20 November 2009

Good Problem Bad Problem

Pada hemat saya, masalah boleh dibahagikan kepada dua iaitu masalah yang baik dan masalah yang buruk.

Untuk membezakan antara masalah yang baik dengan buruk kita perlu mengetahui apakah objektif yang hendak dicapai dalam menghadapi masalah tersebut. Objektif itu boleh jadi ganjaran wang ringgit, ganjaran pangkat, gelaran, nama dan mungkin juga pahala dan syurga.

Adakalanya kita membazirkan masa, tenaga dan wang ringgit dalam menangani sesuatu masalah yang tidak ada objektif yang tertentu yang boleh membawa keuntungan kepada kita.

GOOD PROBLEM

Katalah kita mendapat satu tender besar yang objektif akhirnya ialah kita mendapat keuntungan dari segi wang ringgit. Maka masalah yang bakal kita lalui demi mendapatkan wang itu disifatkan sebagai good problem. Contohnya masalah yang timbul dari segi mencari modal permulaan, modal kerja, permohonan pinjaman bank, masalah pekerja, masalah perlaksanaan kerja, masalah syarikat penender lambat mengeluarkan bayaran dan sebagainya. Apapun masalah-masalah yang menimpa disepanjang masa itu sekiranya kita atasi maka dipenghujungnya kita bakal mendapat keuntungan wang ringgit. Jadi tak perlulah kita risaukan masalah-masalah yang menimpa itu. Kita cuma perlu mencari jalan penyelesaiannya.

Begitu jugalah halnya sekiranya kita hendak ke syurga. Semua kesusahan dan pengorbanan perlulah kita lakukan. Kita perlu mengorbankan tenaga, wang ringgit, masa, menahan lapar dan dahaga dan sebagainya bagi tujuan tersebut. Contohnya sekiranya kita hendak pergi menunaikan fardhu Haji, kita terpaksa berkorban untuk meninggalkan anak-pinak saudara mara serta harta benda, membelanjakan duit, menempuh perjalanan yang jauh ke negeri yang panas dan kering, bersesak-sesak untuk menunaikan ibadah tawaf, sai’, wukuf dan sebagainya jauh dan keselesaan yang biasa. Semua ini sanggup dilakukan demi untuk mendapatkan keredhaan Allah Taala dengan harapan mendapat ganjaran di Akhirat kelak. Bagi yang memandangnya sebagai good problem maka mereka akan redha dan semua ini akan menjadi mudah tetapi bagi yang memandangnya sebagai bad problem maka perlaksanaan tugas ini akan menjadi sukar.

BAD PROBLEM

Jadi bad problem pula adalah satu masalah yang tidak ada objektif yang nyata. Contoh bad problem selalunya melibatkan perhubungan dengan orang lain. Kadang-kadang kita sibuk menjaga tepi kain orang dan membawa mulut ke serata tempat tanpa objektif yang tentu. Ini kemudiannya menyebabkan masalah perang dingin, pemusuhan dan pergaduhan. Kita bukannya boleh mengubah sikap orang lain melainkan orang itu sendiri mengambil inisiatif untuk mengubahnya. Kalau dari segi perhubungan kita selalu tertekan dengan sikap orang lain terhadap kita dan kita seterusnya menceritakan keburukan sikap orang itu kepada orang-orang sekeliling kita. Ini sebenarnya hanyalah satu pembuangan masa dan tenaga yang nyata. Ia tidak punya apa-apa faedah dan masalah seperti ini juga mengambil masa yang terlalu lama untuk diselesaikan. Ramai yang menganggap yang mereka mempunyai kuasa untuk menyelesaikan masalah tersebut walhal sikap diri sendiri pun masih banyak kekurangannya.

Bad problem ini selalunya merupakan masalah yang kecil dan remeh dan tak perlu diberikan perhatian. Kalau difikirkan kembali, banyak lagi perkara yang berfaedah yang boleh dilakukan daripada menghabiskan masa dan tenaga ke arah bad problem seperti ini.

Cuba lihat masalah yang anda hadapi sekarang ini dan analisakan objektifnya. Adakah ia menguntungkan anda di masa hadapan ataupun adakah ia akan merugikan anda? Rugi air liur, tenaga, masa, wang ringgit dan sebagainya. Sekiranya anda rasa ia merugikan saranan saya; tolaklah masalah itu ke tepi dan kemudian tumpukan sepenuh perhatian dalam menangani masalah yang bakal menguntungkan anda di suatu masa akan datang.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Komen

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.