Dan balik kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya.
Al – Zumar ayat 54
Perkataan bulat kepercayaan kepada Allah mungkin membawa maksud tiada langsung ruang bocoran di dalamnya. Biar saya huraikan dengan menggunakan sebiji bola sebagai tamsilan. Sebiji bola yang tiada bocoran bila dipam akan mengelembung dan menjadi bertambah besar sedangkan andaikata terdapat bocoran pada bola itu maka ia akan mengempis.
Sekali lagi saya ulangi bocoran ini menyebabkan bola tersebut menjadi kempis. Mungkin begitu jugalah tahap keimanan kita kepada Allah. Andaikata kita percaya kepada selain dari Allah maka terjadilah bocoran pada bola kita yang mungkin bakal mengempiskan iman.
Keadaan ini boleh berlaku dalam pelbagai cara. Contohnya kebocoran itu terjadi kerana kita merupakan seorang kaki judi. Maka inilah bocoran yang berlaku pada bola keimanan kita. Oleh sebab kita bocor dalam aspek ini maka di sinilah kita bakal diuji. Ramailah kawan sekeliling yang mengajak kita main pakau, beli nombor ekor dan loteri, bertaruh dan banyak lagi. Keadaan sekeliling seakan-akan tidak memberi peluang untuk kita mengelak dari berjudi dan sebagainya.
Adakalanya seorang kaki judi bukan merupakan seorang kaki dadah, kaki perempuan dan sebagainya. Dia hanya seorang yang suka berjudi atau dalam lain perkataan dia hanya ada satu bocoran dalam bola keimanannya dan bocoran ini seharusnyalah ditampal. Kalau tampalan itu kuat maka ia mungkin tak bocor lagi namun kalau ia lemah maka ia akan tertanggal dan ketagihan kepada judi ini akan terus berulang. Tak mengapalah kalau hanya terdapat satu bocoran dalam bola keimanan malangnya bagi kebanyakan kita, terdapat banyak bocoran pada bola keimanan kita. Kita bocor dalam hal maksiat dan zina, dadah, tamak, ego, tidak amanah, riak dan sebagainya. Keadaan ini menyebabkan semakin sukarlah bagi kita untuk menampal bocoran-bocoran ini. Pada masa yang sama berkemungkinan besar bola keimanan kita akan mengecil.
Kebocoran iman ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja malah kepada Pak Imam yang telah menunaikan haji sekalipun. Kebocoran itu akan berlaku di tempat yang kita lemah. Kalau kita lemah dengan perempuan maka perempuanlah yang bakal menjadi dugaan kita, kalau kita lemah dengan hutang dan duit, merekalah yang bakal terus-terusan menduga kita dan begitulah seterusnya. Oleh itu berhati-hatilah dengan memerhatikan dengan teliti setiap keadaan yang terjadi bagi mengelakan kebocoran iman ini dari terjadi.
Satu kebocoran yang jelas dewasa ini ialah dari sudut syak wasangka buruk. Ramai yang mempunyai bocoran di sini. Ia berlaku kerana rasa benci kepada pemerintah kerana merasakan pemimpin mengamalkan rasuah, salahguna kuasa, bodoh, pentingkan diri sendiri, tidak adil dan sebagainya. Jelas sebagai seorang yang beragama Islam hakikatnya kita tak boleh langsung mengamalkan sifat syak wasangka buruk ini. Ini kerana kita tak nampak dan tak mempunyai 4 orang saksi yang merdeka yang nampak pemimpin tersebut makan rasuah contohnya. Apa yang kita dengar dan kemudian sampaikan akan bersifat fitnah andaikata ia tak benar dan seterusnya kita mesti memohon maaf kepada pemimpin yang kita cerca itu.
Selalunya pandangan yang mengatakan pemimpin itu bodoh yang anda dapati itu datangnya dari sampel yang ramai yang memandang dari pelbagai sudut kemudian pandangan yang terbaik diambil bagi menunjukkan kelemahan pemimpin tadi. Yang pastinya ia bukan pandangan yang datang dari kebijaksanaan anda sendiri. Lagipun memang manusia sifatnya suka memandang kepada sesuatu yang jelek dan negatif.
