat
Menyampaikan rezeki dll
Rasul
Menyampaikan risalah Allah
Iblis
Menggoda manusia

Dalam carta di atas kita dapat lihat yang Allah Taala telah menciptakan semua makhluk lain tak lain dan tak bukan ialah untuk menurut perintah Allah dan  berkhidmat kepada manusia. Bumi dan segala isinya secara dasarnya menyediakan keperluan fizikal kepada kita manusia dari segi makanan, pakaian, tempat tinggal, kenderaan dan apapun juga yang boleh diubah manusia dari keadaan asalnya.

Makhluk ini mungkin terdiri dari beberapa kategori antaranya yang hidup dan kelihatan seperti manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya namun ada juga makhluk yang hidup tetapi tidak kelihatan pada kaca mata manusia umpamanya jin, syaitan dan iblis. Ada juga makhluk yang tidak hidup seperti batu, kayu, logam dan sebagainya.

Apapun kalau kita perhatikan kebanyakan makhluk ini mempunyai tugas khasnya yang tersendiri. Matahari dengan kerjanya memancarkan cahaya dan memberikan haba, Lembu dengan kerja makan rumput, ikan dengan tugasnya di dalam laut, pokok dengan tugasnya menjalankan fotosintesis. Malaikat pula dijadikan Allah dengan pelbagai fungsi selain dari beramal pada Allah, Jibrail A.S. menyampaikan wahyu, Izrail mencabut nyawa, Mikail menyampaikan rezeki, Raqib dan Atid menulis amalan dan sebagainya. Malah Iblis juga dijadikan Allah untuk berkhidmat dengan menggoda manusia dan sebagainya. Namun begitu makhluk manusia punya tugas yang kelihatan agak bebas, boleh buat pelbagai perkara di muka bumi ini.

Menurut sejarah Islam semua makhluk ini pernah ditanya Allah Taala samaada mereka ingin menjadi khalifah dan semua mereka mengatakan yang mereka tak sanggup untuk berbuat demikian kecuali manusia. Oleh yang demikian itu akhirnya manusia dipertanggungjawabkan Allah untuk menjadi khalifah atau ketua di muka bumi ini bagi tujuan membawa kemakmuran kepadanya. Malangnya manusia dengan sifat yang ada dalam dirinya lebih banyak membawa keburukan kalau dibandingkan dengan kebaikan.  

Apapun kalau kita kaji dalam Al Quran makhluk dan kejadian ini semua sebenarnya beristighfar kepada Allah dan menurut perintah yang Maha Esa. Contohnya batu dengan sifatnya yang keras digunakan untuk membuat bangunan. Apa akan terjadi kalau tiba-tiba ia melanggar perintah Allah lantas menjadi lembut? Maka saya percaya rumah anda akan runtuh.

Makhluk dengan sifatnya yang tersendiri. Air dengan sifat berdalirnya dan membersihkan, Api dengan sifatnya yang panas, Matahari dengan sifatnya yang memberikan cahaya dan haba, malaikat Mikail dengan tugasnya menyampaikan rezeki, syaitan dengan tugasnya menggoda manusia. Apapun kalau kita lihat dari sudut yang lain pula kita akan dapat lihat yang pertamanya semua makhluk ini menurut perintah Allah dan keduanya mereka semua berkhidmat untuk manusia. Setakat hari ini saya belum bertemu dengan kisah malaikat yang berkhidmat untuk lembu contohnya.

Makhluk Api diketahui dengan sifatnya yang panas namun tak selalu begitu kerana andai diizinkan Allah ia boleh menjadi sejuk sepertimana yang berlaku adalam kisah Nabi Ibrahim A.S. dahulu yang mana bila kaumnya membakar beliau baginda keluar dari api yang begitu marak dalam keadaan menggigil kesejukan. Allah berkuasa atas tiap sesuatu dan dengan yang demikian itu boleh menukar sifat makhluk menurut kemahuanNya. Keadaan yang sama pernah berlaku pada batu yang terbang terapung kerana ingin mengikut Rasullullah semasa Israq Mikraj mahupun kisah Nabi Daud yang boleh melentur besi.

Inilah antara kekuasaan Allah Taala yang perlu kita kaji dan ambil iktibar mengenai perihal makhluk ini.

