Bila difikirkan lagi banyak variables dalam kehidupan maka semakin banyaklah ruang untuk kita diuji Allah Taala. Kalau di zaman muda kita hanya belajar di sekolah dan variables yang perlu kita jaga hanyalah pelajaran dan perhubungan. Pada masa itu kita tak pernah memikirkan hal pembayaran yuran sekolah, yuran tuisyen, perbelanjaan rumah dan sebagainya. Kita hanya perlu minta duit dari orangtua.
Namun begitu bila kita bekerja dan berkahwin maka variables ini menjadi semakin banyak. Kita berhutang untuk membeli rumah dan kereta, hutang kad kredit, hutang pembiayaan bank, hubungan dengan ibubapa, ibubapa mertua, isteri, keadaan anak pertama, kedua dan seterusnya, orang gaji, kerja atau perniagaan yang dijalankan, hal kesihatan dan pendidikan dan sebagainya semuanya perlu dititikberatkan.
Variables inilah merupakan ruang-ruang yang kita bakal di uji Allah Taala. Panggilan dari pihak bank akan tunggakan rumah, kerosakan pada rumah, matinya cukai jalan, kemalangan pada kereta yang dipandu, masalah perhubungan dengan isteri, masalah kesihatan, masalah tiada kontrak, masalah di pejabat, masalah tiada kenaikan gaji dan sebagainya. Dalam banyak keadaan ujian itu terjadi kepada bukan hanya satu variable tetapi kepada 3,4 variables sekaligus. Maksud saya kereta kita rosak pada masa yang sama road taxnya mati kemudiannya kita ada masalah di tempat kerja dan bil-bil yang tertunggak yang perlu diselesaikan. Selesai yang satu datang pula masalah dari variables yang lain pula. Selesai memperbaiki kereta yang rosak, rumah pula bocor bila hujan lebat dan anak pula kena masuk hospital disebabkan penyakit asma dan sebagainya. Ia berterusan seakan tak akan selesai.
Oleh itu cara yang terbaik ialah untuk kita mengurangkan variables tersebut selagi daya.
Dalam hal variables hutang cara yang terbaik ialah untuk mengurangkan variables ini ialah untuk mencari pendapatan lebihan dan bukannya dengan menambahkan variables ini dengan menggandakan hutang. Hutang akan hanya membebankan. Dalam lain perkataan kita membawa diri ke arah yang negatif dan bukannya menuju ke arah usaha yang positif yang bakal melegakan.
Contohnya dengan melangsaikan pembayaran balik rumah, kenderaan, pinjaman bank dan kad kredit akan dapat melegakan bebanan kewangan. Kelebihan ini pula kemudiannya boleh digunakan untuk tabungan dan pelaburan yang berhemah dengan harapan ia bakal membawa keuntungan. Kekukuhan kewangan dapat membantu menyelesaikan banyak perkara dalam kehidupan ini baik dari segi kesihatan, pendidikan dan perkara-perkara yang tak dijangka seperti kemalangan, kebocoran pada rumah dan sebagainya.
Dalam hal perhubungan dengan manusia pula cara yang terbaik ialah untuk menyampaikan pengisian dan isihati dengan telus dan terus terang serta berkomunikasi agar kefahaman dan kasih sayang dapat dibentuk dalam mana-mana perhubungan dengan izin Allah Taala.
Pengurangan variables ini InsyaAllah akan dapat membantu kita menjalani kehidupan ini dengan lebih selesa dan lancar. Masalahnya bagi kebanyakan kita, tanpa kita sedari kita lebih suka menambah variables ini daripada mengurangkannya. Kereta yang habis dibayar diganti dengan kereta yang lebih besar dan mahal, penambahan kepada pinjaman dan hutang, mengadakan perhubungan sulit, menghisap dadah, minum arak, berjudi dan sebagainya. Penambahan kepada variables yang ada lama kelamaan bukan menyenangkan malah lebih menyusahkan. Ini kerana ia membuka ruang yang lebih besar untuk kita diuji.
Fikir-fikirkanlah..
Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.
Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.
Ikhlas dari,
Faizal Yusup
Facebook : Faizal Yusup
Blog :http://faizalyusup.blogspot.com
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!
PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan taulan anda okay? Terima kasih…
' style='padding: 0; border: none;'/>
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.