19 Februari 2010

Konflik Cinta - Bab 1 Bah 2

Setiap insan ada rahsianya. Apa rahsia anda?
NOVEL BERSIRI - KONFLIK CINTA
Bab 1 Bahagian 2

Cuaca agak sejuk di sini memandangkan sekarang musim salji. Kemudian pada jam 7:00 pagi kami bertolak ke St Louis sebelum menuju ke Lincoln, Nebraska. Aku tiba di Lincoln pada pukul 5:15 petang dan masa tu Azizi, Firdaus juga beberapa orang senior yang lain telahpun menunggu kedatangan kami. Kemudian kami terus dibawa ke 1111 V Street, Lincoln. Di sana aku diperkenalkan dengan Azhar, Haziq, Najib dan lain-lain. Perjalanan itu amat meletihkan menyebabkan aku mengambil masa lebih kurang 2 minggu untuk membiasakan diri dengan perubahan masa atau lebih dikenali sebagai jet lag.

Dari sini bermulalah perjalanan hidupku yang baru, bebanan berat yang aku pikul di Malaysia dahulu selama hidupku, aku tinggalkan jauh di benua sana. Di sini aku sendiri tanpa sesiapa mengenali diri ini, dengan penuh pengharapan yang aku boleh berehat menghela nafas kehidupan dengan tenang dan damai seketika tanpa ada sesiapa yang mengganggu untuk jangkamasa empat tahun ini.

Tidak banyak yang berlaku di bandar yang terletak di timur Nebraska ini semenjak aku berada di sini. Majoriti penduduknya di sini adalah golongan kulit putih yang merupakan golongan yang baik dan sopan. Selain itu pelbagai minoriti seperti golongan kulit hitam, Chicano dari keturunan Mexico, Vietnam, Red Indian dan sebagainya juga menghuni di daerah ini. Orang melayu berkulit sawo matang sering disalah anggap sebagai orang Red Indian mahupun Chicano kerana iras wajah yang hampir serupa.

Kebanyakan bangunan di sini pula dibina berkonsepkan Zaman Empayar Roman yang mudah dikenali dengan tiang-tiang bulat tinggi yang teguh berdiri samaada bermotifkan corinthian, doric mahupun ionic. Pengaruh empayar Roman ini begitu mempengaruhi tamadan Barat. Yang peliknya kadang-kadang rumah melayupun banyak yang memasang tiang-tiang sebegini hinggakan ukiran kayu berbunga tradisional melayu seperti awan boyan, awan semayang, daun setulang, pokok sulur meliding dan sebagainya tenggelam dimakan zaman. 

1111 V Street, Lincoln Nebraska, rumah dua tingkat ini merupakan tempat tinggal kami berlapan. Rumah tersebut merupakan rumah banglo yang mempunyai empat bilik dengan dua bilik air, yang menariknya ia mempunyai attic di atas bumbung dan basement di bawah rumah. Kami menyewanya dengan kadar USD650.00 sebulan.

Sepertimana yang dijanjikan aku terus dengan rutinku mengutusi keluarga juga Kak Ina dan selagi mampu aku juga menelefon mereka sekali sekala untuk bercerita. Kesepian lama-kelamaan mula terasa dalam sanubari memandangkan ketiadaan saudara-mara, sahabat-handai yang dikenali untuk bergurau senda berseloka. Keadaan ini cuba aku sampaikan kepada Kak Ina tetapi dia seolah gagal memahami. Surat dari Malaysia merupakan khazanah yang amat berharga ketika itu. Aku senantiasa ternanti-nanti akan kedatangannya. Panggilan telefon jauh sekali kerana kosnya yang mahal.

Walaupun dalam keadaan sebegini, aku tidak lupa untuk meneruskan pengajian sambil cuba menyesuaikan diri dengan keadaan setempat. Di sini apabila melangkahkan kaki keluar dari rumah maka Bahasa Inggerislah yang akan mengambil tempat tak kira dengan siapa aku berdepan. Begitulah hari-hariku selama aku di sini. Antara mereka-mereka yang aku kenali abangkulah yang paling banyak mengutusi samaada dalam bentuk poskad mahupun surat menyurat. Dialah yang paling banyak mengemaskinikan tentang perkembangan di Malaysia.

