18 Disember 2009

Catatan Faizal Yusup


Salam Maal Hijrah 1431

Salam sejahtera buat semua..

Di kesempatan kali ini saya ini mengucapkan salam Maal Hijrah 1431. Semoga tahun yang akan datang ini membawa kita ke arah kebaikan. Melakukan penghijrahan dari yang tak baik kepada yang baik, dari yang baik kepada yang lebih baik. Semoga Allah Taala menetapkan / mengekalkan keimanan yang sedia ada dan semoga Allah Taala meningkatkan keimanan kita ke tahap yang lebih tinggi. InsyaAllah.

Kalau dahulu kita sering melakukan kerja-kerja dalam rangkuman makruh dan haram semoga tahun yang mendatang ini kita lebih banyak menjalankan kerja-kerja dalam rangkuman wajib dan sunat,

Kalau dahulu kita solat sekali sehari marilah kita lengkapkannya hingga cukup waktunya, kalau dahulu kita solat cukup waktunya tetapi seriing dilengahkan maka marilah kita berazam untuk menunaikan di awal waktu, kalau dahulu kita solat awal waktu sendirian maka marilah kita berazam untuk melakukannya awal waktu berjemaah di masjid.

Kalau dahulu kita melihat maksiat dan hanya berdiam diri, semoga tahun yang akan datang ini kita menegurnya. Kalau dahulu kita melihat kejahilan dan mengetawakannya, apa kata tahun baru ini kita membantu menyampaikan pengisian.

Kalau dahulu kita tak menghargai masa dan membiarkan ia berlalu dengan sia-sia, semoga kita dapat membaikinya dengan menyedari setiap objektif pelaburan masa kita. Ini kerana kita singgah dalam lingkungan 25,000 hari di muka bumi ini sebelum mati, dan kalau dibandingkan dengan infiniti masa selama-lamanya di akhirat maka kita singgah dalam masa yang sangat-sangat singkat tak sampai sedetikpun.

Dalam masa sedetik kita di sini kita punya dua pilihan. Kalau kita buat kerosakan maka kita akan diseksa dalam neraka selama-lamanya. Pilihan kedua ialah kalau kita lakukan kebaikan maka kita akan diberi ganjaran buat selama-lamanya. Ia bukanlah pilihan yang sukar untuk dicari jawapannya.

Oleh itu dalam masa sedetik kita dilahirkan dan singgah di mukabumi ini bukankah lebih baik kita menjalankannya dengan melakukan kebaikan saban hari 25,000 hari kita singgah di sini sebelum meneruskan perjalanan ke alam kubur dan seterusnya.

TIP – Untuk melakukan perubahan dan menjadikannya prinsip diri bacalah artikel RAHSIA PEMBENTUKAN DIRI yang ada dalam segmen ARTIKEL MESTI BACA dalam blog ini.

CERITA TEPI

Maal Hijrah 1431 dalam penghujung tahun 2009 ini ditandakan dalam sejarah dengan kemenangan 1-0 pasukan bolasepak Malaysia ke atas Vietnam dalam perlawanan Final Sukan SEA di Laos. Kejayaan mendapat Pingat Emas selepas memenanginya 20 tahun dahulu di tahun 1989.

Apapun syabas buat pasukan Malaysia!

Mungkin selama ini ramai yang kurang yakin dengan kamampuan pasukan Malaysia dan selalu mendoakan kekalahannya dengan secara tidak sedar contohnya memberi sokongan kepada Manchester United, Liverpool atau Chelsea setiap kali mereka bertandang kemari mahupun ketidak puasan hati terhadap FAM, para pegawai, para pemain, jurulatih dan sebagainya namun demikian kali ini ia sedikit berbeza. Ini kerana kajiselidik melalui SMS menunjukkan 90% rakyat Malaysia yakin yang pasukan kali ini boleh memenangi perlawanan akhir itu. Mungkin doa kebanyakan rakyat Malaysia kali ini dimakbulkan Allah.

Apapun kepada peminat dan rakyat Malaysia khususnya sentiasalah menyokong pasukan Malaysia walaupun Manchester United yang datang bertandang. Untuk pengetahuan anda inilah semangat yang ditunjukkan oleh peminat pasukan Malaysia di era 80 an hingga mereka berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Moscow pada tahun 1980. Pasukan Malaysia pada ketika itu boleh mengalahkan pasukan Korea Selatan, Arab Saudi dan semua pasukan di Asia Tenggara dengan jaringan yang banyak. Peminat pula akan menyokong pasukan Malaysia walaupun pasukan England yang datang bertamu. Mokhtar Dahari, Ghani Minhad, Santokh Singh, Soh Chin Aun merupakan antara hero-hero pasukan Malaysia pada ketika itu. Mungkin hero-hero baru akan muncul dan sejarah akan berulang kembali satu masa nanti. Ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Lagipun kalau kita sendiri tak menyokong pasukan negara kita sendiri. Siapa lagi?

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua InsyaAllah.

Terima kasih…


' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.