Setiap insan ada rahsianya. Apa rahsia anda?
NOVEL BERSIRI - KONFLIK CINTA
Bahagian 3
“ Kenapa ni Badar? Kenapa sedih sangat ni? Apa masalahnya? ”
“ Ada orang tersayang meninggal ke? Ada masalah kewangan ke? Kenapa kau tertekan sangat ni?” Aku penuh tandatanya melihatkan keadaan Badar yang tak keruan.
“ Tak.. Makwe aku kat kampung dah sebulan tak hantar surat pada aku... Dia dah lupakan aku kot... ” Jawabnya sedih.
Pasal makwe tak hantar surat pun orang boleh menangis? Ada masalah besar nampak kecil pada orang lain dan sebaliknya ada masalah besar nampak kecil pula pada orang yang lainnya kata hatiku. Apapun aku mengambil langkah mententeram dan menasihatinya,
“ Mungkin dia ada masalah kot atau mungkin dia salah tulis alamat atau mungkin posmen tu yang silap hantar kot. Ada banyak kemungkinan Bad, kau janganlah risau sangat, nanti sampailah surat tu.. ”
Inilah antara detik-detik permulaan aku menjalankan sesi-sesi kaunseling dalam kehidupanku dan sekarang Wati merupakan pelanggan utamaku yang menceritakan pelbagai hal dan masalah yang dihadapinya. Selalunya ia berkisar tentang masalah keluarga, bekas kekasihnya, rakan serumahnya dan masalah pelajarannya. Tidak lebih dari itu tapi firasatku merasakan yang banyak perkara yang disembunyikannya. Kadang-kadang agak sukar untuk memberikan nasihat bila cerita tidak dibuka sepenuhnya.
Mungkin kelebihan inilah menyebabkan Wati begitu rapat denganku pada masa itu.
Pada masa yang sama semua kisah hidupku di sini aku tulis dan sampaikan pada Kak Ina dalam bentuk surat ke Universiti Teknologi Mara tempat dia belajar. Kak Ina gadis matang bertudung tetapi low profile itu selalu setia menemani hari-hariku semenjak perkenalan kami di bangku sekolah menengah lagi. Akupun selalu rasa selesa menceritakan pelbagai peristiwa yang berlaku pada diriku padanya. Namun begitu ceritanya jarang yang berat kerana aku tak mahu menyusahkan dirinya. Aku tak pernah mengganggap dia sebagai kaunselorku. Sebaliknya dia lebih terbuka menceritakan apa juga masalah yang dihadapinya. Mungkin topeng senyumku ini dah sebati melekat pada mukaku ini lantas menyebabkan sukar bagi aku meluahkan sebarang rahsia yang terpendam jauh di lubuk hatiku.
Keputusan peperiksaan semester pertama yang kutunggu masih lagi belum menjelma. Bagi aku ia merupakan titik tolak arah tuju pembelajaranku di sini. Cuti semester semakin menghampiri penghujungnya. Kebanyakan mahasiswa di sini akan menghabiskan masa cuti untuk pergi melancong melihat negara orang sebagai kenangan untuk disimpan di hati yang mungkin bakal diceritakan kepada anak serta cucu. Namun aku pula bekerja di Nebraska Union di bawah penjagaan Dorothy bagi mencari perbelanjaan untuk menampung kehidupanku di sini. Selebihnya aku hantarkan kepada ibuku di tanah air. Dorothy merupakan seorang insan yang baik berumur 63 tahun. Dia bagaikan nenek yang sentiasa tanpa henti menasihati cucu-cucunya.
Seperti kebiasaannya di penghujung semester pelajar baru akan tiba dari Malaysia dan pelajar lama yang telah tamat pengajian akan meninggalkan kami di sini hinggalah tiba giliran kami pula nanti. Semester kali ini dengarnya ada enam orang pelajar baru yang akan tiba. Komuniti melayu di sini tak ramai cuma dalam 40 orang tetapi komuniti Cina pula empat kali ganda lebih ramai.
Bagi meraikan mereka, beberapa orang ditugaskan untuk menjemput mereka di lapangan terbang dan beberapa yang lain pula ditugaskan untuk memasak menyiapkan makanan bagi menyambut kedatangan mereka ke sini sebelum menumpangkan mereka di rumah-rumah para pelajar di sini sementara mereka mendapatkan rumah sendiri.
