02 November 2009

Tangani Stress


Baru-baru ini saya menonton rancangan Malaysia Hari ini terbitan TV3 menceritakan tentang menangani stress dan isu menangani stress ini boleh dikatakan satu isu yang sering  diketengahkan oleh pihak media massa. Mungkin dewasa ini di zaman moden ini isu stress begitu membelenggu umat di zaman ini yang mana ia menyebabkan ramai yang tak dapat tidur, tertekan, paranoia, mental disorder, hilang keyakinan diri malah sehingga ada yang sanggup mengambil nyawanya sendiri.


Antara saranan yang diberikan ialah untuk melekakan diri, mencari punca yang menyebabkan stress itu dan kemudian mencari jalan menanganinya mahupun mencari ketenangan dengan bercakap dengan orang lain, pergi ke tempat yang sunyi dan menjerit, pergi melancong, melihat ikan dalam akuarium, berdoa dan bermacam lagi. Kadangkala pula kita didedahkan dengan kaedah saintifik dalam menanganinya dengan penggunaan tenaga Alpha, Gamma, Beta, IQ, EQ atau kaedah Feng Shui yang dipelopori oleh bangsa Cina.


Apapun bukankah kejadian Allah bernama Stress ini hanya digunakan Allah Taala untuk menduga manusia?


Apakah tujuan utama manusia dihidupkan di atas muka bumi ini? Ia bukan hanya untuk lahir, bangun, bekerja, berniaga, berkeluarga dan kemudiannya mati dan bukan juga untuk menjadi terkenal, menjadi kaya, berpangkat dan berpengaruh kerana pastinya semua itu akan ditinggalkan di atas mukabumi bila kita mati kelak.


Bukankah tujuan kita tak lain dan tak bukan hanya untuk menjalankan ibadah kepada Allah Taala. Jadi inilah perkara pertama / utama / paling penting yang mesti kita lakukan sebagai makhluk bernama manusia.


Analogi kepada soalan saya mudah, bagaimana kita hendak khusyuk dalam solat contohnya kalau kita terlalu sibuk memikirkan perihal makhluk / kejadian (stress) yang lainnya. Bukankah makhluk dan kejadian ini akan mengganggu tumpuan dan fokus ibadah kita kepada Allah tak kiralah dalam ibadah mana jua yang kita jalankan.


Maknanya di sini memikirkan perihal makhluk dan kejadian adalah perkara kedua dan bukannya perkara utama. Perkara utama ialah untuk menjalankan ibadah kepada Allah Taala.


Mari kita lihat perbandingan yang seterusnya pula. Ina dan Ros merupakan dua orang pelajar, Ina merupakan anak nelayan yang serba kekurangan tetapi dia seorang yang menumpukan sepenuh perhatian di sekolah, rajin belajar dan mengulangkaji sedangkan Ros merupakan anak orang yang berada yang punya pelbagai kelengkapan. Ros punya bilik belajar yang siap dengan penyaman udara, kemudahan internet, telefon bimbit, buku ulangkaji yang lengkap, ke kelas tambahan dan kelas tuisyen selepas sekolah dan sebagainya tetapi merupakan seorang pelajar yang malas.


Bila keputusan peperiksaan keluar, Ina yang serba kekurangan mendapat kelulusan yang cemerlang sedangkan Ros sekadar lulus sahaja. Persoalan di sini adakah prasarana keperluan yang penting atau adakah tumpuan dan sikap dalam diri yang lebih penting? Bukankah pengisian yang masuk ke dalam diri merupakan perkara utama dan prasarana keperluan luaran adalah perkara kedua sama seperti penjelasan saya tadi.


Dalam kehidupan sebagai manusia kita dijadikan Allah untuk beribadah kepadanya. Ini tugas utama. Kita bukan dijadikan Allah sebagai manusia untuk melayan tekanan / stress / nafsu / mengejar dunia dan sebagainya. Ini tugas kedua.


Sebagai makhluk manusia yang paling mulia di sisi Allah maka kuasai dan kawallah makhluk dan kejadian yang lebih hina dari diri kita ini dan jangan biarkan ia menguasai diri dan akal fikiran. Ini kerana hakikatnya mana-mana makhluk dan kejadian tak akan dapat memberi manfaat mahupun mudarat tanpa keizinan dari Allah Taala. 


Fikir-fikirkanlah..


Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.


Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami.


Ikhlas dari,


Faizal Yusup


' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.