04 Disember 2009

Kisah Saudagar Kopiah

Pada satu masa dahulu ada seorang saudagar yang menjual kopiah dari sebuah kampung ke kampung yang lain. Beliau menggendung kopiah-kopiahnya yang diikat di dalam sebuntil kain di atas bahu dan dibawanya ke sana dan ke sini untuk dijual. Petang itu dia kepenatan lalu berehat di sepohon pokok di pinggir hutan. Dia kemudiannya terlena.

Tak berapa lama kemudian datang sekumpulan beruk. Beruk-beruk tersebut telah turun dan mengambil kopiah-kopiah saudagar tadi dan memakainya sepertimana saudagar yang sedang nyenyak tidur itu.

Bila terjaga dia mendapati buntilnya telah berselerak dan tiada satupun kopiahnya yang tinggal kecuali yang berada di atas kepalanya. Bila di memandang ke atas pokok lalu dilihatnya semua beruk-beruk itu memakai kopiah di kepala mereka.

Si saudagar membuka kopiahnya lalu menggaru kepala memikirkan apakah jalan yang terbaik untuk mendapatkan kopiah-kopiahnya yang telah dicuri oleh sang beruk. Tanpa dia sedari semua beruk-beruk itu meniru perbuatannya dengan membuka kopiah sambil menggaru kepala. Maka keadaan ini mencetus ilham kepada si saudagar. Si Saudagar melambung-lambung kopiahnya dan disambutnya kembali dan beruk pun meniru. Malangnya bila sang beruk melambungkan kopiah mereka tak dapat menyambutnya lalu kopiah-kopiah itu jatuh ke bumi.

Di penghujung cerita, si saudagar mendapat semua kopiahnya kembali kerana kebodohan si beruk itu tadi.
 
Kesimpulan dari kisah ini ialah kadangkala kita seumpama beruk dalam kisah tadi kerana begitu mudah meniru dan mengikut orang lain. Persoalannya adakah kita tahu apa yang ditiru itu baik atau tidak, tidak pula kita fikirkan.

Contohnya pada satu ketika dahulu di zaman kenaikan harga getah maka ramailah orang kampung yang mendapat durian runtuh jadi mereka membeli peti ais kerana melihatkan orang lain membelinya padahal elektrik belum lagi disalurkan ke rumah mereka. Akhirnya peti ais ini dijadikan almari untuk menyimpan pakaian. Keadaan ini turun temurun dan masih berlaku lagi sehingga ke hari ini. Persaingan untuk memiliki harta benda ini masih merupakan salah satu agenda utama orang kita. 

Kemudian, orang kita melihat orang putih memakai kasut but tinggi lalu kitapun mengikut walhal orang putih memakainya bagi mengelakkan salji dari masuk ke dalam kasutnya. Orang putih memakai topi baseball kita pun memakai topi baseball walhal mereka memakainya untuk memanaskan badan yang mana menurut kajian ternyata kehilangan haba yang paling tinggi adalah di bahagian kepala. Kita pula memakai topi hanya kerana kita meniru orang putih memakai topi.

Baru-baru ini orang putih memperkenalkan gelang berwarna bagi tujuan untuk menyumbang kepada badan kebajikan yang tertentu dan pada masa yang sama sebagai simbol kedudukan mereka samaada mereka sudah berpunya, masih bujang, baru berpisah, lesbian atau gay berdasarkan pilihan warna gelang tersebut tetapi kita memakainya tanpa mengetahui sebab musabab yang tentu.

Banyak lagi isu lain yang boleh dihuraikan berkenaan dengan perkara ini tetapi saya percaya yang sidang pembaca pun telah sedia maklum. Walau apapun perkara yang kita ikut atau tiru tadi bukankah keadaan ini sama seperti beruk dalam cerita tadi?

Kalau nak menirupun pastikanlah kita punya ilmu meniru. Maksudnya begini, kalau Jabir Hayyan seorang ilmuan Islam yang juga Bapa Kimia mencipta kaedah penyulingan asid tetapi orang Barat telah meniru dan memperkembangkannya sambil dengan megah mengatakan yang merekalah pencipta asid tersebut.

Satu contoh lain, satu ketika dahulu orang Barat mencipta radio dan apa yang dilakukan oleh orang Jepun ialah mereka meniru dan pada masa yang sama menaiktarafkan penciptaan tersebut hinggalah terciptanya Walkman yang jauh lebih kecil malah lebih murah lagi. Dewasa ini apa juga penciptaan Barat akan ditiru oleh orang Jepun dengan penciptaan yang jauh lebih canggih dan dengan kos yang jauh lebih rendah.

Orang kita pula meniru sekadar meniru.

Dalam aspek yang lain pula, masyarakat melayu telah lama ketinggalan dalam bidang ekonomi kerana aspek ini telah dipelopori oleh masyarakat China semenjak sekian lama dan ia jelas kelihatan semenjak pemergian British dari Tanah Melayu.

Mereka telahpun berada di hadapan semenjak sekian lama dari segi tamadun dan juga dari aspek yang lainnya. Tamadun bangsa Cina telahpun bertapak semenjak lebih 8000 tahun dahulu dan mereka juga pernah mengalami zaman kejatuhan dan kegemilangan. Pernah satu ketika dahulu kira-kira 50 tahun dahulu dalam fasa tamadun mereka iaitu di zaman kejatuhan, kebanyakan orang mereka ketagihkan candu. Pada masa itu kaum Cina kelihatan menghisap candu di mana-mana sahaja. Mungkin kalau boleh diberi nama maka kita namakan zaman ini zaman candu. Zaman candu ini bermaksud zaman khayal.

Setelah sedar dan bangkit dari zaman khayal ini bila mereka merasakan yang apa yang mereka lakukan ini hanya membuang masa, membuang duit, tidak akan membawa faedah kepada diri mereka maka mereka bangkit dan seterusnya meningkatkan diri dengan ilmu pengetahuan, berusaha dan terus berusaha hinggalah ekonomi mereka menjadi kukuh sepertimana yang kita lihat sekarang ini.

Kaum China yang populasinya mencecah 1.8 billion orang juga berada di mana-mana sahaja di dunia dalam lain perkataan mereka telahpun mempunyai sistem rangkaian yang luas.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.