23 November 2009

RAHSIA KEBAHAGIAAN DALAM PERHUBUNGAN

Perbezaan Orang Dunia dan Orang Akhirat


Oleh sebab kita dilahirkan di dunia ini jadi kita memerlukan pengisian dunia untuk menjalankan kehidupan dengan lebih baik. Kita perlu tahu tahu Geografi supaya kita tahu kedudukan sesuatu tempat, kita perlu tahu Sejarah untuk kita mengambil iktibar darinya, kita perlu tahu Matematik supaya kita tahu mengira dan sebagainya. Semenjak dilahirkan banyak perkara yang perlu kita pelajari baik secara formal di bilik darjah mahupun secara tidak rasmi melalui pengalaman kehidupan. Sejarah, Matematik, Sains, Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, kemahiran hidup, kesihatan, kraftangan, seni, ugama dan sebagainya.

Namun pada hakikatnya kehidupan kita bukan hanya berakhir di sini. Kita sebenarnya akan menghadapi hidupan akhirat selepas kita mati kelak. Jadi kita perlukan pengisian akhirat demi untuk menyediakan diri di hari kemudian. Apapun fakta ini hanya dipercayai dan diyakini oleh orang Islam yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Di sini saya ingin menitikberatkan tentang ugama Islam yang mana ia juga dianggap sebagai salah satu matapelajaran sedangkan ugama sebenarnya bukan matapelajaran kerana ia merangkumi segalanya dalam kehidupan ini iaitu ugama merupakan cara hidup. Bila bercerita tentang ugama maka hati merasakan yang ianya adalah sesuatu yang membawa kepada kegelapan sedangkan pada hakikatnya pengisian ugama sebenarnya membawa cahaya dan nikmat kepada hati kepada orang yang memahami dan bertakwa kepada Allah Taala.

Ia bergantung kepada pengisian dunia atau pun pengisian akhirat. Pengisian dunia akan membawa seseorang manusia itu hanyut dalam dunia ini.

Dalam isu ini, orang yang mempunyai pengisian dunia yang banyak dalam dirinya saya namakan orang dunia dan sebaliknya orang yang mempunyai pengisian akhirat yang banyak pula saya namakan orang akhirat. Mereka ini pula terdiri dari pelbagai kategori dari yang biasa kepada yang berat. Maksud saya ada orang dunia yang baik dan tidak melakukan kerosakan pada dirinya sendiri sebagai contoh mereka yang hidup seperti biasa menghabiskan masa dengan memancing, bersukan dan sebagainya dan mereka suka kepada barang-barang mewah dan berjenama. Namun begitu ada pula yang merosakkan diri dengan berzina, minum arak, berjudi, mengambil dadah, mengabiskan masa di kelab-kelab malam dan sebagainya. Pun begitu mereka ini masih lagi berada dalam rangkuman ugama Islam.

Orang akhirat pula juga berada dalam kategori yang berbeza. Dari segi ibadah solatnya, ada yang tak cukup solatnya, ada yang cukup tapi bukan di awal waktu, ada yang cukup di awal waktu, ada yang cukup di awal waktu berjemaah. Ada yang berpakaian biasa dan ada yang hingga berserban, berjubah dan berjanggut. Ada yang hanya menggunakan pengisian untuk diri sendiri namun ada juga yang menyampaikannya kepada yang ramai. Ada yang berkawan dengan orang dunia dan ada yang tidak.

Pada pendapat saya ada beberapa cara untuk membezakan antara orang dunia dengan orang akhirat ini. Cara yang paling mudah ialah untuk meilhat siapakah kawan-kawan kita. Orang dunia akan berkawan dengan orang dunia juga dan cerita mereka juga berkisar tentang dunia. Kisah perkembangan isu semasa, artis, lagu, wayang yang ditonton, kelab bola sepak kegemaran dan sebagainya. Cara berpakaian yang tidak menutup aurat, dengan rambut dan mata yang bermacam warna dan sebagainya. Mereka juga suka menghabiskan masa di kelab-kelab dan tempat-tempat yang tidak berfaedah membuang masa dengan sia-sia.

Berbeza dengan orang akhirat pula ceritanya lebih kepada kisah tentang kehebatan Allah, isu-isu ugama dan selalu mengambil peluang untuk menjalankan usaha dakwah dan lebih suka menghabiskan masa di masjid. Mereka juga lebih senang berkawan dengan orang-orang yang sama pengisian dengannya supaya mereka sering dapat ingat mengingati.

Orang akhirat selalunya melakukan sesuatu demi untuk mendapatkan tak lain dan tak bukan keredaan Allah Taala manakala orang dunia selalunya ada agenda untuk kepentingan diri, menunjuk-nunjuk, mendapat ganjaran duit, seks, nama dan sebagainya. Orang akhirat akan selalu melakukan sesuatu dengan memikirkan implikasinya di akhirat kelak dan masa yang ada tidak akan digunakan dengan sia-sia. Mereka selalunya akan bekerja, melakukan sesuatu perbuatan yang baik, berdakwah dan dalam diam mereka akan berfikir dan berzikir. Semua ini sebenarnya berada dalam rangkuman ibadah kepada Allah Taala.

ORANG DUNIA      ORANG AKHIRAT
1  2  3  4  5  6  0  A  B  C  D  E  F

Di atas anda akan dapat lihat perbezaan antara mereka yang mempunyai pengisian dunia dan juga dengan mereka yang mempunyai pengisian akhirat berdasarkan berapa dalamnya pengisian tersebut di dalam diri mereka.

