16 Disember 2009

Perihal Rupaparas

Semua perkara dan kelebihan yang dikurniakan ALLAH S.W.T dalam diri seharusnya digunakan bagi tujuan membawa manfaat kepada diri khususnya dan kepada ramai umumnya. Ia satu amanah dan kita dipertanggungjawabkan ke atasnya. Pisau contohnya boleh digunakan untuk manfaat untuk memotong dan menghiris namun demikian ia juga boleh digunakan bagi tujuan yang membawa kemudaratan sebagai senjata untuk mencederakan orang lain dan sebagainya.


Begitu jugalah dengan kelebihan ilmu, rupaparas, kuasa dan sebagainya. Seringkali dalam kehidupan kita bertemu dengan orang yang bermegah dengan rupa paras kurniaan ALLAH S.W.T kepada mereka. Mereka ini sebenarnya beruntung kerana dikurniakan dengan rupaparas yang elok dan sepatutnya mereka bersyukur dan menggunakannya dengan baik. Malangnya dalam banyak kes mereka menggunakannya sebagai aset untuk bermegah, melakukan kerosakan, maksiat dan sebagainya.

Persoalannya mudah, rupa paras bukanlah sesuatu yang boleh kita pilih. Kalau ditanya orang yang hodoh, hitam, pendek, cacat dan sebagainya, sekiranya boleh diberi pilihan maka saya yakin kita akan memilih untuk mendapatkan rupaparas yang elok. Kita mahu kelihatan seperti Erra Fazira, Tom Cruise dan sebagainya.

Sedarlah hitam, putih, kuning, coklat, cantik, hodoh dan kacak bukanlah pilihan kita. Kita dilahirkan demikian. Maka sebaiknya kita bersyukur walau apa juga rupabentuk yang telah dikurniakan kepada kita.

Kemudian Allah jadikan lelaki mempunyai program di dalam hatinya untuk menyukai perempuan dan bila dia melihat perempuan yang cantik maka hatinya tertawan. Dari mata turun ke hati. Semacam ada kejutan elektrik yang menusuk ke dalam hati. Kalau lelaki itu menyukai lelaki lain atau mana-mana makhluk yang lain maka ia sebenarnya terkeluar dari fitrah.

Allah Taala menjadikan makhluk berpasang-pasangan dan Dia menjadikan setiap makhluk sesuai pasangannya. Manusia lelaki dengan manusia perempuan, gajah betina dengan gajah jantan, kambing betina dengan kambing jantan, ayam jantan dengan ayam betina dan sebagainya. Sesuai. Lebih kurang bentuknya, saiznya dan lain-lain spesifikasi lagi. Bayangkanlah andai manusia lelaki berminat pada gajah betina bukankah masalah jadinya nanti. Ramai pulak para lelaki yang melepak kat zoo pulak nanti. Bahagian Gajah. Tak ke naya kena pijak dengan gajah betina tu?

Kucing jantan minat pada Ikan kaloi betina, Harimau jantan cinta pada ayam betina macamana pulak tu? Bukankah haru jadinya? Namun demikian ia taklah menghairankan bagi manusia kerana ada manusia baik lelaki mahupun perempuan yang melakukan hubungan seks sejenis mahupun dengan binatang seperti kuda, anjing, kambing, lembu dan sebagainya. Manusia yang dikurniakan akal berbuat demikian, binatang yang tiada akal tak pula berbuat demikian. Pelik bukan? Memandangkan Allah Taala telah menyediakan makhluk yang sesuai untuk dijadikan pasangan.

Sebenarnya mereka yang melanggar fitrah dengan menjadi gay dan lesbian ini, Nabi SAW tak mengaku umat. Maksudnya kita tak dapat keistimewaan sebagai umat Muhammad SAW antaranya umat pertama masuk syurga, syafaat yang diberikan Rasullullah SAW serta kelebihan-kelebihan lain. Mungkin kita akan tergolong dalam umat Nabi Luth AS.

Apapun kembali kepada topik yang ingin diperkatakan apakah yang dimahukan oleh seorang lelaki pada diri seorang perempuan? Saya tahu anda pun tahu. Lebih-lebih lagi kalau dah cinta segala batas-batas hukum hakam juga sanggup dilanggari. Sanggup mencuri kerana kekasih, sanggup berenang lautan api, sanggup terlanjur, sanggup tinggalkan keluarga, sanggup itu dan ini. Kisah khalwat, kisah rogol, kisah sumbang muhrim dan sebagainya biasa terpapar di media massa.

Memang perempuan itu dijadikan Allah Taala cantik di mata lelaki tetapi ingatlah perempuan dijadikan dari tulang rusuk lelaki yang perlu dilindungi. Kedudukannya di bawah lelaki jadi kenapa perlu mengangkat perempuan di atas kepala memuja muji? Adakalanya bercinta melebihi kecintaan kepada Allah Taala, bukankah boleh syirik jadinya? Berkasih sayang sudahlah.

Ratu cantik dunia sekalipun kalau dicabut kulitnya akan menjadi tengkorak. Pasti kita akan lari melihatnya. Semua makhluk ini sama sahaja. Ia digunakan Allah sebagai perantara dugaan. Maka mereka yang lemah dan gagal mengalahkan nafsunya pasti akan kecundang. Seterusnya ingatlah ratu cantik juga akan menjadi ratu kerepot 30 tahun yang akan datang.

Oleh itu bagi mereka yang cantik dan kacak janganlah riak, janganlah menyalahgunakan amanah Allah ini, gunakanlah akal untuk mengalahkan nafsu. Janganlah terpedaya dengan hasutan iblis serta kuncu-kuncunya hingga menyebabkan anda terlanjur, melanggar hukum hakam Allah Taala dan sebagainya.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.