02 Disember 2009

Kisah Pendekar 4 – Bahagian 5

 

KISAH TERJUNAN “BUNGEE”

Mari kita sambung kisah Pendekar...

Seminggu berlalu semenjak mereka ke kedai membuat pedang dan dalam seminggu itu jugalah mereka disuruh menebas dan membersihkan sekitar kawasan perguruan tersebut.

Petang itu Pendekar Mastur beserta beberapa orang anak buahnya datang dan mengajak mereka ke satu kawasan yang bertebing. Dibawahnya merupakan gaung yang dalam. Di tepi gaung itu terdapat sepohon pokok sena yang besar. Pokok itu pula berselirat dengan akar-akar kayu yang berjuntaian menuruni gaung tersebut.

Pendekar Mastur menyuruh anak buahnya menarik salah satu daripada akar kayu itu  naik. Kemudian menyuruh mereka mengikat kaki Hang Dua dengannya. Setelah memastikan ikatan pada kaki Hang Dua cukup utuh dia mengarahkan Hang Dua terjun dari tebing tersebut ke bawah. Zaman moden ini ia seakan permainan yang dinamakan “Bungee Jumping”.

Hang Dua gugup takut untuk terjun tetapi akhirnya dia ditolak oleh Pendekar Mastur. Sepanjang kejatuhan itu dia menjerit panjang. Bergema seluruh gaung itu dengan laungan yang bertalu. Berterbangan keluar sekumpulan burung terkejut mendengarnya. Sejurus berhenti anak-anak buah Pendekar Mastur menariknya kembali naik ke atas.

Kini tiba giliran Hang Tiga pula untuk terjun. Dia juga gemuruh tetapi seleps melihat Hang Dua berjaya melepasinya dan setelah diberi keyakinan oleh Hang Dua serta didorong pula oleh mereka yang lain dia pun terjun. Dia juga menjerit di sepanjang penerjunan itu.

Giliran Hang Empat pula jauh berbeza. Setelah siap kakinya diikat dia terus terjun dengan penuh keyakinan sambil mendepangkan tangannya. Jeritannya juga berbeza, ia bukan jeritan ketakutan tetapi jeritan keseronokan. 

“ Saya yakin mesti ada iktibar dari kisah ini kan Tuk Pendekar?” Tanya Hang Dua ketika mereka duduk berehat di perdu pohon pokok yang besar itu.

“ Saya tahu... Ia untuk menguji keyakinan kita. Samaada kita yakin yang kita akan selamat atau tidak. Untuk berjaya kita kena ada keyakinan! Tak gitu Tuk? ” Ujar Hang Tiga seraya menggenggam  buku limanya tangan kanannya. 

“ Tak ada. Latihan ini hanya untuk kamu berseronok. Saya nampak kamu semakin tertekan semenjak berada di sini, jadi saya mengajak kamu berseronok dan bergembira sambil merehatkan tubuh dan minda ”. Jawab Pendekar Mastur sambil tersenyum penuh makna.

Mereka tercengang terasa seperti Tuk Pendekar Mastur sengaja mempersendakan mereka.

Petang itu mereka bertiga menghabiskan masa berseronok, bersuka ria terjun dari tebing gaung ke dalam gaung. Berbagai aksi mereka lakukan, lompatan bertiga, berputar, berpusing, balik kuang dan sebagainya.

Kisah akan bersambung lagi..

KESIMPULAN

Walaupun kisah ini begitu mudah tetapi pelbagai kesimpulan boleh kita ambil darinya.

Perlukan tolakan

Pertamanya dalam kisah ini Hang Dua adalah seorang yang kurang keyakinan diri, dia memerlukan motivasi untuk bergerak. Memerlukan seseorang atau sesuatu keadaan sebagai pemangkin. Dalam hal ini tolakan Tuk Pendekar menjadi pemangkin. Ada orang begitu proaktif dan tinggi inisiatifnya seperti Hang Empat, orang sebegini merupakan seorang yang boleh berdikari atas kakinya sendiri tanpa perlu motivasi.

