09 Februari 2010

Konsep Jigzaw Puzzle



Jigzaw Puzzle Bah 1

Dalam mana-mana perhubungan atau projek kita sebenarnya seakan menyusun cebisan jigzaw puzzle. Bagi yang tak tahu apa itu jigzaw puzzle biar saya terangkan. Jigzaw puzzle adalah satu permainan yang mana terdapat cebisan-cebisan yang kecil untuk dicantumkan dan menjadi satu gambar yang besar.

Iktibarnya dalam kehidupan begini, kekadang kita mendapat satu cebisan yang berbentuk seorang kenalan. Pada masa itu ia sekadar kenalan tetapi 20 tahun kemudian dia menjadi rakan kongsi perniagaan. Selalunya kita tak tahu kenapa seseorang itu dijodohkan dengan kita hinggalah satu hari kita mendapat gambaran penuh mengenainya untuk kita faham.

Pada setiap orang disediakan dengan pelbagai cebisan yang akhirnya menjadi satu gambaran yang lengkap. Pada masa itu barulah kita sedar akan apakah fungsi dan tugas yang perlu kita lakukan dalam kehidupan ini. Saya mula menulis bila diberikan diari oleh bapa saya, itu merupakan cebisan yang pertama, kemudian cebisan lain berbentuk dorongan dari sekitaran, pengalaman dan pemerhatian, dijodohkan dengan penulis dan syarikat penerbit dan sebagainya. Akhirnya fahamlah saya yang saya dikurniakan dengan bakat menulis dan kesedaran itu menjadikan saya seorang penulis yang terus-terusan menulis baik buku, blog dan dimana sahaja yang berkesempatan.

Jigzaw Puzzle Bah 2

Kes 1
Kisah Si Bujang Berkahwin

Abu mempunyai set cebisan jigzaw puzzle yang tersusun baik cebisan hubungannya dengan Allah, ibubapa, adik beradik, saudara mara, cebisan kerjaya, cebisan kewangan dan lain-lain lagi. Dia selalu memberikan duit dan membantu segala keperluan kedua ibubapa serta adik beradiknya. Tanpa dia sendiri sedar dia telah menyusunnya sejak dari awal kehidupan. Ini membolehkan Abu menjalankan kehidupan dengan lancar dan tenang.   

Namun demikian, pabila Abu berkahwin tanpa disedari terdapat perubahan yang besar kepada jigzaw puzzle yang telah tersusun ini dengan masuknya orang baru, Zeti dalam kehidupannya. Abu berpindah rumah, memulakan kehidupan berkelamin dan sebagainya. Perubahan ini menyebabkan gangguan yang jelas pada kelancaran kehidupan selama ini. Masalahnya Abu adalah seorang yang begitu menurut kata isterinya itu.

Kalau di masa bujang Abu tinggal di rumah kedua ibubapa, oleh itu dia selalu dapat membantu sakit pening mereka, bila berkahwin keadaan ini telah berubah kerana Abu terlalu sibuk dengan isterinya. Dia tak lagi memberi sumbangan bulanan kepada kedua orang tuanya dan sebagainya. Begitu juga cebisan hubungan baiknya dengan keluarga dan jiran setempat telah terjejas. Ini kerana selepas kahwin Abu telah berpindah ke tempat yang baru jadi dia harus mula berkenalan dan berhubungan dengan jiran yang baru pula. Dalam ertikata lain semua cebisan yang telah tersusun dulu telah berterabur dan harus disusun kembali. Itupun kalau Abu menyedarinya.

Contoh ini sebenarnya berlaku kepada boleh dikatakan semua orang yang melalui gerbang perkahwinan. Oleh itu perhatikanlah setiap cebisan jigzaw puzzle anda, janganlah melakukan satu-satu tindakan itu dengan tergesa-gesa tanpa memikirkan akan impak yang mungkin akan berlaku pabila tindakan itu diambil.

KES 2
Kisah Si Hidung Belang

Ali merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya dan telah mendirikan rumah tangga selama sepuluh tahun serta dikurniakan dengan 5 orang anak. Semua cebisan jigzaw puzzlenya berada dalam keadaan yang baik dan tersusun. Perhubungan dengan keluarganya, anak isteri, keluarga mertuanya, adik beradik, jaringan perniagaannya, pekerjanya dan sebagainya semuanya sungguh cemerlang.