Di sini saya meletakkan tahap1,2,3,4,5 dan 6 bagi orang dunia dan A hingga F bagi orang yang mempunyai pengisian akhirat. Pun begitu ianya bukanlah sesuatu yang boleh disukat semudah ini, ia hanya gambaran bagai memudahkan kefahaman. Apapun kadangkala kita boleh jumpa orang dunia mahupun orang akhirat yang merasakan dirinya lebih baik / lebih kaya / lebih alim atau lebih pandai dari orang lain, oleh itu mereka merasakan mereka diri mereka berada di atas jadi orang lain letaknya di bawah dihina dan dipinggirkan. Sedangkan semua ini hanyalah ilusi semata-mata.

Selalunya dari kajian yang saya buat lebih senang orang dalam kategori 6 berkawan dengan mereka yang dalam kategori yang sama. 6 kawan dengan 6 tetapi bila 6 bertemu dengan F maka kemungkinan mereka akan melarikan diri. Ia seakan bila orang tabligh datang ke rumah mereka dan mereka melarikan diri atau menghalau orang tabligh tersebut kerana perbezaan pengisian di antara mereka yang ketara.

Saya pernah bertemu dengan seorang isteri yang baik dan mengikut pengajaran ugama Islam bertemu dengan suami yang keduniaan. Si isteri mempunyai kerjaya yang cemerlang dan berpendapatan tinggi sedangkan suaminya bekerja kilang dan berlagak dengan kereta mahal yang dipandu hasil pendapatan isterinya namun perkahwinan masih dalam keadaan baik. Bagi saya seorang isteri dalam kedudukan akhirat C akan sentiasa tunduk patuh pada suaminya walaupun suaminya berada dalam kedudukan dunia 1. Ia bukanlah satu masalah. Saya yakin lambat laun suaminya akan kembali ke jalan Allah Taala.

Selalunya suami yang berada dalam kedudukan akhirat tak menjadi masalah bila dijodohkan dengan isteri yang keduniaan kerana dia masih lagi boleh mendidik isterinya itu. Suami yang mendidik isteri adalah umpama menarik pangkal pokok dimana dahan, batang, tangkai dan pucuknya akan menurut tetapi isteri yang cuba menddidik suami umpama menarik pucuk pokok yang mana banyak dahan dan tangkainya yang akan tersangkut lalau patah.

Dalam satu kes yang lain pula si suami mendapat isteri B sedangkan suami dalam kedudukan 3. Pada mulanya perkahwinan mereka tak ada masalah kerana si isteri berpendapatan lebih darinya tetapi semenjak perniagaan suaminya berjaya dan pendapatannya kukuh isteri itu diceraikan dengan talak 3 kerana ingin bersama dengan GRO.

Seterusnya dalam kes seorang suami yang keduniaan berkahwin dengan isteri yang juga keduniaan. Semasa bertemu dan berkahwin si suami merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya namun semenjak perniagaannya merudum dia ditinggalkan isterinya. Dalam ertikata lain perkahwinan itu bertahan hanya kerana faktor kewangan.

Kalau kita perhatikan perhubungan yang berkekalan baik dalam persahabatan, perkahwinan, perniagaan dan sebagainya adalah diasaskan dengan akhirat kerana Allah Taala dan bukan selain dari itu. Cuba perhatikan kawan-kawan anda. Siapakah yang masih kekal dengan anda sehingga sekarang? Kesimpulannya berkawan, berkahwinlah kerana Allah Taala dan bukan atas sebab yang lainnya.

Selalunya perbalahan akan sering berlaku bila orang dunia bertemu / berkahwin dengan orang akhirat. Ini kerana orang dunia tak akan faham apa yang dilakukan olah orang akhirat tetapi orang akhirat akan tahu apa yang dikejar oleh orang dunia. Ini kerana semenjak lahir kita menjadi orang dunia dahulu sebelum menjadi orang akhirat dengan pengisian yang kita dapati sepanjang kehidupan dan menyakininya sedangkan orang dunia yang tidak mengisi diri dengan pengisian akhirat serta menyakininya akan terus-terusan menjadi orang dunia.

Ramai orang termasuklah orang putih malah para saintis di dunia ini yang membuat kajian demi kajian akhirnya bertemu dengan pengisian akhirat yang akhirnya memilih jalan Islam. Malangnya kita yang dilahirkan Islam pula tidak mahu mencari pengisian tersebut dan mengikut jalan Islam dan bila pengisian itu sesekali datang kepada kita, kita menolaknya mentah-mentah.

Atas sebab inilah sekali lagi saya tekankan orang akhirat akan faham apa yang orang dunia lakukan tetapi orang dunia takkan faham apa yang dilakukan orang akhirat.

Antara petanda orang dunia ialah orang yang bila suka dia terlalu gembira dan bila kecewa dia terlalu duka sedangkan orang akhirat akan selalu dalam ketenangan walau apa juga dugaannya. Orang akhirat suka melakukan pekerjaan dalam rangkuman yang WAJIB dan SUNAT sedangkan orang dunia lebih suka melakukan pekerjaan yang dalam rangkuman MAKRUH DAN HARAM.

Kalau anda orang dunia anda mungkin akan terasa bila membaca pengisian ini tetapi kalau anda orang akhirat pasti anda akan redha.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.