02 Februari 2010
Hayatilah
Pada saya seorang penyanyi bukan hanya menyanyikan sebuah lagu dengan kemerduan suaranya bagi memikat pendengarnya. Ia satu pakej yang yang besar sebenarnya, ia termasuk lirik lagunya yang menyampaikan maksud tersurat dan tersiratnya yang tersendiri, susunan gubahannya, muziknya, persembahannya, penyanyi latarnya beserta dengan aspek-aspek yang lainnya bagi menjadikannya begitu menarik untuk dihargai.
Dalam hal ini, penulis juga bukan hanya menyampaikan cerita dengan olahan plot cerita yang sedap bagi memikat pembacanya. Ia lebih dari itu. Ia mesti mempunyai unsur mendidik dengan penerapan nilai yang baik untuk difikirkan dan diambil iktibar.
Sebagai contoh,
Tengahari itu, aku meminta Shamsir Ikhmal membawaku ke tepi pantai, tempat di mana aku selalu mengasingkan diri dan memikirkan segala masalahku. Setakat ini hanya Shamsir Ikhmal sahaja yang tahu tempat kegemaranku ini.
Shamsir Ikhmal tidak bertanya mengapa aku tidak pergi kerja hari ini. Mungkin memberi ruang padaku untuk menjelaskan segala-galanya apabila keadaan mengizinkan.
Ditambah dengan,
Tengahari itu, aku meminta Shamsir Ikhmal membawaku ke tepi pantai, tempat di mana aku selalu mengasingkan diri dan memikirkan segala masalahku. Setakat ini hanya Shamsir Ikhmal sahaja yang tahu tempat kegemaranku ini. Mungkin manusia sebagai makhluk Tuhan secara semulajadinya suka berinteraksi dengan alam sebagai terapi dirinya sendiri. Padaku duduk berseorangan memerhatikan deruan ombak Selat Melaka dengan angin yang nyaman menghembus menerpa wajahku ini sudah cukup memberikan ketenangan. Aku cukup yakin yang alam semulajadi punya auranya yang tersendiri. Kalau dahulu aku duduk bersendirian di sini memikirkan mahupun menangisi suka duka kehidupan namun kali aku bersama dengan seorang jejaka bernama Shamsir Ikhmal. Mungkinkah dia bakal menjadi tempat untuk aku meredakan kegelisahan yang sentiasa membelenggu hati?
Shamsir Ikhmal tidak bertanya mengapa aku tidak pergi kerja hari ini. Mungkin memberi ruang padaku untuk menjelaskan segala-galanya apabila keadaan mengizinkan.
Bagaimana pula dengan yang ini?
Setelah 11 tahun berpisah, buat pertama kalinya Mona dijemput ke majlis Reunion sekolahnya yang akan diadakan di Hotel Hilton Petaling Jaya malam nanti. Kekasih zaman sekolahnya Azli akan turut serta. Gadis berambut panjang ikal mayang itu tak tahu apakah yang sesuai dipakainya untuk ke majlis itu nanti. Mona telah mengambil masa 3 jam mencuba 35 helai pakaian yang ada dalam almari di biliknya. Namun tak satupun dirasakan padan dan sesuai untuk ke majlis tersebut. Masa sudah terlalu suntuk untuk dia pergi membeli belah. Kepalanya pening memikirkan masalah yang dihadapinya itu.
Bukankah ini penerapan nilai yang kurang baik? Agaknya Mona mencuba pakaian sambil berzikir selama 3 jam. (bersangka baik)
Apapun seorang penulis yang baik pasti akan menerapkan nilai-nilai mendidik sebegini kepada pembacanya dan seorang pembaca yang baik pula pasti akan nampak nilai didikan ini di dalam setiap pengisian dan input yang dibacanya.
Kesimpulan dari artikel ini ialah kalau anda seorang penulis tulislah dengan elemen penerapan nilai diri yang baik untuk disampaikan kepada pembaca anda, kalau anda seorang pembaca pula bacalah dengan penghayatan yang jitu dan bukan dengan sekali lalu kerana di dalam satu-satu pengisian pasti ada kebaikan dan manfaat di dalamnya. Kalau tidak kenapa pengisian itu dijodohkan dengan kita. Alang-alang pengisian itu sudah ditemukan dengan kita, bukankah lebih baik kita mengambil sebanyak yang mungkin daripadanya.
Fikir-fikirkanlah..
Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.
Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.
Ikhlas dari,
Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial
Email : greng70@yahoo.com
Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!
PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua InsyaAllah.
Terima kasih…
Ditulis oleh
faizal yusup
pada
2:59 PG
Labels:
Catatan Penulis,
Segmen Cerpen / Novel,
Segmen Hati,
Segmen Pengisian
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.