28 November 2009

Masalah Anda Besar ke Kecil?

Ringan beratnya atau kecil besarnya sesuatu masalah itu bergantung kepada perspektif orang yang menerimanya. Bagi mereka yang sudah biasa dengan kesukaran, sesuatu masalah itu tidak akan dianggap berat sedangkan bagi mereka yang kurang pengalaman setiap masalah yang datang membabitkan tekanan emosi dan mental yang teruk.

Untuk menerangkan lebih lanjut tentang perkara ini biarlah saya berikan beberapa contoh :

Bagaimanakah perasaan Emran yang berhutang RM2 juta dengan pihak bank sekiranya diberikan masalah Ramzi yang gelisah kerana diburu hutang kad kredit sebanyak RM2 ribu?

Bagaimanakah perasaan Siti yang kehilangan anak kerana penyakit barah hati kalau diberikan masalah Norli yang anaknya terkena penyakit cirit birit?

Bagaimana pula perasaan Ali yang bersedih kerana baru mendapat tahu yang ibunya telah melarikan diri dari rumah kerana tidak tahan dengan sikap bapanya kalau diberikan masalah Abu yang kehilangan kedua ibubapanya yang meninggal dunia kerana terlibat dalam satu kemalangan baru-baru ini?

Bagaimanakah perasaan anda bila saya memberitahu yang saya rasa sangat sedih, gelisah dan kecewa dan menceritakan pada anda kegelisahan saya adalah kerana saya tidak menerima e-mail dari kekasih saya semenjak 2 minggu yang lalu?

Mungkin anda ketawa ketika ini kerana anda akan berkata yang masalah saya ini terlalu kecil dan tak perlu dibimbangkan.

Tetapi bagi saya pula masalah yang saya lalui terlalu besar hinggakan saya tak tahu apa yang hendak dilakukan. Masalah yang besar bagi saya terasa begitu kecil bagi anda.

Ini bermakna mereka yang pernah menghadapi masalah yang besar akan merasakan masalah pihak yang satu lagi itu kecil dan mudah untuk diatasi. Jadi tak perlulah kita takut pada masalah kerana setiap masalah yang mendatang dalam hidup kita akan hanya mengubah perspektif kita ke peringkat yang lebih tinggi dan pada masa yang sama mendewasakan kita.

Sebenarnya bagi saya setiap masalah yang mendatang itu sama sahaja. Tak besar dan tak kecil. Ia hanyalah satu “variables” yang digunakan Allah untuk menguji manusia. Orang yang berpengalaman dan telah diduga dengan pelbagai masalah atau pernah jatuh ke dasar gaung masalah yang amat dalam tak akan mendapati apa juga masalah selepas dari itu membebankan.

Oleh itu tak perlulah kita panik, terlalu kecewa, terlalu emosional, terlalu tertekan dan sebagainya. Bawa bertenang dan berusahalah mencari jalan akan bagaimana untuk mengatasinya, itu sahaja.

Seperkara lagi, bagaimana pula perasaan resah gelisah seorang individu kalau dibandingkan dengan individu yang lain? Apakah perasaan gelisah Emran yang berhutang RM2 juta berlainan dari perasaan gelisah Ramzi yang berhutang RM2 ribu. Sebagai manusia Ramzi yang berhutang 2 ribu itupun akan mengalami apa yang Emran alami. Pening kepala, seram sejuk, berpeluh-peluh bila memikirkannya. Kita mempunyai sifat yang sama, perasaan yang sama. Kalau garam masin rasanya bagi Ramzi masin jugalah rasanya pada Emran. Apa yang pasti, takkan tercabut kepala Emran dari badannya kerana masalahnya yang kalau dibandingkan dengan Ramzi kelihatan lebih besar.

Apapun dalam apa juga keadaan ia terpulang kepada kita sendiri samaada untuk mengawal perasaan dan bertenang atau sebaliknya. Sebenarnya kitalah yang menguasai perasaan kita sendiri dan bukannya keadaan mahupun orang lain.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua InsyaAllah.

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.