Mengetahui yang semua makhluk bertindak berdasarkan perintah Allah dan bertugas berkhidmat buat manusia maka semua makhluk ini sebenarnya boleh diperhatikan, dibuat kajian dan dijadikan iktibar untuk kebaikan kita semua. Katalah kajian yang dijalankan dengan hanya melihat pokok membolehkan kita mengkajinya dari pelbagai sudut antaranya dari sudut matematik, sains dan teknologi, pelaburan, seni dan sebagainya. DNA pokok contohnya membolehkan kita meneraju ke arah bidang bioteknologi dan sebagainya. Sistem organ manusia dan binatang pula membolehkan kita mencipta enjin dengan menggunakan sistem yang sama.

Kalau kita lihat dalam huraian tadi semua makhluk dijadikan Allah untuk berkhidmat kepada Allah dan juga kepada manusia dan ini termasuklah makhluk iblis sekali. Iblis juga berkhidmat tetapi kenapa dia dimasukkan ke dalam neraka? Kalau iblis tidak berkhidmat menggoda manusia nescaya semua manusia akan menjadi makhluk yang baik dan patuh kepada perintah Allah.

Perkhidmatan makhluk api pula tak cukup di muka bumi ini tetapi ia terpaksa berkhidmat juga di dalam neraka kelak. Makhluk api yang berkhidmat di muka bumi ini juga kena duduk dalam neraka? Menurut guru saya walaupun dia duduk bekerja dalam neraka tetapi sebenarnya dia dapat merasakan nikmat yang tak terhingga bila membakar ahli-ahli neraka sekelian.

Apapun di alam Barzakh atau di alam kubur nanti hanya kejadian Al Quran nul Karim yang bakal akan dapat membantu kita dalam menjawab persoalan kubur dan padang Mashyar selepas hari kiamat nanti Nabi Muhammad S.A.W. pula yang bakal memberikan syafaat. Oleh itu lebih baik kita berkawan dengan Al-Quran dengan selalu membaca, menghayati dan mengikut apa yang diperintah Allah dan menolak apa yang dilarang Allah dan pada masa yang sama selalu berselawat kepada Rasullullah S.A.W. dan mengikuti sunnahnya kerana makhluk lain contohnya ibubapa, pasangan, kekasih hati, kawan, harta, duit dan sebagainya tak akan dapat membantu kita di alam kubur mahupun di alam akhirat nanti.

Jadi kenapa makhluk lain yang berkhidmat bakal mendapat ganjaran tetapi iblis yang juga melakukan khidmatnya dijanjikan Allah kekal dalam neraka buat selama-lamanya?.

Untuk menjawab soalan ini kita lihat dari sudut kepatuhan makhluk Allah itu, sepertimana gambarajah di bawah ini.

Makhluk
Kepatuhan
Bumi
Patuh
Udara
Patuh
Api
Patuh
Binatang
Patuh
Malaikat
Patuh
Iblis
Tak Patuh
Manusia / Jin
Patuh / Tak Patuh?

Kita ambil makhluk binatang bernama Lembu sebagai contoh. Allah perintahkan lembu makan rumput, maka lembu tanpa soal akan dan terus-terusan makan rumput. Apa akan jadi kalau ia melanggar perintah Allah dan makan ayam, itik, arnab, manusia dan sebagainya. Bukankah masalah jadinya. Itulah sebabnya juga setiap binatang ada tugasnya masing-masing, cacing menggembur tanah, rama-rama mensenyawa bunga, binatang diguna manusia untuk daging, tenusu, bulu dan kulit dan sebagainya. Sekali lagi mereka semua patuh menurut perintah Allah serta berkhdmat untuk manusia. Setakat ini belum lagi kita nampak harimau makan rumput dan bunga-bungaan.

Carta di atas jelas menunjukkan yang semua makhluk di dunia ini patuh kepada perintah Allah tetapi Iblis dihukum kerana tak mahu patuh kepada Allah untuk tunduk menghormati Nabi Adam A.S. semasa baginda dicipta Allah. Kemudian dia telah berjanji untuk berusaha mengajak seramai yang boleh untuk ke neraka.

Bagaimana pula kita manusia?

Kita juga ada pilihan tersebut. Jawapannya mudah kalau kita patuh pada Allah maka ganjaran kebaikanlah yang bakal kita terima namun sebaliknya kalau kita mengambil keputusan untuk tidak patuh kepada perintah Allah dan meninggalkan laranganNya maka kesusahanlah yang bakal kita hadapi. Mungkin inilah sebabnya ada sahabat-sahabat Nabi yang berkata kalau boleh mereka mahu menjadi burung, rumput yang dimakan lembu mahupun tidak ingin dilahirkan sebagai manusia dan sebagainya kerana semua makhluk tersebut tak perlu membuat pilihan sepertimana yang kita kena lakukan.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.