Kemudian Ali mula menjalinkan perhubungan sulit dengan setiausahanya. Ali menyangkakan yang dia mampu berbuat demikian dan keadaan akan menjadi lebih baik. Sebaliknya dari sini masalah kehidupannya bermula. Jigzaw puzzle yang tersusun mula berterabur kerana hilang pemantauan rapi. Percintaan ini telah menyebabkan Ali tidak dapat menumpukan perhatian kepada keluarga juga perniagaannya. Bila hubungan sulitnya itu diketahui isterinya. Berlakulah perang dunia ketiga. Semuanya menjadi huru hara, dia dimarahi dan dibenci banyak pihak. Akhirnya rumahtangga yang harmoni dan dibina sekian lama berkecai. Ali menyangkakan yang  semua akan baik bila dia berkahwin dengan setiausahanya namun itu tidak berlaku. Rezekinya semakin lama semakin kurang dan akhirnya dia diisytiharkan muflis.

Mungkin Ali merupakan pintu rezeki bagi keluarganya yang terdahulu yang punya anak lima itu dan bukannya pintu rezeki bagi isteri baru iaitu setiausahanya. Akhirnya Ali sendiri yang merana menyesali kesilapan yang dilakukannya itu.

Namun demikian saya yakin kalau Ali berkahwin dengan niat yang betul dan bukan berlandaskan nafsu, kemudian telus mengenainya kemungkinan jigzaw puzzlenya itu tidaklah akan terjejas dengan begitu teruk sekali.

KES 3
Kisah Si Pemimpin

Satu ketika dahulu Mahmud merupakan seorang pemimpin negara Avatar. Beliau telah menjalankan pentadbiran negara dengan baik dan berkesan. Boleh dikatakan majoriti penduduk negara itu gembira dengan sistem yang telah sedia ada. Pembangunan negara berjalan dengan lancar, ekonomi penduduk meningkat dengan baik, negara menjadi terkenal di mata dunia, rakyat pula hidup dalam aman dan makmur. Dalam ertikata lain jigzaw puzzle ini telah tersusun dengan baik pun begitu masih ada ruang yang boleh diperbaiki.

Kemudian bila Mahmud pencen beliau digantikan dengan pemimpin yang baru bernama Azlan. Azlan sepatutnya hanya menyambung pembangunan yang telah dirancang dan diatur oleh Mahmud dengan melakukan sedikit tambahbaikan tetapi sebaliknya Azlan telah menghempas jigzaw puzzle yang telah sekian lama tersusun hingga berterabur dengan menadbirkannya dengan cara dan kaedah baru yang dirasakannya lebih baik. Ini menyebabkan sistem yang telah sedia terbentuk menjadi berterabur dan akhirnya kerajaan itu tumbang.

Keadaan ini tidak berlaku di negara Singavar. Azhar merupakan pemimpin yang sama dengan Mahmud. Beliau berjaya memimpin negaranya dengan baik dan berjaya menyusun jigzaw puzzle itu dengan kemas sekali namun demikian tidak seperti Mahmud bila beliau pencen, beliau telah menjadi menteri kanan yang masih lagi punya kuasa eksekutif kepada pentadbiran negara tersebut. Walaupun pemimpin yang baru, Azman dilantik namun demikian pembangunan dan agenda yang telah dirancang dapat diteruskan. Ia umpama setiap cebisan jigzaw puzzle itu ditambahbaikkan dan sebarang kelemahan diperbaiki. Cebisan yang tiada pula ditambah mengikut keadaan dan keperluan semasa.

Pada pendapat saya bila sesuatu itu telah disusun dengan elok maka kita tak perlu menukarnya atau menggantikanya dengan jigzaw puzzle yang lain. Ini kerana terlalu banyak variables yang perlu di fine tuning bagi mendapatkan kecekapan dan sistem yang paling berkesan.

Banyak lagi contoh lain yang boleh saya huraikan di sini tetapi saya rasa apa yang telah dikisahkan sudah cukup untuk memberikan kefahaman mengenainya. Bila kita kahwin, bercerai, pindah kerja, pindah rumah dan sebagainya ia akan secara tak langsung mengganggu susunan jigzaw puzzle yang telah kita susun. Oleh itu selagi daya cubalah untuk tidak melakukan perubahan yang drastik, ini kerana lagi berterabur jigzaw puzzle kita itu maka makin sukarlah untuk kita kembali menyusunnya semula. Apa yang pasti ia akan mengambil masa.

Orang yang sedar akan semua ini akan menjaga semua cebisan jigzaw puzzlenya bagi memastikan yang semuanya berada dalam keadaan yang baik dan dari masa ke semasa menambahbaikkan cebisan-cebisan yang sedia ada agar ia berkilat dan tersusun rapi.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.