Namun demikian bagi kebanyakan yang lain mereka memerlukan bantuan untuk melakukan perubahan. Mereka memerlukan “booster” atau tenaga tambahan. Siapa tahu mungkin buku motivasi ini boleh memangkinkan anda untuk bergerak dan melakukan perubahan tersebut dalam kehidupan.

Mungkin kisah benar seorang Mat Saleh Australia memeluk Islam ini boleh dijadikan tauladan bagi menghuraikan isu ini lebih lanjut. Kita namakan dia John.

John berugama Kristian dan selepas kematian beberapa orang yang disayangi dalam tahun yang sama maka dia terfikir mengenai erti kehidupan. Dia juga mempersoalkan kenapa Tuhan meragut nyawa orang yang dia sayangi. Sejak itu dia berazam untuk mencari ugama yang benar kerana dia mula meragui ugamanya sendiri. Pencariannya bermula dengan mempelajari ugama Kristian cabang Katholik, Buddha, Hindu, Yahudi dan sebagainya. Namun semua ini masih belum dapat memuaskan hatinya.

Pada suatu hari seorang kawan baiknya bertanya kenapa dia tak mencuba mempelajari tentang ugama Islam? Dia menjawab dia tak mahu mengetahui perihal ugama pengganas. Namun demikian selepas kegagalan demi kegagalan dia mengambil keputusan untuk mempelajari Islam.

Maka pada suatu pagi John mengambil keputusan untuk pergi ke masjid berdekatan dengan rumahnya. Setibanya di sana dia terus masuk tanpa membuka kasut. Dalam hatinya berkata, “ Matilah aku hari ini, aku akan dibunuh oleh pengganas Islam ”.

Di hadapannya berdiri seorang lelaki berjanggut, berserban dan berjubah putih memerhatikannya. Lelaki itu menyambutnya dengan senyuman dan berkata, “Good day mate! ” yang lebih kurang membawa maksud salam sejahtera lantas bertanyakan akan tujuan kunjungannya ke masjid itu. Dia terkejut dengan kemesraan yang ditunjukkan oleh pemuda tersebut lantas mengatakan hasratnya untuk mempelajari Islam. Mulai hari itu segalanya bermula. Dia dihadiahkan dengan terjemahan Al Quran dalam Bahasa Inggeris dan semenjak itu dia akan datang ke masjid tersebut siap dengan pelbagai persoalan yang sukar bagi mempertikaikan ajaran Islam namun semuanya dijawab dengan jawapan yang memuaskan hatinya.

Akhirnya, dia mengalah dan yakin yang ugama Islam adalah ugama yang benar yang tiada keraguan. Malam itu dia merasakan yang dia sudah sampai ke tebing gunung bersedia untuk melompat ke dalam gaung Islam tetapi dia perlukan sedikit tolakan. Malam itu dia duduk bersendirian dalam bilik yang malap cahayanya dan berkata,

“Tuhanku, buktikanlah kekuasaanmu agar ia menambahkan keyakinanku untuk memeluk ugama Islam”. Katanya di dalam hati sambil berdoa dan menutup matanya menumpukan perhatian.

Dia berharap ribut taufan, kilat yang memancar atau sebarang petunjuk yang lainnya namun tiada apa yang berlaku. Dia mencuba berkali-kali namun masih tiada apa yang berlaku. Keadaan masih senyap dan sunyi. Hampir berputus asa dia mengambil semula naskah Al Qurannya dan menyambung pembacaan dan ayat tersebut ialah ;

“ Sesungguhnya dalam perciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia dan apa yang ALLAH S.W.T turunkan dari langit berupa air lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering)nya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; sungguh terdapat tanda-tanda keEsaan dan kebesaran ALLAH S.W.T bagi kaum yang memikirkannya. ”

Surah Al Baqarah - Ayat 164

Tersentak John membacanya. Petunjuk yang dicarinya memang ada di depan mata selama hari ini lantas terus bangun menuju ke masjid untuk mengucap dua kalimah syahadah malam itu juga.

