14 November 2009

Perihal Bahasa Inggeris

Salah satu ilmu yang terpenting yang perlu kita tahu dalam alaf baru ini ialah Ilmu Bahasa Inggeris.

Memang benar Bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi negara namun dalam dunia yang menuju ke era globalisasi Bahasa Inggerislah bahasa yang akan diterimapakai dalam apa jua bidang. Semasa muda, saya begitu berbangga dengan Bahasa Malaysia dan mengambil keputusan untuk tidak menggunakan Bahasa Inggeris dalam perbualan hari-hari walaupun saya lulus cemerlang dalam matapelajaran ini. Kononnya semangat patriotik akan tersemat di sanubari sekiranya saya berbuat demikian. Ibu saya sendiri tidak percaya yang saya boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik. Katanya saya hanya pandai dalam bidang penulisan dan pemahaman dan bukan pertuturan. Hinggakan apabila saya lulus peperiksaan Test of English as a Foreign language (TOEFL)  tanpa mengulangkaji untuk menyambung pelajaran ke Amerika Syarikat dia masih juga ragu-ragu.

“Boleh ke?” Tanyanya.

Tetapi prinsip yang saya pegang ini berubah apabila saya memulakan zaman pekerjaan. Segala notis pemberitahuan, surat menyurat dan apa jua dokumen menggunakan Bahasa Inggeris. Lalu sekali lagi saya membuat kajian. Kalau dahulu saya menggunakan Bahasa Malaysia dalam perbualan harian di tempat kerja sekarang saya menggunakan Bahasa Inggeris. Keputusan kajian itu menunjukkan mereka yang  berinteraksi dengan saya mula menghormati bila saya berbahasa Inggeris kalau dibandingkan dengan yang sebelumnya. Mulai saat itu saya banyak menggunakan Bahasa Inggeris dalam perbualan kerana penerimaan mereka yang berbeza bukan dengan niat untuk berlagak dan sebagainya. Mungkin pada pandangan umum mereka yang boleh berbahasa Inggeris berilmiah.

Buku-buku kajian kehidupan dalam apa juga segi sama ada Perniagaan, Teknologi, Kejuruteraan, Motivasi dan sebagainya juga ditulis dalam Bahasa Inggeris. Hinggakan Bahasa Malaysia tercemar dengan perkataan-perkataan Inggeris yang dialih bahasakan kerana tiada perkataan dalam Bahasa Malaysia yang dapat menyampaikan maksud sesuatu perkataan Bahasa Inggeris itu. Bahasa Inggeris adalah bahasa sejagat yang mana ia digunakan di seluruh dunia. Mereka yang menguasai bahasa ini akan dapat menguasai ilmu pengetahuan. Ini kerana boleh dikatakan setiap buku yang ditulis tidak kira dari mana asalnya pasti akan dialihbahasakan ke dalam Bahasa Inggeris. Atas sebab kebanyakan orang kita tidak berminat membaca ditambah dengan kelemahan penguasaan bahasa ini maka buku-buku tersebut tidak diusik dan ilmu di dalamnya terbiar tanpa dapat dicakup.

Dalam persaingan dunia sekarang ini mereka yang mempunyai ilmu boleh menindas mereka yang tidak berilmu. Kita tidak boleh mengharapkan orang lain untuk mempertahankan hak kita dan kita tidak dapat mengalahkan ilmu dengan tenaga fizikal semata-mata. Kekuatan ilmu sebenarnya dapat menggerunkan musuh.

Oleh itu penguasaan bahasa ini amat penting bagi memastikan generasi yang akan datang dapat bersaing dalam dunia yang semakin mencabar ini. Malangnya ramai di antara kita yang tidak mempedulikan bahasa ini kerana bagi mereka ia tidak penting untuk dipelajari.

Bayangkanlah anda sedang bersiar-siar dan bertemu dengan seorang yang serabai dengan pakaian yang tidak terurus.  Hati kecil anda berkata,

" Orang gila agaknya ni.. "

Tiba-tiba lelaki tersebut bertanya kepada anda,

" Excuse me, do you mind showing me the way to Jalan Tun Perak, I believe I'm lost.." katanya.

Kepada yang mahir berbahasa Inggeris ini bukanlah satu masalah. Namun bagi yang tidak mahir atau langsung tidak tahu berbahasa Inggeris bagaimana pula? Bukankah ia mencengkam anda? Yang pastinya pandangan anda terhadap orang "gila" itu berubah dengan serta merta.

Suatu pagi saya terdengar di corong radio dan sijuruhebah bertanya kepada si pemanggil ;

" Apa maksud Gingerbread?" ,

" Entah.. Ala kumpulan lama tu " katanya.

Lalu sijuruhebahpun memberitahu pada sipemanggil yang ia bermaksud roti halia dalam Bahasa Malaysia. Bagi saya ini adalah sesuatu yang memalukan kerana takkanlah sekiranya kita lulus ke tahap SPM kita tidak tahu perkataan asas Bahasa Inggeris yang menerangkan roti dan halia?

KESIMPULAN : Bawalah kamus ke mana sahaja atau bertanya akan perkataan-perkataan yang kita tidak tahu dengan mereka yang tahu. Kemudian gunakan ia dalam pertuturan. Sambil menonton televisyen rancangan berbahasa Inggeris pun kita boleh mempelajari Bahasa Inggeris. Ini kerana sarikata bahasa Malaysia yang ada dapat membantu sekiranya kita meneliti pertuturan pelakon rancangan itu. Ini juga merupakan pertukaran masa yang terluang menonton televisyen kepada ilmu. Bincangkan dengan anak-anak perkataan baru yang kita jumpa.

FAKTA : Terdapat lebih daripada 1 juta perkataan dalam Bahasa Inggeris, secara purata pakar Bahasa Inggeris menggunakan 25,000 hingga 30,000 perkataan, Orang biasa mengetahui lebih kurang 10,000 hingga 15,000 perkataan namun begitu kita sudah boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan mengetahui kira-kira 1000 perkataan sahaja.

Oleh yang demikian sekiranya kita dapat mempelajari 1 perkataan sehari, ia menjadi 365 perkataan setahun, menjadi 3650 perkataan sedekad dan seterusnya hingga kita dapat menguasai seluruh perkataan dalam bahasa Inggeris.  Menguasai satu perkataan sehari akan hanya mengambil masa tak sampaipun satu minit. Kalau dibandingkan masa kita yang dihabiskan berbual kosong. Ini bermakna dalam masa tidak sampaipun 3 tahun kita sudah boleh bertutur dalam bahasa ini.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup

Facebook : Faizal Yusup
Ada banyak artikel motivasi era baru percuma.

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.