Suasana kelas di sini pula amat berbeza sekali kerana pelajar-pelajar Mat Saleh ini seperti tidak mempunyai budi bahasa. Mereka boleh membuat apa sahaja dalam kelas ini termasuklah makan, minum, bercakap, keluar masuk sesuka hati, mengangkat kaki ke atas meja dan sebagainya. Inikah yang dikatakan golongan yang bertamadun? Detik hatiku. Lama kelamaan aku dapat juga membiasakan diri dengan keadaan ini dan aku pun mula mengikuti jejak langkah mereka melakukan perkara yang serupa. Kemudian selepas mendapat penjelasan barulah aku faham yang pensyarah dibayar gaji oleh para mahasiswa untuk mengajar dan kuasa yang mereka ada hanyalah semasa memberikan gred peperiksaan tidak lebih dari itu.

Dalam musim sejuk ini masa siang semakin pendek dan sebaliknya menjelang musim panas masa siangnya pula menjadi panjang. Inilah antara pengalaman paling menarik ketika berada di negara empat musim.

Memandangkan kami datang ke daerah ini bertiga maka perhubungan tak semena-mena menjadi rapat kalau dibandingkan dengan para pelajar yang lainnya. Aku banyak menghabiskan masa dengan Zamri, yang berasal dari Raub, Pahang. Seorang yang kelakar dan pada masa yang sama merupakan seorang yang baik untuk dijadikan kawan. Kami juga menyewa dalam bilik yang sama di tingkat atas banglo tersebut. Boleh dikatakan kami macam kembar kerana kemana sahaja berdua. Baik ke kuliah, berbincang di perpustakaan, lepak di bangunan Nebraska Union yang menjadi tempat pertemuan para pelajar melayu mahupun pergi beli barang-barang dapur pun kami selalu berdua. Kalau kami tak berdua kami akan bertiga dengan kehadiran Wati menemani kami. Kami akan hanya berpisah bila berada dalam kuliah yang berasingan.

Wati pula pula berasal dari Kedah, di daerah Langgar. Ibubapanya menjalankan perniagaan restoran di sana dan menurutnya semenjak kecil dia selalu melepak di restoran dan jarang-jarang berada di rumah. Gayanya penuh keyakinan dan langsung tak takut berdepan dengan lelaki. Cara dia merenung tepat mataku setiap kali berbicara menunjukkan sifatnya yang berpengalaman dengan lelaki. Kadang-kadang pula lontaran kata-katanya yang mempunyai makna yang tersirat mengelirukan aku tentang si Wati akan latarbelakangnya.

Teringat aku semasa kami lepak di lobby Union, si Wati datang dan cuba duduk di sebelah kerusi aku yang kosong.

“Kau tepilah sikit Man, karang aku himpit kang susah kau nanti.”

“ Alah!! Badan cinoni ada hati nak himpit orang konon. ”

“ Belum cuba belum tahu tau sedapnya yang...” Sahutnya lagi.

Di ketika yang lain pula mengetahui yang kadangkala sambil menanti kuliah seterusnya aku dan Zamri akan menghabiskan masa bermain pool di tingkat bawah bangunan Nebraska Union ini.

“ Kau tak main ke hari ni? Kalau kau main aku pun nak main dengan kau boleh? ” Kata Wati sambil mengenyitkan matanya padaku.

Begitulah kata-kata yang keluar dari mulut Wati selalunya. Selalu ada dua makna dan aku pula selalu melayani kata-katanya itu sekadar gurauan.

Entah kenapa dia suka benar bergurau dengan aku dengan cara yang sebegitu tetapi tidak dengan orang yang lainnya. Malah dengan Zamripun dia agak serius.

Di awal perkenalan kami aku perasan yang dia begitu taksub dengan duit. Ceritanya tak habis berkisar tentang duit, tentang mahu menjadi kaya, mahu jadi menteri dan sebagainya. Aku pula suka menyakatnya dengan kisah-kisah keakhiratan yang tidak mementingkan semua itu. Setiap kali bila perbahasan ini berlangsung dia akan bengang dengan aku hinggalah ke perbahasan yang seterusnya. Bagi aku dia menghadapi masalah mengawal emosinya. Namun demikian selepas sehari dua merajuk dia akan kembali semula tanpa perlu dipujuk.

