04 Disember 2009

Identiti Blog

Kalau difikirkan kita meminta itu ini memahami itu ini tetapi cuba bayangkan sekiranya kita dilahirkan sebagai orang asli di hutan Amazon maka apakah yang kita mintakan? Sebagai orang asli takkanlah kita meminta i-pod mahupun hand bag Ferragamo. Ini kerana kita langsung tak pernah mengenali atau mendengar mengenainya.

Prior knowledge atau pengetahuan yang terdahulu menjadi asas standard yang kita pegang. Sebagai contoh, kalau dahulu kita hanya tahu jam berjenama mahal hanyalah Rolex namun dewasa ini kita diperkenalkan pula dengan Tag Haeur, Patek Phillippe, Briguet, Panerai dan sebagainya yang mana berkemungkinan tidak dikenali ramai. Bukankah kita sama seperti orang asli itu tadi. Ini kerana semua ini bergantung kepada pengetahuan dan pendedahan kita sendiri.

Sebagai seorang melayu yang dilahirkan dalam sekitaran yang telah bertamadun maka kita bakal mendapat pendidikan dan pendedahan harian yang menyebabkan kita memahami banyak perkara. Lagi kita terbuka maka lagilah kita faham akan sesuatu perkara yang diperkatakan kepada kita. Penerapan semua ini bakal membentuk identiti diri kita sendiri dalam sedar ataupun tidak.

Namun ada yang mencari dan meningkatkan ilmu pengetahuan yang mana kemudiannya digunakan untuk menindas mahupun untuk menunjuk-nunjuk yang dia lebih pandai. Maka ini adalah satu prinsip yang salah, ia bukanlah mengenai kalah atau menang dalam perbahasan tetapi ia adalah mengenai dakwah serta penyampaian.

Dalam berjuta blog yang ada kita akan nampak perbezaan penerapan setiap seorang dari kita. Cuba lihat blog di sekeliling anda yang terdiri daripada mereka-mereka yang sebangsa dengan kita. Samaada anda sedar atau tidak, cara blog itu direkabentuk menunjukkan intipati penerapan nilai diri seseorang itu. Dalam lain perkataan inilah identiti dirinya. Ini kerana penyampaian yang keluar dari jari jemari tersebut datang dari dalam hatinya. Ada kulit dan ada isi. Serba unik dan tiada yang sama. Bagi yang faham dia akan sedar setiap apa yang dilakukan dan dia akan tahu apakah objektif yang ingin dicapainya. Mereka yang faham juga berkemungkinan pandai bertopeng untuk tidak dikenali.

Disini kita dapat lihat, ada yang menekankan kepada penyampaian dalam bentuk khusus prinsip keislaman siap dengan penyampaian dakwah, penggunaan bahasa Arab, ayat-ayat al Quran serta hadisnya, pada masa yang sama ada pula yang menyampaikan yang khusus kebaratan dengan penyampaian dalam bahasa Inggeris, input lagu dan artis barat, video barat beserta gambar-gambar yang begitu juga sifatnya. Ada yang penerapannya bersifat sastera dan penuh dengan puisi yang penuh dengan makna tersirat, tak kurang juga yang berdarah seni maka ia penuh dengan gambar-gambar seninya, ada juga yang merekabentuk blog mereka  khusus untuk tujuan perniagaan, minat kepada sesuatu perkara,  sebagai diari untuk meluahkan perasaan di hati dan sebagainya, tak kurang juga yang menumpukan kepada isu sensasi artis mahupun penuh kontroversi bersifat politik.

Disebalik semua ini, kita juga dapat lihat mereka yang mempunyai penerapan yang bersifat rojak. Ini boleh dilihat dengan rekabentuk blognya yang mempunyai prinsip Islam, sastera melayu, perniagaan dan pada masa yang sama input Barat.

Inilah yang saya maksudkan yang setiap dari kita mempunyai penerapan nilai yang berbeza untuk matlamat dan tujuan yang tertentu.

Mereka yang mempunyai penerapan nilai Islam yang dapat merasakan nikmat keislaman dalam dirinya pasti akan mencari jalan untuk mengeluarkannya dan cuba disalinkan perasaan itu kepada orang sekelilingnya.

Penyampaian dan dakwah itu boleh datang dari pelbagai bentuk dan rupa berdasarkan kefahaman dan penerapan diri seseorang itu. Setiap orang itu punya circlenya yang tersendiri untuk disampaikan. Sekali lagi ditegaskan, pengetahuan dan ilmu yang disusun sepanjang hidup oleh Allah itu untuk kita cakupi, ada tujuan yang tertentu itu untuk disampaikan kepada golongan yang tertentu yang dijodohkan dengan kita.

