03 November 2009

Beza Ilmu dan Pengetahuan

Dalam kehidupan kadangkala saya bertemu dengan orang melayu yang begitu mengagung-agungkan budaya orang Barat yang dikatakan maju dan bertamadun. Mereka sanggup melanggan majalah Newsweek, Time dan sebagainya kerana mahu mengemaskini diri dengan kisah serta keadaan semasa di Amerika Syarikat.

Kemudian ada pula yang bila bercakap menggunakan rujukan dari Sarjana Barat. Contohnya dalam bidang motivasi mereka merujuk kepada Nepoleon Hill dan Stephen J. Covey, dalam bidang kewangan dengan merujuk kepada Robert Kiyosaki dan Warren Buffet. Dalam bidang Pemasaran pula mereka merujuk kepada Kotler dan sebagainya. Mereka mengikut dan percaya kepada apa yang diajarkan oleh para guru itu. Benar atau tidak sekali lagi tidak pula difikirkan.

Kalau dalam bidang pemasaran contohnya, kajian, kaedah serta strategi yang disarankan Kotler dijadikan sandaran dengan menjalankan promosi, iklan dan diskaun dan sebagainya. Strategi penjenamaan produk yang meluas dan paling berkesan dipilih supaya nama produk diingati dan menjadi sebutan pengguna.

Namun demikian ada beberapa kisah kejayaan perniagaan yang melanggar semua aspek yang disarankan ini. Contohnya Ramly Burger menjadi produk yang terkenal di seluruh Malaysia tanpa perlu menjalankan promosi dan iklan secara meluas dan besar-besaran dan perniagaannya berkembang pesat hingga sampai ke timur tengah dan telah bertahan semenjak 40 tahun yang lalu.

Dalam topik ini, bagi saya ilmu sebenarnya berbeza kalau dibandingkan dengan maklumat. Bagi saya pengetahuan ilmu adalah sesuatu yang datang dari ALLAH S.W.T dan sifatnya bersih, suci lagi benar. Saya yakin kalau dibuat kajian akan semua ilmu yang terdapat dalam Al Quran pasti kita akan bertemu dengan kebenarannya.

Berpesan-pesan dengan kebenaran yang diungkapkan dalam Surah Al Ash sebenarnya membawa maksud berpesan-pesan dengan ilmu sepertimana yang diungkapkan dalam Al Quran dan yang disampaikan oleh Nabi SAW.

Pengetahuan pula hanyalah maklumat, konsep, teori, fakta yang bertaburan di muka bumi ini dari pelbagai aspek yang mana kebenarannya masih samar dan perlu dibuktikan. Malah masih terlalu banyak perkara di langit, di mukabumi dan di laut yang masih belum dikaji manusia.

Kadangkala kita belajar ke peringkat tertinggi dalam bidang akademik hingga ke peringkat PhD tanpa kita sedari yang apa yang kita pelajari itu hanyalah kebanyakannya terdiri dari pengetahuan maklumat dan sedikit sahaja pengetahuan ilmu.

Dari sudut akademik, kita belajar sedari kecil hinggalah ke peringkat yang tertinggi dengan silibus akademik yang tersusun dan berstruktur yang kebanyakannya dipelopori oleh tamadun Barat. Katalah kita pelajari pengkhususan dalam bidang kewangan tetapi apa yang terjadi ialah sistem kewangan yang mereka agung-agungkan akhirnya merudum.

Teori Darwin pula contohnya mengenai asal manusia dari beruk yang mengalami pengembangan evolusi juga hanya merupakan pengetahuan maklumat kerana tiada fossil yang ditemui setakat ini yang membenarkan semua ini. Fossil ikan jerung, udang dan dan pelbagai tumbuhan yang ditemui bertarikh beratus juta tahun dahulu masih sama sepertimana keadaannya sekarang. Tidak terdapat sebarang perubahan evolusi padanya. Ini bermakna pengetahuan ilmu bahawasanya ALLAH S.W.T mencipta dari sesuatu yang tiada iaitu dengan berfirrman “jadi maka jadilah” adalah kebenaran.

Semua ini menunjukkan walaupun penerapan nilai akademik ini tersusun dan berstruktur tetapi sebenarnya ia belum terbukti kebenarannya. Malah Albert Einstien sendiripun mengaku akan kewujudan Tuhan kerana banyak perkara yang tak dapat diungkaikannya.

Dalam hal ini telah terbukti ramai para pengkaji / saintis / ahli akademik / yang membuat kajian yang mendalam akhirnya bertemu dengan ilmu ALLAH S.W.T. Kajian mengenai pokok yang boleh bercakap, kajian mengenai peringkat kehamilan, kajian mengenai partikel air, kajian mengenai dinding yang memisahkan air laut masin dengan air sungai yang tawar, kajian mengenai planet dan cakerawala dan pelbagai kajian lagi telahpun dibuktikan dalam Al Quran semenjak 1400 tahun dahulu.

Oleh itu kajian maklumat, teori dan konsep yang telah terbukti benar dengan rujukan yang ada di dalam Al Quran serta diperteguhkan dengan Sunnah adalah kajian yang benar dan boleh digunakan manusia sebagai rujukan. Oleh itu sebagai jalan pintas bukankah lebih baik kita terus sahaja mengambil ilmu dari Al Quran kerana sudah pasti ia merupakan kebenaran.

Kita pula sebagai manusia dianjurkan supaya bercakap benar, menyampaikan yang kebenaran dan bersabar dalam penyampaiannya. Kita juga disarankan supaya menggunakan akal untuk berfikir dan mengambil iktibar dan tamsilan atas semua perkara dan peristiwa yang berlaku di sekeliling kita. Inilah nilai yang terbaik untuk kita ambil untuk dijadikan prinsip penerapan diri. 

Dalam hal ini tanyakan soalan ini pada diri bila bertemu dengan satu-satu input atau pengisian. Adakah input ini akan bertahan 1000 tahun yang akan datang? Kalau benar itulah tanda-tanda yang ianya bersifat ilmu. 

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.