Kalau dibandingkan dengan Zamri, Wati lebih suka menghabiskan masa dengan aku, oleh itu ramai yang menyangka yang kami sepasang kekasih tetapi hakikatnya aku merupakan kaunselornya tempat dia mengadu pelbagai hal dan masalah serta pada masa yang sama berusaha mendidik dia mengawal emosinya.

Petang itu aku berada dalam dilema akan apakah yang perlu aku lakukan. Aku kena balik awal kerana Wati demam dan dia meminta aku  membelikan makanan untuknya. Pada masa yang sama aku terasa ingin menulis dan perlu menyiapkan kertas kerja minggu depan atau aku perlu bertemu Zamri berbincang tentang assignment yang ada di tanganku ini atau entahlah. Aku dalam dilema. Ini kerana sudah menjadi sifat lumrahku untuk membantu mereka yang memerlukan dan adakalanya aku mengenepikan keperluanku sendiri. Kadangkala dalam keadaan sebegini aku sendiri tak tahu yang manakah keutamaan yang penting yang perlu didahulukan.

Maka inilah keputusanku. Aku akan balik lambat sikit, aku boleh mulakan rangka assignment itu seketika kemudian ke kedai membeli makanan kemudian hantarkan pada Wati dan esok sahajalah aku jumpa Zamri.

Jalan tengah inilah yang aku rasakan yang terbaik buat masa ini.

Sewaktu aku bertemu dengannya lewat petang itu, masalah yang dia hadapi ialah dia teringatkan pada bekas kekasihnya dulu dan dia merasa dendam atas apa berlaku sepanjang perhubungannya selama hari ini. Keadaan ini begitu membelenggu dirinya sehingga menyebabkan dia demam. Aku cuba memahami dan pada masa yang sama cuba mententeramkan dirinya dari dikuasai perasaan tersebut.

Semua ini kalau berada di luar pengetahuanku tak akan mendatangkan apa-apa masalah bagi aku tetapi semenjak ia memasuki diri ini ia seakan membuka ruang kebencian dalam diri dan aku mula memihak kepada Wati. Ini sebenarnya tak sepatutnya ada kerana ia mainan Syaitan dan aku sedar yang ia bukanlah sesuatu yang harus ada dalam diri aku. Aku mesti mengambil langkah berkecuali dan berfikiran rasional. Aku mesti melepaskan masalah ini pergi kerana bekas kekasihnya tak ada kena mengena dengan aku. Kadangkala masalah orang lain boleh membebankan diri aku dan sehingga kini aku masih belum dapat mengatasinya.

Hujung minggu aku pening kepala sekali lagi untuk melakukan yang terbaik untuk Wati. Kali ini nampaknya dia begitu tension kerana sikap rakan serumahnya yang seakan meminggirkan dirinya. Nampaknya aku perlu berusaha lagi untuk memperbaiki pemerhatiannya kerana pada pandanganku, aku tak nampak apa-apa masalah dari mereka. Masalahnya hanyalah dari perspektif Wati sendiri. Mungkin beginilah sifat perempuan yang penuh dengan emosi.

Entah kenapa salah satu sifatku yang utama ialah aku memang sudah biasa menjadikan diri sebagai tempat orang mengadu hal. Bukannya aku dari jenis yang suka menjaga tepi kain orang. Aku cuma suka membantu mereka untuk cuba keluar dari permasalahan yang mereka hadapi. Selagi terdaya aku akan cuba memberikan sokongan dalam apa jua bentuk sekalipun. Bila difikirkan keadaan ini menyebabkan semakin lama pengetahuanku dalam hal kaunseling ini semakin baik.

Teringat aku semasa di zaman sekolahku bila aku didatangi oleh seorang kawan yang sedang menangis kesedihan.

“ Kenapa ni Badar? Kenapa sedih sangat ni? Apa masalahnya? ”

Bersambung...

Ikhlas dari,

Faizal Yusup

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.