Apapun pernahkah anda terfikir yang mereka juga makhluk Allah yang tak sempurna lantas tidak dapat lari dari melakukan kesilapan. Lautan mana yang tak bergelora dan bumi mana yang tak ditimpa hujan. Bayangkan pula sekiranya diri anda sendiri yang menjadi pemimpin, saya yakin anda juga bakal melakukan kesilapan atas kebodohan anda sendiri. Kemudian orang lain pula yang bakal mencerca anda. Cukuplah dengan menjadi pemimpin kepada rumahtangga, pemimpin kepada persatuan mahupun pemimpin di pejabat, sudah banyak kelamahan yang jelas kelihatan. Oleh itu sifat syak wasangka buruk ini hendaklah dibuang jauh dari dalam diri kerana ia bagi saya ia merupakan bocoran kepada bola keimanan kita.
Kadangkala bocoran ini berlaku dalam melalui aspek rezeki. Dalam hal rezeki sebenarnya Allah Taala telah menjanjikan rezeki kepada semua anak Adam yang dilahirkan di dunia ini lantas Syaitan menggunakan elemen rezeki ini bagi menakut-nakutkan kita dengan kemiskinan. Dengan mempercayai yang kita mungkin akan jatuh miskin maka bocoran ini terjadi. Lainlah kalau kita tidak berusaha dan duduk sahaja mungkin kemiskinan itu akan datang menerpa. Tampallah kebocoran ini. Berusahalah dengan bekerja, bertanam, menternak, berniaga dan sebagainya selagi daya dan selebihnya serahkanlah kepada Allah. Yakinlah sepenuhnya yang peruntukan rezeki itu pasti ada untuk anda. InsyaAllah.
Lebih teruk lagi ada keadaan yang mana ia mungkin akan langsung mengempiskan bola keimanan kita sehingga tiada lagi keimanan yang tinggal. Contohnya bila kita percaya yang makhluk mempunyai kuasa untuk memberi manfaat ataupun mudarat kepada kita maka hilanglah keimanan kita. Sebagai contoh kita percaya kepada tangkal yang boleh menghindarkan bala, bomoh yang boleh menyembuhkan penyakit, ubat yang boleh menjadi penawar dan banyak lagi. Bila kita berkata “dalam perniagaan kita kena melobi dan bagi rasuah kalau nak perniagaan kita maju” atau “kalau aku diberhentikan kerja, matilah aku” dan sebagainya.
Ini semua sebenarnya merupakan bocoran yang bakal mengempiskan langsung keimanan kita kepada Allah. Dalam ertikata lain kita menduakan Allah atau melakukan dosa syirik yang tak akan diampunkan Allah di akhirat kelak.
Kadangkala pula kita mendengar ungkapan “Iman seperti memudik sungai, sekali tergelincir kembali jatuh ke bawah”, dalam ertikata lain lebih mudah tergelincir jatuh ke bawah dari naik ke atas, samalah seperti bola keimanan ini, lebih mudah mengempis dari mengembang.
RAWATAN KEIMANAN
Seterusnya pernahkah anda mendengar ayat seperti ini, “Iman seakan meniti batas, adakalanya bila kita jatuh tergelincir hendaklah kita kembali naik ke atas”. Maka beruntunglah bagi mereka yang faham akan maksud ayat ini. Bagi saya orang yang tinggi keimanannya bakal mempunyai satu mekanisma automatik yang dapat mengesan dan merasai kebocoran keimanan dalam hatinya, mekanisma ini juga akan mengerakkan pemiliknya untuk mengambil langkah mengelak, mencegah mahupun merawat kebocoran keimanan itu andainya ia terjadi dan cara yang terbaik ialah untuk kita meningkatkan usaha untuk meningkat amal dan ilmu walau apa juga cara serta kaedahnya.
Mereka yang beriman selalunya sentiasa memegang pada tali Allah, berada dalam keadaan tenang sentiasa, dapat mengawal nafsu menggunakan akal, ikhlas dalam amalan, dapat menapis pengisian yang buruk, sedar akan ujian dan dugaan, sabar dan redha menjadi amalan.
Oleh yang demikian, tampallah kebocoran keimanan yang ada dalam hati dengan harapan keimanan kita akan dipertingkatkan Allah ke tahap yang tertinggi sebaris dengan kekasih-kekasihNya. InsyaAllah.
Fikir-fikirkanlah..
Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.
Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.
Ikhlas dari,
Faizal Yusup
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.