15 Mac 2010

Perihal Penerapan Sekular


Semalam saya ke Mid Valley dan pemandangan di situ begitu jelas menunjukkan betapa nilai sekularisme telah menyerap dan bermaharaja lela dalam diri rakyat di negara ini dan keadaan ini begitu menyedihkan. Orang melayu beragama Islam hidup saling tak tumpah seperti rakyat di negara Barat atau mungkin juga saya berada di tempat yang salah.

Apapun topik kali ini bermula dengan satu peringatan yang pernah disampaikan oleh Rasullullah SAW. Sabda Baginda sampaikanlah walau sebaris ayat.

Sebenarnya penyampaian ayat-ayat kebenaran ini ada nurnya sendiri dan lambat laun ia akan terkesan di hati. Ia boleh lambat laun membawa perubahan kepada mereka yang mendengarnya. Namun demikian dewasa ini penyampai-penyampai Alllah Taala begitu sedikit namun demikian penyampai-penyampai berita dunia lebih ramai.

Mengambil dari peringatan nabi Muhammad SAW mereka-mereka kaum yahidi dan Nasrani menggunakan kaedah ini untuk melemahkan kita semua agar terpesong lantas mengikut cara dan budaya mereka. Kita bukan hanya dipesongkan oleh anasir-anasir luaran seperti ini tetapi kita juga di pesongkan oleh syaitan di dalam hati. Kita sebenarnya diserang dari luar dan dalam tanpa kita sedari.  

Dari luar mereka menggunakan satelit yang menurut sesetengah pihak sebagai telinga Dajjal yang. Televisyen dan monitor internet pula sebagai mata Dajjal. Yelah Dajjal bermata satu. Mungkin juga ini ada kebenarannya. Mereka menyampaikan melalui sistem multimedia yakni sistem yang pelbagai melalui radio, TV, Internet, melalui rancangan hiburan, dokumentari dan sebagainya serta melakukan pengulangan dan pengukuhan saban hari. Pengisian-pengisian ini menyentuh nafsu dan merupakan makanan kepada hawa nafsu dalam diri manusia. Bila minda di bawah sedar ini saban hari diserang tanpa disedari maka ramailah yang kalah dan kecundang lantas akhirnya menjadi pengikut dunia. Hidup dengan menjadikan dunia sebagai matlamatnya.

Hati menjadi kabur dan semakin lama semakin gelap hingga tak dapat menilai yang man yang baik dan yang mana yang buruk yang mana yang hak dan yang mana yang batil. Perbuatan serta tindakan mula berada dalam lingkungan yang makruh dan haram. Cara berpakaian, cara bercakap, amalan harian, matlamat semuanya mengikut hukum hakam dunia.

Lihat betapa teruknya gejala sosial hinggakan seks bebas, seks sejenis, buang anak, sumbang muhrim, arak, dadah, zina, maksiat dan sebagainya berleluasa di negara ini. Itu bagi kes yang berat.

Lihatlah berapa ramai umat Islam di negara ini yang menghabiskan masa hidupnya bermain dengan permainan komputer berjam–jam lamanya termasuklah dalam facebook? Bukankah sesuatu yang mengkhayalkan itu adalah haram?

Kenapa perlu ada rumah besar dengan bilik-bilik yang tak digunakan atau lebih dari satu rumah / kereta sedangkan Islam menyarankan kita hanya ambil apa yang perlu. Kenapa kita begitu bangga menunjukkan gambar-gambar kita melancong keluar negeri sedangkan duit itu boleh kita gunakan untuk menunaikan haji atau umrah ke Mekah? Kenapa kita begitu sibuk mengambil gambar dengan kamera yang begitu mahal sedangkan bukankah gambar-gambar itu makruh sifatnya? Kenapa kita begitu sibuk dengan ikan dan binatang peliharaan yang bernilai puluhan ribu ringgit dan diletakkan dalam kurungan sedangkan makhluk itu sepatutnya dibiarkan bebas? Bagaimana perasaan anda sekiranya anda pula dimasukkan ke dalam penjara dan diberikan pasangan hodoh yang anda tidak suka?

Sebenarnya dalam hal ini Islam kelihatan kalah. Ini kerana sebenarnya sukar untuk menggunakan multi media untuk menyampaikan ilmu. Ini kerana kekotoran hati telah menyebabkan ilmu ini ditolak ke tepi. Tetapi ini bukanlah satu alasan kerana sekiranya mereka menggunakan multimedia untuk menyampaikan pengisian sekular yang salah maka kita juga perlu menggunakan jalan yang sama untuk menyampaikan dakwah membawa kebenaran. Kita kena gunakan internet, televisyen, radio, media cetak dan sebagainya sepertimana yang mereka gunakan demi untuk menyampaikan kebenaran ini.
Ayat pertama yang Allah turunkan pada Nabi SAW ialah dengan saranan untuk kita membaca malangnya orang kita malas membaca. Kita lebih suka menonton dan mendengar tetapi begitu malas untuk membaca. Bagi yang suka membacapun bahan yang dibaca pun sifatnya duniawi, perihal artis dan lain-lain buat makanan nafsu. Soalannya adakah apa yang anda baca itu bersifat ilmu yang menjangkaui zaman? Bersifat ilmu yang benar dari Allah Taala?
Islam kelihatan kalah kerana mereka menggunakan pelbagai aspek maksiat, lucu, lucah, kontroversi, manipulasi, duniawi, materialistik dan segala apa yang ada yang mana tanpa disedari memasuki minda separa sedar diri kita lantas mula menguasai diri kita untuk meniru dan mengikut cara mereka. Islam pua menyampaikan hanya melalui satu aspek iaitu ilmu kebenaran dan tak lebih dari itu. Apa yang menyedihkan ialah ramai pakar-pakar motivasi juga mengambil dan menggunakan pendekatan sekular yang diyakinnya benar lantas menyampaikannya kepada umum secara tak langsung mengotor dan menggelapkan hati mereka yang mendengarnya. Umpama ketam yang mengajar anaknya berjalan serong.

Apapun manusia sebenarnya dikurniakan akal yang sepatutnya digunakan untuk berfikir dan menilai. Manusia juga dikurniakan hati yang bersih yang perlu dipelihara kebersihannya. Oleh itu berfikir dan berzikirlah. Sentiasa mengingati Allah kerana amalan ini merupakan pertahanan dan benteng bagi hati. Ia akan dapat menghalang penerapan nilai sekular dari menguasai hati samaada dalam sedar mahupun tidak.

Akhir sekali sampaikanlah walau sepotong ayat!

Apapun saya juga tidak sempurna dan masih banyak yang perlu dibaiki. Jangan lupa saya cuma seorang posmen yang menyampaikan surat.

Sekian dahulu.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.