17 Disember 2009
Topi Amanah
Dalam kehidupan kita sebenarnya memakai pelbagai topi amanah dan tanggungjawab yang perlu kita pikul pada setiap masa. Berikut ini saya sediakan beberapa contoh ;
- Topi hamba yang patuh pada perintah Allah dan meninggalkan laranganNya.
- Topi anak yang taat dan berbakti pada kedua ibubapanya.
- Topi suami yang memelihara kehormatan isterinya.
- Topi abang yang bertanggungjawab terhadap adik-adiknya.
- Topi bapa yang menjaga amanah, mendidik, memelihara dan membiaya anak-anaknya.
- Topi seorang kawan yang menemani sahabat handainya yang lain.
- Topi pekerja yang menjalankan tugas yang diberikan oleh majikannya.
- Topi jiran yang memikul tanggungjawab sebagai jiran.
- Topi pemimpin yang adil, saksama dan berwibawa kepada pengikutnya
- Topi penasihat yang berilmu dan beramal terhadap apa yang dinasihatinya.
- Topi mentor kepada yang lebih muda.
- Lain lain topi.
Kita mestilah selalu menjalankan amanah dan tanggungjawab ini dengan baik dan tabah pada setiap ketika sepanjang kehidupan kita. Topi ini bertukar ganti berdasarkan keadaan setiap masa. Semasa kita kecil kita hanya memakai topi sebagai seorang anak dan pelajar dan tidak yang lainnya. Topi ini bertambah dan terus bertambah bila kita semakin membesar bersesuaian dengan tanggungjawab dan komitmen yang mendatang.
Sebagai seorang lelaki yang dewasa kita memakai topi ketua keluarga semasa kita di rumah, kita memakai topi pekerja bila kita di pejabat, memakai topi jiran bila berhubungan dengan jiran yang lain, memakai topi anak bila berhadapan dengan ibubapa, memakai topi hamba bila menghadap Allah Taala dan sebagainya.
Masalah hanya akan timbul bila kita memakai topi yang salah di tempat yang tidak sepatutnya atau menyalahgunakan tugas dan tanggungjawab yang sepatutnya kita pikul.
Sebagai contoh si isteri yang berjawatan lebih tinggi dari suami memakai topi boss di pejabat tetapi tidak menanggalkan topi ini setibanya di rumah. Dia yang sepatutnya menanggalkan topi boss ini dan menggantikannya dengan topi isteri terus menjadi boss kepada suami serta anak-anaknya maka saya percaya masalah jualah yang akan timbul.
Ada pula suami yang tidak memakai topi orang yang telah berkahwin dan menukarkannya dengan topi seorang bujang bila mahu berkenalan dengan seorang gadis. Mula-mula berkawan kemudian menjadi semakin rapat hinggalah menjadi kekasih. Sekali lagi, masalah yang bakal mendatang.
Kita memakai topi suami tetapi tidak bekerja untuk membiayai kewangan keluarga. Kita memakai topi jiran tapi tak pedulikan jiran sebelah rumah, kita memakai topi abang tapi tak pedulikan hal ehwal adik beradik, kita memakai topi anak tapi derhaka pada kedua orang tua dan sebagainya. Dalam kes yang lebih kritikal ada yang sepatutnya memakai topi bapa menukarkannya dengan topi binatang yang “makan” anaknya sendiri.
Jadi pakailah topi yang sepatutnya pada setiap ketika dan setiap keadaan kerana masalah mungkin akan timbul sekiranya kita tidak berbuat demikian. Janganlah pula kita samakan antara tugas dan tanggungjawab ini dengan bebanan. Dewasa ini ramai yang berkata suami isteri perlu bekerja bagi tujuan meringankan bebanan kewangan di rumah padahal sebenarnya ia 100% merupakan tugas dan tanggungjawab si suami.
Fikir-fikirkanlah..
Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.
Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.
Ikhlas dari,
Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial
Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!
PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua InsyaAllah.
Terima kasih…
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.