Demikianlah kisah John. Dalam isu ini banyak kisah mengenai orang-orang yang kembali kepada Islam, orang yang berubah, orang yang berjaya dalam perniagaan dan sebagainya setelah terbitnya kesedaran dalam dirinya. Kadangkala kesedaran ini timbul oleh kerana peristiwa yang begitu kecil, mimpi, pengisian, pembacaan, kejadian yang berlaku di depan mata, kemalangan, perpisahan, kematian dan sebagainya.

Apapun motivasikanlah diri untuk melakukan perubahan dengan harapan kejayaan akan menjadi milik anda kelak.

Mengikut orang lain

Iktibar seterusnya ialah sikap Hang Tiga yang suka mengikut orang lain. Keyakinannya hanya timbul bila melihat Hang Dua berjaya melepasi ujian tersebut dengan selamat. Orang sebegini adalah orang yang berprinsip seperti lalang. Mereka akan mengikut arah angin. Kalau orang ajak lompat ke dalam longkang mereka juga akan melompat sama. Mereka inilah yang mudah terjebak dalam gejala sosial seperti penagihan dadah, maksiat, minum arak dan sebagainya.

Seterusnya mereka ini terdiri dari orang yang hanya berani bila dalam kelompok yang ramai namun tenggelam punca bila bersendirian. Sama seperti Mat Rempit jalanan yang meronda berkumpulan di malam hari seumpama sekumpulan hyena yang mencari mangsanya. Mereka ini sebenarnya terdiri dari orang yang lemah dan kurang keyakinan diri.

Kisah mereka yang suka meniru dan menyaingi jirannya sudah menjadi lumrah dalam masyarakat di Malaysia ini. Budaya barat seperti Punk, Skin Head, Rock, Rap, Trump, Shuffle, Gothic menjadi ikutan para remaja di negara ini tanpa mengetahui asal usulnya buruk baiknya. Kemudian kisah mereka yang bersaing dengan jirannya yang membeli perabot, kereta, peti ais baru juga biasa kedengaran. Mereka sanggup bergolok bergadai, berhutang keliling pinggang hanya kerana ingin bersaing dengan orang lain untuk menunjukkan yang mereka lebih hebat.

        Dalam hal ini jadilah lalang yang berdiri di atas kakinya sendiri. Lalang yang tak perlu mengikut arah angin. Kita tak perlu meniru orang lain, ini kerana kitalah yang menentukan perjalanan hidup sendiri ke kiri mahupun ke kanan. Ikutlah macam Hang Empat yang melompat dengan penuh keyakinan.

Yang sukar menjadi mudah

Iktibar seterusnya yang boleh diambil dari kisah ini ialah semua perkara bermula dengan kesukaran. Tiada apa yang mudah sebenarnya. Sebelum dapat berjalan kita perlu mengengsot, merangkak, bertatih dan barulah kita dapat berjalan dan seterusnya berlari. Setiap satu perkara baru yang kita pelajari sebenarnya sukar pada mulanya. Analoginya umpama melakukan satu permainan “maze” mencari jalan keluar yang mana pada mulanya susah dan kemungkinan untuk sesat begitu tinggi. Namun demikian bila kita telah berjaya melepasinya ia menjadi mudah buat kali yang kedua.  

Kali ketiga, keempat dan seterusnya kita akan dapat menjalankannya dengan sempurna, cekap dan berkesan. Lama kelamaan ia boleh menjadi tabiat kebiasaan. Begitu jugalah dalam apa juga yang kita lakukan ia sukar pada mulanya namun ia menjadi mudah bila dilakukan berkali-kali dan akhir sekali...

Jangan lupa untuk berseronok!

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua InsyaAllah.

Terima kasih…


' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.