Aku dan Wati antara yang ditugaskan untuk menjemput pelajar-pelajar tersebut. Mereka akan tiba jam 5:15 petang.
Dalam jam 5:00 petang kami telahpun berada di sana menunggu.
Kapalterbang American Airways dari St Louis yang ditunggu tiba agak lambat. Dalam pukul 6:00 petang mungkin ada flight delay jangkaku. Enam orang pelajar yang dimaksudkan pun turun. Empat perempuan, dua daripadanya memakai tudung dan dua lelaki. Entah kenapa mataku melirik memerhatikan salah seorang daripada mereka. Gadis bermata bundar, berkulit cerah, berambut hitam berkilat ikal mayang melepasi bahu dengan keletahnya yang mudah tersenyum dan ketawa itu begitu menarik perhatianku. Dia memakai blaus putih yang dikenakan dengan blazer dan berseluar slack panjang berwarna biru tua.
Sekali lalu dia memperkenalkan dirinya. Namanya Zila. Aku masih memerhatikan tingkahnya walaupun dia telah berlalu.
Tanpa aku sedari lirikan mataku ini diperhatikan oleh Wati.
“ Amboi tak berkelip nampak. ” Tegurnya mematikan perhatianku.
“ Alah! Tengok tak kena bayar apa? Sorilah Wati, nampaknya kau dah ada pesaing.. Aku jatuh cinta pandang pertama ni.. ” jawabku seraya menyakat Wati.
“ Biasalah manusia, ada rotan akar tak berguna lagi..” Luahannya seakan ada maksud yang tersirat.
“ Apa maksud kau Wati? ”
“ Yelah aku nikan ada kat depan mata.. ”
“ Tapi kau tak secantik Zila tu ha... ” Usikku.
“ Sampai hati kau cakap macam tu Man.. ”
“ Alah! Aku bergurau jelah... Itupun nak marah... ”
Apapun kami ditugaskan membawa dua orang pelajar lelaki Taufik dan Ramzi. Kedua-duanya dibawah tajaan MARA. Sepanjang perjalanan kami berkenalan dan bertukar-tukar cerita tentang keadaan di Nebraska dan perkembangan semasa di Malaysia.
Setelah sampai ke rumah, kamipun menjemput mereka masuk. Makanan semuanya telah disediakan. Kerusi-kerusi telah pun disusun di sekeliling ruang tamu. Jamuan ini bertujuan untuk meraikan mereka yang baru sampai juga untuk mereka yang graduate. Kamipun memperkenalkan mereka kepada semua pelajar seniors yang ada.
Semasa makan kamipun sibuklah menerangkan tentang apa yang boleh dan tak boleh dilakukan semasa di sini juga pengalaman masing-masing. Berbagai pertanyaan mereka tentang apa juga akan dijawab dengan sebaiknya.
“ Kat sini tak boleh sembelih binatang tau. Siapa sembelih binatang nanti kena tangkap. ” Terang Haziq.
“ Kalau nak basuh baju jangan basuh kat dalam bath tub sebab kat sini tak ada ampaian, ada washer dangan dryer kat basement rumah. Dalam apartmen selalunya mesti ada washer dengan dryer sekali, kalau nak pakai kenalah bayar pakai syiling. Kalau tak ada kat rumah, kenalah pergi buat laundry kat tempat yang disediakan. ” Sambungnya lagi.
“ Kitorang cakap ni sebab dulu dah ada budak baru yang datang sini basuh baju dalam bath tub.” Mata Azizi memandang pada Haziq menggamat suasana malam itu.
Aku asyik memerhatikan gelagat Zila, dia kuat ketawa dan setiap kali ada bahan yang kelakar dia akan ketawa bagai nak pecah perut.
Rumah banglo yang diperbuat dari kayu dua lapisan itu terasa bahangnya bila ramai berkumpul sebegitu walaupun heater tidak dipasangkan. Aku mengambil keputusan untuk keluar mengambil angin di varandah sambil duduk di atas buaian. Sekejap itu Zila pun keluar seakan mengekori aku.
Bersambung...
Ikhlas dari,
Faizal Yusup
Email : greng70@yahoo.com
Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!
PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.
Terima kasih…
' style='padding: 0; border: none;'/>
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.