15 Disember 2009

IKTIBAR DARI KURNIAAN PANCAINDERA

Iktibar dari Kurniaan Pancaindera
Kaedah Menangani Masalah
Kaedah Mengingati
Pengisian


Artikel kali ini saya tujukan kepada khas buat para pelajar sekelian dan umum amnya. Ini kerana dalam blog ini segmen pelajar merupakan salah satu segmen yang masih perlu ditambahbaikkan dari banyak sudut. Saya mengambil keputusan untuk menyampaikannya dengan isi dan bahasa yang paling mudah / ringkas dengan harapan ia difahami pelajar dalam mana-mana peringkat sekalipun.


Apapun artikel kali ini adalah berkenaan dengan kurniaan pancaindera dan anggota.


Dari atas ke bawah Allah Taala kurniakan otak, mata, telinga, mulut, tangan dan kaki. Sebenarnya kita boleh mengambil iktibar dari tubuh manusia ini dengan melihatnya begini. Dari sudut menangani masalah selalunya kita lebih suka menggunakan kaedah dari bawah ke atas iaitu tendang terajang dulu, pukul tumbuk, maki hamun kemudian barulah kita dengar lihat dan fikir.


Sepatutnya kita fikir dulu menggunakan otak selidik, mata pandang, telinga dengar, tanya menggunakan mulut barulah kita bertindak dengan tangan dan kaki bila keadaan memerlukan untuk kita berbuat demikian. Ini sudah tentunya satu kaedah yang lebih baik dalam menangani sesuatu masalah.


Kemudian, kita dikurniakan 1 otak yang terbahagi kepada 2 bahagian, 2 mata, 2 telinga, 1 mulut, 2 tangan dan 2 kaki. Mungkin dalam hal ini seharusnya dalam kehidupan kita lebihkan bekerja dengan tulang empat kerat iaitu tangan dan kaki, dua kali lebih untuk melihat, mendengar dan berfikir kalau dibandingkan dengan bercakap. Dalam mencari ilmu mata adalah pintu pertama kemasukan ilmu dan diikuti dengan telinga yang mendengar.


Oleh itu kurangkanlah bercakap dan lebihkanlah menggunakan mata untuk membaca, memerhati dan meneliti, telinga yang terbuka untuk mendengar serta otak yang berfikir menganalisa.


Sesungguhnya diam itu lebih baik dari berkata-kata dan andai anda ingin bercakap, berkatalah yang benar. Ini saranan Nabi SAW.


Seterusnya dalam kurniaan pancaindera dan anggota ini hanya mulut yang sifatnya mengeluarkan output sedangkan yang lainnnya bersifat menerima input / pengisian. Mulut bertindak sebagai jurucakap bagi anggota dan pancaindera yang lain. Kalau mana-mana bahagian tubuh sakit dialah jurucakapnya. Masalahnya kita lebih suka menyalahgunakannya. Oleh kerana kita dikurniakan dengan suara yang boleh menggeluarkan berjuta-juta perkataan maka kita menggunakannya tanpa hemah. Kalaulah ada kaunter yang mengatakan yang kita hanya boleh menggunakan sebanyak 10,000 perkataan sahaja seumur hidup sebelum bisu maka saya yakin ramai yang akan berhati-hati dalam memilih perkataan dan ayat yang ingin disuarakannya itu. Kalau setiap perkataan itu kena bayar lagilah haru jawabnya. Mungkin ramai yang akan menjadi pendiam.


Dalam pendekatan mengingati pelajaran pula otak digunakan sebagai tempat menyimpan memori. Jadi mengingati akan jadi mudah dengan kaedah berikut;


Mata melihat dan membaca - 1 kali ingatan
Telinga mendengar - 2 kali ingatan
Mulut bertanya - 3 kali ingatan
Tangan menulis mengambil nota - 4 kali ingatan


Kenapa kita tak boleh ingat kalau dah empat kali dingatkan? Sebab bila cikgu mengajar mata dan telinga kita di tempat lain, otak kita tak bersedia, mulut sibuk bercakap dengan kawan sebelah dan tangan sibuk menconteng. Tubuh badan sahaja yang ada duduk di situ.


Mengetahui hakikat ini adalah lebih baik kita menggunakan semua kurniaan anggota dan pancaindera ini ke tahap yang optima. Tahap yang terbaik agar kita menjadi pelajar atau penuntut ilmu yang cemerlang sepanjang kehidupan.


Sekian dulu buat kali ini.


Soal pancaindera hati itu perkara lain. Lain kali kita cerita. InsyaAllah.


Fikir-fikirkanlah..


Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.


Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.


Ikhlas dari,


Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial


Email : greng70@yahoo.com
Facebook : Faizal Yusup
Blog :http://faizalyusup.blogspot.com
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!


PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua InsyaAllah.


Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.