Peningkatan ilmu pengetahuan ini adalah sesuatu yang berterusan sepanjang hidup dan kita perlulah meningkatnya dari masa ke semasa untuk keperluan diri kita sendiri dan pada masa yang sama untuk disampaikan kepada mereka yang berada di sekeliling kita. Sekali lagi pengisian ilmu dan pengetahuan ini bukanlah berrtujuan untuk menunjukkan yang kita lebih pandai atau lebih tahu. Ini kerana kalau kita pandai pasti ada yang lebih pandai, kalau kita kuat pasti ada yang lebih kuat dari kita. Kalau kita tahu sekalipun masih banyak yang kita tak tahu. Itu yang pasti.

Bagi yang penerapan nilainya lebih kepada bahasa Arab maka banyaklah istilah Arab yang diketahuinya. Mereka ini dijadikan Allah dalam persekitaran dan penerapan yang sedemikian rupa untuk menyampaikan kepada golongan sekelilingnya. Ada pula mereka yeng diberikan pengetahuan yang tinggi dalam bidang bahasa melayu  yang penyampaian juga bermaksud yang sama iaitu untuk berdakwah dan membawa kebaikan. Maka tidaklah berbeza penyampaian tersebut kerana ia bertujuan untuk perkara yang sama. Kalau penyampaian “asalam” atau Islam dalam bahasa Arab bermaksud berserah bulat-bulat pada Allah maka penyampaian istilah berserah bulat-bulat kepada Allah dalam Bahasa Melayu tak akan lari ertinya dari menyampaikannya dalam istilah Arab melainkan tak ada istilah yang sesuai dalam bahasa Melayu untuk menyampaikan maksud.

Penyampaian dalam Bahasa Melayu itu sebenarnya lebih mudah difahami kerana pengetahuan bahasa yang sedia ada dalam diri seorang melayu itu sedangkan penyampaian dalam istilah Arab akan mengelirukannya. Namun begitu, dalam apa juga bahasa yang kita sampaikan itu apa yang penting ialah maksud yang hendak disampaikan itu sampai kepada pihak yang menerima dan dengan harapan ia membawa kesedaran dalam diri mereka seterusnya membawa kebajikan kepada penerima input itu tadi.

Ada juga diantara kita yang penerapan nilainya dalam Bahasa Inggeris juga adakalanya digunakan untuk tujuan menindas dan berlagak menunjukkan yang kita lebih tahu, lebih Barat dan lebih pakar dalam bahasa Inggeris kalau dibandingkan dengan orang sekeliling kita. Kita berpakaian terdedah di sana sini dan berbudaya Barat walhal kita tak pernahpun ke mana-mana negara Barat namun mempunyai sifat yang lebih Barat dari orang Barat sendiri. Apakah tujuannya?

Apa yang pelik ialah kita bercirikan Barat tetapi dalam hal nikah kahwin kita menggunakan prinsip Islam, kita kononnya Barat dengan minum arak, berdisko dan sebagainya tetapi dalam hal makanan kita memilih yang halal dan tidak pula makan babi. Dalam hal ini Islam ditempel pada kulit kita. Kita Barat tapi takutkan hantu jerangkung, pocong dan pelbagai hantu melayu yang lainnya. Persoalannya kenapa kita tak takutkan Dracula dan Vampire?

Kemudian blog-blog ini pula menarik minat orang ramai dengan memainkan emosi dengan cara menyampaikan yang lucah, lucu, sensasi, simpati, kontroversi, skandal, hiburan dan yang baik pula menggunakan kaedah perniagaan, ilmu pengetahuan, ugama dan yang lainnya tetapi yang bersifat seronok lebih disukai dan diiikuti kerana itulah lumrah manusia.  

Apapun, sebagai kesimpulan kepada topik ini saya ingin memberikan anda satu soalan untuk difikirkan bila melayari blog-blog ini,

Adakah isi blog yang anda layari itu relevan lagi di tahun 3000 nanti?

-      Adakah isu Abby Abadi bercerai dengan Norman Hakim masih relevan? 
-      Adakah pengenalan MPV Perodua Alza masih diingati?
-      Adakah kisah Nik Aziz akan diingati?
-      Adakah kisah anda melancong di Paris akan dikenang?

Pastinya tidak. Ia akan hanya menjadi fakta sejarah yang tak akan diingati kerana ia hanyalah pengetahuan semasa yang akan lupus. Dari kajian yang saya lakukan kebanyakan blog adalah blog isu semasa yang jelas menunjukkan cara pemikiran semasa pemiliknya.

Saranan saya tulislah ilmu. Ilmu yang boleh digunakan menjangkaui zaman. Inilah kelebihan ilmu.

Sebagai penutup kepada topik kali ini, sebuah puisi ditujukan untuk semua...

Cintakan bunga akan layu
Cintakan muda akan tua
Cintakan cantik akan hodoh
Cintakan harta akan binasa...

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua InsyaAllah.

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.