30 Disember 2009

Pengkhususan Pengetahuan

Dalam kehidupan, setiap insan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain dengan pengetahuan yang diketahuinya.


Dalam artikel kali ini saya akan cuba menghuraikan pula tentang pengkhususan pengetahuan ataupun pengkhususan input. Dalam kehidupan, setiap insan sebenarnya saling lengkap melengkapi antara satu sama lain dengan pengetahuan yang diketahuinya.


Input yang kita minati pasti akan kita masukkan dalam diri dan bakal menjadi prinsip diri kita.


Ada orang yang cenderung kepada aspek agama maka sepanjang kehidupan pengumpulan input agama ini menyebabkan dia banyak tahu mengenainya. Segelintir menjadi pendakwah dan ustaz yang menyampaikan ilmu-ilmu ini namun ada juga segelintir yang menggunakannya hanya untuk kegunaan sendiri dan tak kurang juga yang menyalahgunakannya untuk mencari keuntungan dalam bentuk kewangan mahupun kepuasan emosi dengan menunjuk-nunjuk serta menjatuhkan orang lain. Mereka yang mempunyai ilmu ugama belum tentu mempunyai kepakaran dalam bidang perniagaan, perakaunan, pelaburan, psikologi, sains sosial, Bahasa Inggeris, pendidikan jasmani, politik dan sebagainya. Dalam lain perkataan mereka mungkin berada di peringkat ijazah dalam aspek agama namun berada dalam peringkat tadika dalam aspek Bahasa Inggeris contohnya. Pun demikian saya tak nafikan  yang pengisian ugama adalah pengisian yang terbaik!



Sepanjang pembelajaran akademik kebanyakan input yang saya terima bersifat pelaburan, oleh itu ia telah menjadi satu kebiasaan bagi saya untuk melihat sesuatu dari sudut ini. Saya akan menganalisis sesuatu isu dan melihat apakah keuntungan masa depan yang boleh dicapai darinya. Ia bukan hanya tertakluk kepada aspek wang ringgit semata malah dalam semua sumber. Keuntungan penggunaan masa, tenaga, mata mulut, tangan, lidah, orang sekeliling, bahan mentah, hasil seni dan sebagainya. Salah satu sudut pelaburan yang sering saya lihat ialah potensi seseorang insan.


Dari sudut ini, bagi saya mereka yang menguasai input yang pelbagai bakal mempunyai potensi diri yang tinggi untuk berjaya.


Sebagai contoh, saya pernah bertemu dengan seorang jurutera elektronik yang mempunyai input asas mengenai perniagaan, kewangan dan pengeluaran. Kepandaian ini membolehkan dia bekerja sambil menjalankan perniagaan tanpa masalah kerana kepandaian beliau dalam bidang-bidang yang dinyatakan tadi. Pada masa yang lain pula, saya bertemu dengan seorang yang pandai dalam bidang pemasaran namun bila dia menjalankan perniagaan, sistem pentadbirannya perniagaannya menjadi kelam kabut. 

Saya juga pernah bertemu dengan ahli politik dan ahli pentadbiran dalam kerajaan yang gagal dalam menjalankan perniagaan kerana mereka tak punya input perniagaan dalam diri. Kekuatan diri mereka sebenarnya adalah dalam aspek pentadbiran.



Semua input yang kita ketahui itu takkan berguna sekiranya kita hanya menggunakannya untuk kegunaan sendiri kerana dengan berbuat demikian ia tak akan berkembang kepada generasi yang akan datang. Oleh itu sebaiknyalah walau dimana kita berada dengan apa juga ilmu yang kita ada, kita sampaikan kepada ramai semoga ia akan terus berkembang ke tahap yang lebih baik. Dalam pada itu kita hendaklah bersikap terbuka untuk menerima ilmu pengatahuan dari orang lain.


Ini kerana hidup ini terlalu pendek untuk kita tahu segalanya. Jalan pintasnya ialah dengan mempelajarinya dari orang lain.



Fikir-fikirkanlah..


Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.


Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.


Ikhlas dari,


Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial


Email : greng70@yahoo.com
Facebook : Faizal Yusup
Blog :http://faizalyusup.blogspot.com
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.